Gambar sebuah rumah putih yang sangat misteri di atas sebuah bukit menghijau di sebuah pulau kecil yang sepi dikelilingi lautan telah tular di Internet selama beberapa tahun.
Dan secara tak langsung, ia memperoleh gelaran tidak rasmi "rumah paling sepi di dunia".
Terletak di pantai selatan Island, Kepulauan Vestmannaeyjar terdiri daripada sekumpulan pulau kecil dan Elliðaey atau Ellirey adalah pulau yang terletak di bahagian paling timur di antara pulau-pulau lain.
BESARKAN TEKS A- A+
Di sinilah lokasi bagi rumah ikonik yang dikatakan paling sepi di dunia.
Walaupun ia merupakan satu tempat yang tersangat indah dan tenang, namun pulau ini tidak berpenghuni sejak tahun 1930-an.
Dan apa yang membingungkan adalah walaupun tidak berpenghuni, rumah sunyi ini berada dalam keadaan yang sangat baik dan terpelihara.
Selama bertahun-tahun, khabar angin dan teori mengenai rumah sunyi di Pulau Elliðaey ini telah tersebar di dalam talian.
Antaranya termasuklah bahawa ia dibina oleh seorang ahli perniagaan yang aneh sebagai tempat perlindungan kiamat daripada zombie, atau bahawa ia adalah milik seorang fanatik agama.
Malah, penyanyi terkenal Iceland iaitu Bjork pernah dikhabarkan memiliki pulau percutian indah ini dan bahkan berunding dengan pihak berkuasa untuk membeli pulau itu.
Walau bagaimanapun, tiada satu pun teori ini yang benar dan kisah sebenar rumah paling sunyi di dunia ini jauh daripada teori konspirasi ini.
Rumah ini sebenarnya adalah sebuah pondok berburu yang dibina pada tahun 1950-an oleh Persatuan Pemburuan Elliðaey.
Para ahli persatuan ini menjadikan rumah ini sebagai tempat berteduh ketika mereka datang ke pulau Elliðaey untuk memburu burung puffin.
(Burung puffin Antartika)
Tidak jelas bagaimana pulau ini mempunyai sebuah persatuan pemburu memandangkan tiada seorang manusia pun yang tinggal di situ, namun itulah kebenarannya.
Apa yang menarik adalah Pulau Elliðaey ini pernah didiami oleh sekumpulan keluarga sehingga tahun 1930-an, namun mereka akhirnya memutuskan untuk berpindah ke wilayah yang lebih ramai penduduk di Iceland bagi mencari peluang hidup yang lebih baik.
Walau bagaimanapun, mereka tahu bahawa pulau ini mempunyai banyak kelebihan iaitu dipenuhi dengan burung puffin Atlantik dan perikanan yang baik, jadi mereka pulang ke pulau ini sekali-sekala untuk berburu.
Mungkin sebab inilah persatuan pemburu ditubuhkan di pulau ini.
Meskipun rumah ini terus dijaga dalam keadaan baik oleh persatuan pemburu pulau ini, namun ia agak kurang sesuai untuk didiami mengikut standard hari ini.
Tinggal di tengah-tengah kawasan yang terpencil sememangnya memberikan banyak kelebihan, namun ia tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih.
Walaupun begitu, ia memiliki sauna yang mana airnya dibekalkan dari sistem pengumpulan air hujan.
Yang paling aneh adalah pagar dibina mengelilingi rumah ini walaupun tiada siapa yang tinggal di pulau itu.
Oleh kerana Pulau Elliðaey adalah kawasan bersarang utama bagi burung petrel dan burung laut yang lain, ia disenaraikan sebagai rizab alam semula jadi dan kawasan yang dilindungi.
Namun ini tidak menghalang ahli Persatuan Memburu Elliðaey daripada datang dan memburu burung-burung di sini.
Jika anda hanya ingin mengagumi keindahan semula jadi tempat ini, syarikat pelancongan yang beroperasi di kepulauan Vestmannaejar menawarkan lawatan harian ke pulau sepi ini.
Jadi, rumah ini sememangnya layak digelarkan sebagai rumah paling sepi di dunia, namun tiada apa yang istimewa dengannya.
Rujukan:
1. Earth
2. Elliðaey