Saat melakukan penerbangan dan pendaratan merupakan saat yang paling kritikal bagi setiap penerbangan menaiki pesawat. Terdapat pelbagai kemungkinan yang berlaku dan disebabkan itulah penumpang diminta untuk memakai tali pinggang keledar ketika pesawat melakukan penerbangan dan pendaratan.

Bagi juruterbang pula, segala komunikasi akan dilakukan dengan menara kawalan untuk memastikan trafik adalah selamat untuk melakukan pendaratan dan penerbangan. Sedikit sahaja kesilapan juruterbang mungkin akan meragut banyak nyawa penumpang yang tidak bersalah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pertaruhan bodoh 2 orang penumpang

syarikat penerbangan russia

Kira-kira 33 tahun lalu atau lebih tepat lagi pada tarikh 20 Oktober 1986, telah berlaku satu tragedi yang mengorbankan 70 orang penumpang daripada keseluruhan 85 orang penumpang yang menaiki pesawat Tu-134A milik syarikat Aeroflot. Tragedi ini boleh dikatakan sebagai tragedi pesawat yang dahsyat dan "terbodoh" yang pernah berlaku".

Yang, lebih menyedihkan tragedi ini terjadi bukanlah akibat kesilapan teknikal, kerosakan pada pesawat ataupun kesilapan perhubungan dengan menara pemancar. Sebaliknya, ianya terjadi akibat tindakan bodoh 2 orang juruterbang yang mengoperasikan pesawat itu pada hari kejadian.

Pesawat itu berlepas dari Sverdlovsk Oblast dan sedang dalam perjalanan ke Grozny. Penerbangan Aeroflot dengan no trip 6502 itu diketuai oleh ketua juruterbangnya, Alexander Kliuyev bersama seorang pembantu juruterbang dan 5 orang krew penerbangan.

Pembantu juruterbang yang bertugas, Gennady Zhirnov berpendapat ianya satu idea yang menarik untuk mencabar ketua juruterbang yang bertugas Alexander Kliuyev untuk melakukan pendaratan secara penglihatannya tertutup (blindfolded).

Cabaran pendaratan dengan penglihatan tertutup

kemalangan pesawat

Tragedi malang ini terjadi pada waktu petang 20 Oktober 1986. Sebelum meneruskan perjalanan ke Grozny, pesawat ini akan melakukan persinggahan di Lapangan Terbang Kurumoch. Sekitar 3:45 petang, Gennady Zhirnov telah membuat satu pertaruhan bodoh kepada rakannya ini.

Kira-kira 5 minit kemudian ketika pesawat sudah hampir melakukan pendaratan, jurutera penerbangan yang bertugas telah bertindak menutup cermin bahagian juruterbang agar pemandangan juruterbang terhalang. Oleh itu, Alexander Kliuyev dikehendaki untuk melakukan agakan bilakah waktu yang sesuai untuk melakukan pendaratan.

Penglihatannya sama sekali ditutup dan tidak dapat melihat dengan jelas landasan penerbangan di lapangan tersebut. Malah, dia juga tidak dibenarkan menggunakan sistem radio komunikasi untuk mendapatkan bantuan daripada pihak menara kawalan ketika melakukan pendaratan. 

Para penumpang pada ketika itu sememangnya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di bahagian kokpit. Apa yang mereka rasa pada ketika itu adalah perasaan gemuruh dan risau sekiranya ada berlaku kejadian yang tidak diingini ketika pesawat melakukan pendaratan - perasaan sama yang kita rasa setiap kali menaiki pesawat.

Pertaruhan bodoh yang meragut nyawa

aeroflot

Ketika pesawat tersebut hanya berada kira-kira 215 kaki daripada landasan pendaratan, terdapat bunyi amaran yang dikeluarkan daripada pesawat. Ianya adalah sistem penggera standard yang biasa digunakan untuk memaklumkan kepada juruterbang akan keadaan yang tidak selamat untuk melakukan pendaratan.

Malangnya, akibat tidak dapat melihat apa yang sebenarnya berlaku di luar, dia telah mengabaikan sistem penggera tersebut dan meneruskan pendaratan dengan penglihatannya tertutup. Malangnya, juruterbang ini tidak dapat melakukan pendaratan yang sempurna dan selamat.

Ketika tayar pesawat melakukan sentuhan dengan landasan, ianya terlalu laju pada kelajuan 274 km/j. Akibat daripada kelajuan ini, kesemua gear pendaratan mengalami kerosakan kritikal akibat impak yang angat kuat dan pesawat ini "melantun" kembali ke udara.

Impak yang terlalu kuat ini telah mengakibatkan sayap kanan pesawat ini patah sementara sayap kirinya pula hancur. Badan pesawat pula berpusing dan terhumban ke muka bumi dalam keadaan terbalik. Keadaan yang cukup ngeri untuk dibayangkan.

tragedi aeroflot

Tidak lama kemudian, api merebak dengan cepat membakar sebahagian besar badan pesawat menyebabka 63 orang penumpang mati termasukklah 4 orang krew penerbangan. Baki penumpang yang cedera telah dikejarkan ke hospital malanganya 7 lagi kematian direkodkan.

Pembantu juruterbang Gennady Zhirnov (individu yang membuat pertaruhan) disahkan meninggal dunia di dalam ambulans akibat serangan jantung. Ketua juruterbang yang bertugas, Alexander Kliuyev bernasib baik terselamat dalam kecelakaan yang berpunca daripada kebodohannya sendiri.

Dalam dakwaan di mahkamah, dia mendakwa melakukan tindakan tidak masuk akal itu kerana ingin mencuba sesuatu yang baru. Pihak mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepadanya namun telah dibebaskan setelah 6 tahun dalam penjara.

Tragedi seperti ini memberi kita pengajaran akan perlunya mengambil serius pekerjaan yang dilakukan, lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan nyawa orang ramai. Kerjaya sebagai juruterbang, doktor dan seumpamanya yang melibatkan nyawa orang ramai mestilah dilakukan penuh dedikasi dan cermat agar tiada malapetaka yang berlaku.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. AvGeekery



Hakcipta iluminasi.com (2017)