Jika anda pernah menaiki tren atau sememangnya seorang penumpang yang sering berulang-alik dengan pengangkutan awam tersebut, anda mungkin biasa bertembung dengan pelbagai kategori dan perangai individu. Ada yang cuba menjual sesuatu produk atau perkhidmatan, ada yang cuba menyebarkan dakwah, ada yang suka menyanyi dengan kuat dan ada juga yang gemar bergosip di dalam kereta api.

Walaupun hampir jutaan bilangan orang menaiki tren setiap hari, masih ramai yang tidak cakna (atau jahil?) bahawa perkara seumpama itu sebenarnya mengganggu penumpang lain. Apabila berada di tempat awam - terutama sekali apabila bersesak-sesak di antara ribuan manusia yang tidak dikenali, etika dan etiket memainkan peranan yang sangat penting.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Paling kerap menjadi bahan kecaman adalah apabila wujud segelintir penumpang dalam tren yang sedang duduk berpura-pura tidak nampak kehadiran wanita mengandung atau warga emas yang berdiri berhampiran. Isu ini bukanlah suatu perkara baru dan bukan sahaja berlaku di Malaysia. Malah, di Amerika Syarikat, sebuah poster dari tahun 1956 yang terdapat dalam simpanan arkib Muzium Transit New York memaparkan seorang wanita memukul kepala seorang lelaki menggunakan beg tangannya. Lelaki tersebut berdiri di tengah-tengah laluan pintu dan teks poster tertulis, "Pukullah dia lagi! Kami juga tidak suka dengan orang yang suka menghalang pintu."

Pelbagai kempen telah dijalankan oleh pihak kerajaan di Malaysia dan seluruh dunia untuk memberi lebih kesedaran kepada para penumpang tentang etiket menaiki kereta api. Walau bagaimanapun, tanpa kempen-kempen tersebut, banyak perkara yang anda sendiri boleh mulakan sendiri supaya perjalanan menaiki pengangkutan awam tersebut lebih menyenangkan anda dan penumpang lain:

1. Elakkan “Manspreading”

Etiket khusus untuk orang lelaki ini menggunakan istilah yang berasal dari New York, Amerika Syarikat. Di sana, kereta api bawah tanahnya mempunyai pelekat yang berbunyi, "Dude... Stop the Spread, Please." Mesej ini merujuk kepada posisi duduk yang sangat memualkan namun kerap dilakukan oleh penumpang lelaki.

lelaki suka duduk kaki terbuka luas sehingga mengambil ruang penumpang lain

Mereka akan duduk 'malas' sambil mengangkangkan kaki seluas-luasnya sehingga menggunakan ruang sebanyak dua (atau tiga) tempat duduk sekali gus. Cara duduk begini adalah sangat tidak beradab dan membuatkan orang sekeliling berasa tidak selesa, terutama sekali golongan wanita yang duduk bersebelahan atau berdiri berhampiran.

Menurut seorang pakar etiket, alternatif posisi duduk bagi kaum lelaki yang gemar mengangkang ini adalah dengan membiasakan kaki berada dalam keadaan selari dan bukannya dalam bentuk "V". Anda juga boleh cuba menyilangkan kaki di bahagian buku lali. Usah khuatir, perjalanan pendek kereta api tersebut tidak akan menghilangkan sifat kelelakian anda.

2. Buka beg galas/beg sandang

Amalan ini bukan sahaja tertakluk kepada pelajar, malah ia juga harus diamalkan oleh semua penumpang tidak kira orang dewasa yang bekerja, warga emas mahupun pelancong backpackers. Ini disebabkan ramai orang terlupa yang mereka sedang menggalas beg atau tidak menyedari betapa banyak ruang yang mereka gunakan seorang diri.

Jika anda menaiki kereta api yang sedang sesak sambil menggalas beg, pastikan anda tidak memukul sesiapa di belakang anda ketika anda berpusing atau berundur ke belakang.

buka beg galas untuk mengelakkan kecederaan pada orang lain

Jika anda berjaya mendapat tempat duduk, pastikan anda meletakkan beg di atas lantai, di antara kedua-dua kaki anda atau boleh saja diriba beg tersebut. Jangan biarkan beg berada di laluan orang ramai kerana penumpang lain boleh terlanggar dan terjatuh disebabkan beg anda. Paling penting, jangan sesekali meletakkan beg di tempat duduk bersebelahan anda, melainkan anda telah membayar tiket untuk dua penumpang atau kereta api tersebut adalah sangat lengang.

Peraturan ini juga terpakai untuk pelbagai barangan besar seperti kereta sorong bayi, bagasi pakaian, bungkusan pakej atau beg tangan bersaiz besar.

3. Simpan sampah-sarap sendiri

Sebagaimana anda menjaga kebersihan di rumah atau tempat lain (harap-harapnya), anda juga perlu menjaga kebersihan semasa berada di dalam tren. Jangan buang sampah merata-rata dan bawalah sekali sampah-sarap anda turun bersama apabila sudah sampai ke destinasi. Tidak kiralah sama ada ia adalah pembalut gula-gula, kertas pembungkus burger atau botol air mineral. Malah, anda juga dinasihatkan membawa bersama surat khabar yang sudah habis dibaca.

pungut sampah sendiri dan bawa keluar untuk dibuang di platform kereta api

Jika anda mengunyah gula-gula getah, jangan sesekali membuangnya di atas lantai, di bawah tempat duduk atau di bahagian belakang kerusi. Perbuatan ini adalah sangat menjijikkan, menyusahkan dan menunjukkan sikap anda yang sebenar.

Kumpulkan sampah anda dan buanglah di tong sampah yang disediakan di platform stesen setelah turun dari kereta api.

4. Tiang pemegang bukan untuk menari atau bersandar

Anda pasti pernah menyaksikan sekumpulan anak-anak muda berseronok di dalam kereta api sambil bermain berpusing-pusing gaya akrobatik atau menari-nari di tiang pemegang. Mungkin anda terhibur, nampak macam mereka sedang berseronok. Tapi seronokkah lagi jika mereka tergelincir atau terjatuh ke atas anda apabila kereta api brek mengejut? Masih seronokkah dilihat jika mereka terlanggar penumpang lain seperti seorang bayi, orang kurang upaya atau orang tua? Sambil kumpulan itu hanya berdiri mengetawakan rakan mereka, sudah pasti anda yang terasa sakitnya.

menari menggunakan tiang tren

Satu lagi tabiat buruk penumpang kereta api yang berdiri adalah gemar memonopoli tiang. Ini terjadi apabila seseorang sedap bersandar di tiang seolah-olah dia seorang sahaja memilikinya tanpa menghiraukan penumpang di sekeliling yang tercari-cari tempat untuk dipegang. Tujuan tiang itu dibina adalah agar penumpang boleh berdiri dengan stabil semasa kereta api sedang bergerak atau berhenti. Ia adalah harta awam untuk dikongsi bersama, jadi jangan buat macam tiang itu anda yang punya.

5. Etiket pintu tren

Sebenarnya menaiki pengangkutan awam bukanlah sukar. Ia hanya perlukan budi bahasa semata-mata. Sebagai rakyat Malaysia yang sering dikatakan mempunyai budi bahasa yang amat tinggi, maka kita perlu faham apabila kita sedang menunggu di platform dan pintu tren terbuka, kita perlu beri laluan terlebih dahulu kepada penumpang dari dalam untuk keluar. Kemudian barulah kita masuk ke dalam tren. Jangan meluru masuk sehingga berlaga-laga di pintu dengan orang yang sedang keluar.

Sekiranya anda baru tiba di platform dan ternampak pintu tren sedang tertutup, jangan berlari sekuat hati dan terjun masuk ke dalam gerabak sehingga merempuh penumpang-penumpang di dalam. Biarkanlah pintu tertutup dan tunggu sahaja di platform tersebut untuk ketibaan tren seterusnya.

menghalang pintu laluan penumpang tren

Sejurus berada di dalam tren, cari tempat duduk, tiang atau tempat sesuai untuk berdiri namun jangan sesekali terus berdiri di tengah-tengah pintu sehingga menghalang laluan orang lain. Melainkan sekiranya anda merupakan penumpang terakhir yang masuk ataupun anda ingin terus turun di stesen berikutnya. Sekiranya destinasi anda adalah lebih daripada dua perhentian, sila bergerak ke bahagian dalam tren, lebih-lebih lagi jika anda membawa bagasi atau beg besar yang boleh menghalang pergerakan penumpang lain.

Jika tren yang dinaiki adalah sangat padat sehingga anda terpaksa berdiri di tengah-tengah pintu, pastikan anda turun sebentar di platform stesen berikutnya, beri laluan penumpang lain untuk keluar, kemudian barulah masuk semula. Janganlah jadi tiang pacak di tengah laluan tersebut tanpa menghiraukan orang yang ingin keluar dan masuk.

6. Berilah tempat duduk kepada golongan yang lebih perlu

Segelintir masyarakat dunia kini menjadi manusia yang semakin tidak berhati perut dan tiada rasa belas ihsan. Mereka tidak kisah duduk selesa sambil memandang begitu sahaja orang tua atau ibu yang sarat mengandung berdiri di hadapan mata. Malah, lebih 'sakit' masyarakat kita apabila duduk tanpa rasa bersalah atau malu di bahagian kerusi khas untuk golongan yang memerlukan tersebut.

tidak memberikan tempat duduk kepada warga emas oku atau ibu mengandung dalam tren kereta api

Cuba bayangkan anda sendiri di tempat mereka. Anda mengalami kecederaan, mengandung atau sudah tua tetapi terpaksa berdiri terhoyong-hayang kerana tiada sesiapapun yang menawarkan tempat duduk? Walaupun ada sesetengah daripada mereka tidaklah 'hadap' beria-ia mahukan tempat duduk anda, namun anda boleh cuba menjadi orang yang lebih mulia dan tinggi akhlak dengan memberikan tempat duduk anda. Cubalah lakukan - anda pasti akan menerima sebuah senyuman manis dan ucapan terima kasih. Ia akan meningkatkan motivasi diri serta menjadikan anda seorang manusia yang lebih baik.

7. Jangan bersolek atau berhias diri di dalam tren

Anda mungkin mempunyai alasan kerana terlewat. Anak kecil tidak mahu tidur malam, menjaga suami yang sakit atau berjaga sepanjang malam menyiapkan kertas kerja sehingga tidak dengar bunyi jam loceng. Namun, terlewat bangun tidur bukanlah alasan untuk anda bersiap-siap memakai alat solek serta menghias diri semasa dalam perjalanan di dalam tren.

jangan bersolek berhias semasa dalam tren

Jika anda tidak mempunyai masa untuk bersiap-siap dari rumah, anda boleh saja bergerak menaiki tren tanpa secalit make-up dan hanya bersiap apabila tiba di tempat kerja. Jangan sesekali terfikir untuk bercukur, memflos gigi, memotong kuku atau mencabut bulu semasa dalam tren. Ia bukan sahaja nampak pengotor malah menimbulkan rasa jijik sekiranya cebisan bahagian badan anda tersebut jatuh pada orang lain.

Grooming atau berhias diri adalah suatu aktiviti peribadi dan tidak perlu dilakukan di tempat awam. Selain membuatkan orang di sekeliling tidak selesa dengan kehadiran anda, anda juga boleh ditertawakan sekiranya gincu yang dicalit tersenget atau celak terconteng di wajah apabila tren brek dengan mengejut. Akhirnya anda juga yang malu sendiri.

Ingat, jika kita mudahkan kehidupan orang lain, nescaya Allah S.W.T. akan bantu memudahkan kehidupan kita pula. Maka, jadilah penumpang tren yang bertimbang rasa dan berbudi bahasa.

Rujukan:

1. New York Times

2. MTA

3. Advanced Etiquette




Hakcipta iluminasi.com (2017)