Oleh pada 13 Nov 2019 kategori

Ulama' ialah seorang pemimpin agama yang ditugaskan untuk membimbing dan memandu umat islam. Mereka membantu dalam persoalan agama dan masalah sehari-hari, baik dari segi keagamaan ataupun sosial kemasyarakatan.

Perkataan 'Ulama' berasal dari perkataan 'alim' atau 'alamah' yang bermaksud "orang yang benar-benar mengerti atau mengetahui dengan mendalam hakikat sesuatu perkara itu". Menurut Allahyarham Dato' Dr. Harun Din, dalam al-Quran terdapat dua kali sahaja perkataan ulama' itu digunakan dan kedua-duanya merujuk kepada "yang mendalami pengetahuan agama".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Peranan Ulama' dalam masyarakat Muslim begitu penting sehingga Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu secara sekaligus dari hamba-hambaNya. Namun, Allah mencabutnya dengan kematian para ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu, orang ramai akan melantik pemimpin mereka dari kalangan orang yang jahil. Apabila ditanya, mereka akan memberikan fatwa tanpa berpandukan ilmu. Maka mereka sesat lagi menyesatkan."

(HR. Al-Bukhari no. 100 dan Muslim no. 2673)

Kini, nama-nama ulama besar yang terkenal suatu masa dahulu di negara kita semakin dilupakan. Kali ini, iluminasi.com ingin kongsikan bersama anda kisah salah seorang daripada ulama' tersohor dari negeri Kedah. Individu yang dimaksudkan itu ialah Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek.

Latar belakang

ulama haji wan sulaiman sidek

Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek dilahirkan pada tahun 1874 di Kampung Pulau Tengah di Mukim Padang Kerbau, Daerah Kota Setar. Bapanya meninggal dunia ketika Haji Wan Sulaiman masih kecil lagi.

Ibunya, Wan Tam, berusaha untuk memberikan pendidikan asas seperti membaca tulisan jawi dan Muqaddam. Ketika berusia 9 tahun, beliau belajar Bahasa Melayu di sekolah sehingga lulus darjah tiga.

Pada usia 12 tahun, Haji Wan Sulaiman dihantar pula belajar membaca al-Quran dan Pengetahuan Islam daripada Tuan Guru Haji Ismail yang berasal dari Kelantan. Dia juga belajar Bahasa Inggeris dengan Dr. Gomez (Peranakan Ceylon atau Sri Lanka) yang membuka klinik di Pekan Melayu.

pekan melayu

Disebabkan kenakalannya, beliau sering dimarahi dan dipukul Dr. Gomez. Ini menyebabkan dia enggan meneruskan pengajian Bahasa Inggeris dan berazam untuk melanjutkan pengajian ke Mekah.

Ketika berusia 13 tahun pada tahun 1887, Haji Wan Sulaiman yang dibiayai oleh ibu dan saudara-maranya bertolak ke Kota Mekah. Selama 17 tahun berada di sana, beliau menguasai pelbagai bidang ilmu seperti Bahasa Arab, Nahu, Saraf, Hadis, kajian dan pembacaan al-Quran serta ilmu Falakiyah (Astronomi).

Ketika di sana jugalah beliau berkahwin dengan Wan Kalsom (Wan Tom) binti Wan Abdul Hamid, anak kepada bekas Kadi Daerah Yan, Kedah. Pasangan itu telah dikurniakan 11 orang cahaya mata.

Majmuk Ulama'

sultan abdul hamid halim shah 509

Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-26

Pada 1904, Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Sultan Kedah ke-26) menubuhkan Majmuk Ulama' bagi membantu baginda dalam permasalahan berkaitan Islam. Majmuk ini terdiri daripada 12 ulama' dan dipengerusikan oleh Haji Wan Sulaiman, sementara Haji Abdullah Fahim (Pak Him) selaku setiausahanya.

Antara ulama'-ulama' tersohor di Kedah yang menjadi anggota Majmuk Ulama' ini termasuklah Syeikh Muhammad Khayat, Syeikh Jarum Derga (Haji Wan Idris Wan Jamal), Haji Ahmad Awang, dan ramai lagi. Majmuk ini akan berkumpul pada setiap malam Jumaat di Masjid Zahir untuk bermuzakarah (bertukar pendapat) dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam.

haji wan sulaiman wan sidek 2

Pada awal tahun 1906, Kerajaan Kedah melantik Haji Wan Sulaiman sebagai Kadi sebelum dia dinaikkan menjadi Kadi Besar pada tahun 1910. Kerjayanya semakin berkembang apabila beliau dilantik menjadi Syeikhul Islam Kedah, menggantikan Syeikh Muhammad Khayat pada tahun 1920.

Selain menjalankan tugas rasminya, beliau juga banyak mencurahkan ilmu kepada orang ramai. Para pelajarnya bukan sahaja terdiri dari orang awam tetapi juga guru agama, imam masjid dan pegawai kerajaan.

Beliau sering menyampaikan kuliah agama di Masjid Negeri, madrasahnya di Limbong Kapal dan beberapa buah masjid di daerah lain seperti Bandar Baharu, Kulim dan Yan. Beliau sering berulang-alik menggunakan kereta kuda dan kemudiannya dengan motokar Austin bernombor K 51.

Tegas menentang kurafat dan bida'ah

puja kubur

Haji Wan Sulaiman menentang keras segala bentuk ajaran sesat lagi menyeleweng, sama ada dari segi iktikad atau amalan khurafat serta bida'ah yang berkembang subur ketika itu. Antara amalan-amalan tersebut termasuklah memohon atau bernazar di kuburan yang dianggap keramat, menjamu hantu jembalang dan berubat secara menurun.

Antara amalan khurafat yang berjaya dihapuskan oleh beliau di Bandar Alor Setar adalah amalan kenduri nasi kunyit (pulut kuning) dan "mandi susu" di tangga atau perkarangan Balai Nobat bagi menunaikan sesuatu niat atau nazar.

Beliau juga tidak bersetuju jika masyarakat Melayu mengadakan kenduri bubur asyura ketika menyambut "Hari Asyura" pada 10 Muharram tanpa menceritakan sejarah atau peristiwa mengenainya. Beliau juga menolak "Adat Persandingan" dalam perkahwinan Melayu yang dianggapnya bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

Sumbangan dalam bidang pendidikan

mengaji al quran

Haji Wan Sulaiman berusaha untuk memperbaiki kaedah pengajaran al-Quran di Kedah ketika itu agar diasingkan dari mata pelajaran lain di sekolah Melayu. Kaedah barunya diterima oleh pihak kerajaan dan banyak membantu pelajar menamatkan pengajian al-Quran dalam masa yang singkat.

Beliau telah menubuhkan sebuah sekolah agama moden pada tahun 1916 yang dinamakan "Madrasah Al-Hamidiah" sempena nama Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Sekolah agama moden terawal di Tanah Melayu itu mengikuti sistem pendidikan moden dari segala aspek seperti jadual waktu, buku teks, sukatan pelajaran, peperiksaan, pengkhususan guru dan pemberian sijil kepada pelajar yang lulus.

Madrasah yang lebih dikenali sebagai Madrasah Pak Wan Sulaiman atau Sekolah Arab Limbong Kapal ini berjaya melahirkan ramai pelajar dalam pelbagai bidang dan ada di antaranya yang menjadi pentadbir, kadi, guru dan pemimpin masyarakat.

ytm tunku mahmud

YTM Tunku Mahmud

Antara tokoh-tokoh lepasan madrasah ini ialah seperti Dato' Sheikh Abdul Majid bin Mohd Noor (Yang Dipertua Majslia Hal Ehwal Islam Kedah), Allahyarham Sheikh Saad bin Said (bekas Kadi Besar Kedah) dan ramai lagi.

Haji Wan Sulaiman bersama dengan Tunku Mahmud Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah telah merancang untuk menubuhkan sebuah sekolah agama yang lebih tinggi peringkatnya yang dinamakan "Al-Ma'hadil Mahmud" atau Maktab Mahmud. Sekolah itu dibina pada 16 Jun 1936, setahun selepas kematian Haji Wan Sulaiman.

Karya dan penulisan

maktab mahmud

Credit : ejam80

Haji Wan Sulaiman sering digandingkan dengan Tuan Hussain Kedah. Mereka berdua banyak menghasilkan karya-karya agama dalam bentuk kitab dan risalah. Haji Wan Sulaiman sendiri telah menghasilkan 20 buah karya yang merangkumi pelbagai bidang.

Sebagai seorang yang berkebolehan dalam ilmu Falakiyah, beliau berjaya meramal kejadian gerhana matahari dalam tahun 1928 dan diterangkan secara saintifik melalui risalahnya berjudul "Risalah Nasihat Fasal Gerhana".

Beliau juga pernah mengeluarkan pekeliling untuk membantu para petani dalam mengerjakan sawah di mana ia mengandungi jadual musim atau bulan piama bendang di Kedah.

makam diraja kedah

Haji Wan Sulaiman meninggal dunia secara mengejut di rumahnya di Limbong Kapal pada 2 Mei 1935 ketika berusia 61 tahun. Kerajaan Kedah telah memberikan penghormatan kepada Allahyarham dengan mengizinkan jenazahnya dikebumikan di Makam Diraja.

Selain itu, Sekolah Kebangsaan Kanchut di bandar Alor Setar yang dibina pada 1 Mac 1985 telah ditukar dan diabadikan sempena nama beliau iaitu Sekolah Kebangsaan Wan Sulaiman Sidek.

Rujukan:

1. Tokoh Ulama Negeri Kedah

2. Kisah Pengasas Madrasah Al-Hamidiah

3. Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek




Hakcipta iluminasi.com (2017)