Mungkin disebabkan sikap dan akhlak yang ditunjukkan oleh Raja-Raja dan kerabat mereka yang kelihatan seperti tidak mengambil berat dan mempratikkan ajaran Islam, rakyat semakin mempertikaikan kedudukan eksklusif mereka.

Namun disebalik semua ini dan institusi diraja yang sering dipandang tinggi kerana kehidupan yang mewah, terdapat pelbagai kisah bernilai tentang kisah beberapa kerabat dan Sultan yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malah, ada yang mengganggap mereka sebagai ulama. 

iluminasi.com kongsikan 6 kerabat diraja yang dianggap sebagai alim ulama.

1. Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Muzaffar Shah - Sultan Melaka Ke-6 (1456-1477)

Merupakan putera kepada Sultan Muzzaffar Shah, Sultan Mansur Shah dikenali sebagai seorang pemerintah yang cintakan ilmu agama. Malah, beliau sehinggakan mendalami ilmu tasauf. 

Beliau sendiri pergi menuntut ilmu dengan Maulana Abu Bakar ketika mana kita Ad-Dar Manzum karangan Maulana Abu Ishaq tiba di Melaka.

Kitab itu kemudiannya diarahkan oleh Sultan Mansur Shah agar diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Jika terdapat sebarang kemusykilan berkenaan dengan masalah agama, beliau sering merujuk kepada kerajaan yang terkenal dengan kefasihan dalam ilmu agama iaitu kerajaan Negeri Pasai.

sultan melaka

Oleh itu, undang-undang Melaka dikatakan agak mirip dan dipengaruhi oleh Islam dengan begitu kuat.

Menurut catatan Tom Pires, Sultan Mansur Shah adalah seorang yang gemar merujuk kepada orang-orang yang lebih berpengalaman seperti mereka yang lebih tua, mementingkan keselamatan empayar dan memberi penekanan kepada perpaduan rakyat.

Antara salah satu cara yang dilakukan beliau untuk mengembangkan agama Islam adalah melalui perkahwinan. Puteri-puteri beliau dikahwinkan dengan raja-raja negeri yang ditawan.

Perkahwinan juga digunakan sebagai satu cara untuk beliau mewujudkan hubungan dengan kerajaan luar.

2. Sultan Alauddin Riayat Shah Ibni Sultan Mansur Shah - Sultan Melaka Ke-7 (1477-1488)

Sultan Alauddin Riayat Shah adalah anak kepada Sultan Mansur Shah dan Raden Galuh Cendera Kirana. Jika anda mendengar kisah beliau, pasti anda akan teringatkan Saidina Umar Al-Khattab di mana pentadbiran beliau mencontohi sahabat Rasulullah S.A.W. ini.

Sultan Alauddin merupakan seorang yang adil dan warak. Malah, beliau dianggap sebagai seorang wali Allah. Antara tindakan Saidina Umar yang dicontohi Sultan Alauddin adalah dengan menyiasat keadaan hidup rakyatnya terutamanya pada waktu malam.

sultan alauddin riayat shah melaka 209

Terdapat kemungkinan bahawa beliau adalah Raja Melayu yang pertama mengerjakan haji. Rakyat jelata mengingati beliau disebabkan oleh keberanian Sultan Alauddin dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan negeri.

Namun, beliau mangkat ketika di usia yang sangat muda iaitu 30-an dan diberikan gelaran Marhum Berdarah Putih. Batu nisan di makannya tertulis:

"Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, inilah kubur yang cemerlang,Sultan yang suci, Almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah Ibni Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Muzaffar Shah, rahmat dan kesejahteraan barang terlimpah ke atas rohmu wahai wali Allah yang terpilih."

3. Raja Kechil Tengah Sultan Muda Raja Ahmad Shah Waliullah Johan Berdaulat Ibni Sultan Abdul Malik Mansur Shah

Raja Kechil Tengah adalah Pawang Di-Raja bagi negeri Perak Darul Ridzuan. Beliau bertanggungjawab dalam menguruskan adat-istiadat pertabalan untuk Sultan.

Seperti semua individu lain dalam senarai ini, beliau dianggap sebagai wali Allah dan merupakan seorang putera raja yang warak.

Sebanyak 9 Sultan Perak dilahirkan daripada keturunan beliau termasuklah Sultan Azlan Shah. Sultan Alauddin Shah dikatakan ghaib tanpa sebarang jejak.

4. Sultan Zainal Abidin Muazzam Shah III Ibni Sultan Ahmad Muazzam Shah II - Sultan Terengganu Ke-11 (1881-1918)

sultan zainal abidin muazzam shah iii

Sultan Zainal Abidin Muazzam Shah III merupakan seorang Sultan yang amat komited dalam menegakkan amalan Islam dan terkenal sebagai Sultan yang fasih dalam agama serta menguasai bahasa Arab.

Beliau juga terlibat dalam penggubalan Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu (Ittiqan Al-Muluk Bi Taqdil Il Suluk).

Sultan Zainal Abidin mempunyai teman rapat yang hebat dalam ilmu agama seperti Ulama Mekah dari Patani iaitu Sheikh Muhammad Bin Ismail Al-Fathani dan juga Sheikh Ahmad Bin Muhammad Zain Al-Fathani.

5. Sultan Alaeddin Suleiman Shah Ibni Raja Muda Musa Ibni Sultan Sultan Abdul Samad - Sultan Selangor Ke-5 (1898-1938)

sultan alaeddin suleiman shah ibni raja muda musa

Oleh kerana memiliki ilmu agama yang tinggi, Sultan Alaeddin Suleiman Shah sangat dikagumi dan terkenal dalam kalangan rakyat.

Beliau sendiri sangat mengagumi dan sering berdamping dengan alim ulama dari Patani iaitu Tengku Mahmud Zuhdi Bin Tengku Abdur Rahman Al-Fathani yang dilantik sebagai Sheikhul Islam Negeri Selangor.

Tengku Mahmud Zuhdi sering dibawa bersama dalam rombongan Sultan ke luar negeri untuk bertanyakan pendapat dan nasihat.

Kitab Pohon Ugama: Bahagian Rukun Iman dan Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki dan Perempuan Agama Islah adalah hasil nukilan Sultan Alaeddin serta mendapat pujian Tengku Mamud Zuhdi.

Selain itu, Sultan terkenal dengan tanggungjawabnya yang mana sering dilihat menjadi pembaca khutbah dalam solat Jumaat dan juga solat sunat Aidilfitri serta Aidiladha.

6. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Ibni Sultan Ismail Petra - Sultan Kelantan Ke-9 (2010 - kini)

sultan muhammad v 2

Sultan Muhammad V atau Tengku Muhammad Faris Petra  merupakan putera sulung kepada Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis, dilahirkan pada tahun 1969.

Jika dikira dari Dinasti Awal Langkasuka, Dinasti Chermin, Dinasti Champa-Jembal, Dinasti Datu Pattani dan Dinasti Muhammadi, Sultan Muhammad V adalah pemerintah Kelantan yang ke-47.

Bermula dari Sultan Ahmad Ibni Raja Muhammad Ibni Sultan Mansur Riayat Shah I dari Terengganu, beliau merupakan Sultan Kelantan yang ke-9.

Sudah tidak perlu diceritakan tentang bagaimana hebatnya sifat zuhud dan mesra rakyat yang dimiliki oleh Sultan Muhammad V sehinggakan disayangi oleh semua rakyat Malaysia walaupun bukan dari Kelantan.

sultan kelantan dengan nik aziz

Hubungan antara seorang Sultan dengan rakyat telah mengalami perubahan besar apabila beliau membuka pintu istana bagi menjempu semua penduduk negeri bagi berbuka bersama-sama.

Malah, solat tarawih dan qiyamullail juga diadakan di Istana Kubang Kerian. Sultan Muhammad V juga sering dilihat mengenakan pakaian atau jubah yang membuatkan beliau kelihatan seperti orang kebanyakan.

Beliau sangat menyanjungi golongan berilmu dan ulama seperti Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Aziz Nik Mat.

Rujukan:

1. Putegha

2. Sultan Mansur Shah

3. Sultan Alauddin




Hakcipta iluminasi.com (2017)