Oleh pada 13 Jul 2019 kategori

Seperti yang diketahui, pemilihan pemimpin bagi sesebuah masyarakat atau kumpulan merupakan sesuatu yang penting dan tidak dapat dielakkan. Antara beberapa faktor pemilihan pemimpin adalah yang mampu membawa kumpulan tersebut menuju satu matlamat bersama, merapatkan dan menyatukan ahli kumpulan serta mencegah berlakunya perbalahan dalam kumpulan tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malah, Islam sendiri menggalakkan pemilihan pemimpin, salah satu buktinya adalah hadis daripada Rasulullah S.A.W..

إذَا كَانَ ثَلاَثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمّرُوا أَحَدَهُمْ

“Apabila terdapat tiga orang dalam satu perjalanan, maka hendaknya mereka memilih salah seorang daripada mereka sebagai pemimpin”.

Apabila kita telah mengetahui tujuan pelantikan pemimpin, jadi untuk merealisasikan tujuan dan matlamat, kita haruslah melantik pemimpin yang cekap.

Dalam sejarah Islam, ramai tokoh-tokoh Islam yang boleh dijadikan sebagai contoh pemimpin cekap dan antaranya adalah khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Dalam dinasti Umayyah, Umar bin Abdul Aziz yang juga dikenali sebagai Umar II adalah khalifah yang ke-8 yang menggantikan Sulaiman bin Abdul Malik.

kisah umar bin abdul aziz diracun

(Gambar sekadar hiasan)

Pada mulanya, Sulaiman bin Abdul Malik mahu melantik salah seorang daripada anaknya untuk menjadi pengganti khalifah.

Namun, orang yang paling rapat dengan Sulaiman bin Abdul Malik melarangnya dan mencadangkan kepada beliau supaya melantik Umar bin Abdul Aziz kerana terkenal dengan memiliki kemahiran hebat.

Walaupun boleh dikatakan bahawa tempoh pemerintahan Umar bin Abdul Aziz agak singkat iaitu hanya 2 tahun dari tahun 99 hingga 101 Hijrah, beliau berjaya membawa kerajaannya ke tahap kemuncak.

Beliau juga sangat berani dan antara langkah berani yang dilakukan beliau adalah memecat mereka yang melakukan kesalahan dan menggantikannya dengan pegawai yang lebih cekap.

Dengan ini, kerajaan Umar bin Abdul Aziz dapat berjalan dengan stabil.

Kebijaksanaan ini bukan sahaja diterapkan dalam kerajaan beliau tetapi juga bagi diri dan keluarga beliau.

kisah umar bin abdul aziz

(Gambar sekadar hiasan)

Beliau tidak berani untuk mengambil bahagian dalam Baitul Mal dan meminta isterinya untuk mengembalikan perhiasa yang berasal dari dana Baitul Mal, kembali ke Baitul Mal.

Maka, tak hairanlah mengapa ramai orang mengagumi dan memuji teladan dalam memimpin oleh Umar bin Abdul Aziz.

Dalam buku at-Tarik al-Islami al-Amm yang dikarang oleh Dr. Ali Ibrahim Hassan, beliau menyebutkan bahawa antara salah satu perbezaan di antara pemerintahan Umar bin Abdul Aziz dengan khalifah-khalifah dinasti Umayyah yang lain adalah ia tidak diselubungi dengan penyimpangan agama dan tidak bertindak sewenang-wenangnya serta tiada pertumpahan darah.

Kewafatan Umar bin Abdul Aziz mengakhiri pemerintahannya. Apabila mendengar berita kewafatan beliau, Imam Hasan al-Bashri berkata, "Maata Khoirun an-Nass" yang membawa maksud "Telah meninggal sebaik-baik manusia".

Penyebab kewafatan Umar bin Abdul Aziz

seorang khalifah bermusyawarah dengan para anggota dewan penasihatnya

(Seorang khalifah bermusyawarah dengan para anggota dewan penasihatnya)

Terdapat beberapa riwayat yang menyatakan sebab kepada pemergian Umar bin Abdul Aziz. Antara salah satu daripadanya mengatakan bahawa takutnya beliau kepada Allah S.W.T dan letihnya dalam melayani rakyat.

Dan dalam riwayat yang lain, beliau dikatakan telah diracun sehingga mati.

Menurut buku ad-Daulah al-Umawiyyah: Awamilul al-Izdihar wa Tadaaiyaatil al-Inhiyaar oleh Ali Muhammad as-Sholabi, beliau menyatakan bahawa pada ketika itu, kaum bani Umayyah tidak berasakan kenikmatan dalam memegang kuasa sepertimana yang pernah dirasakan sebelum Umar bin Abdul Aziz diangkat sebagai pemimpin.

Aktiviti membanteras kezaliman giat dijalankan oleh beliau sehinggakan terdapat daripada sesetengah mereka merancang untuk meracuni beliau.

Bagi melaksanakan rancangan jahat ini, mereka mengarahkan hamba Umar bin Abdul Aziz untuk meracuni tuannya sendiri. Walaupun dijanjikan wang sebanyak 1,000 dinar dan akan dimerdekakan, namun hamba beliau ragu-ragu untuk melakukannya.

Namun selepas diancam bunuh jika tidak mematuhi perintah, hamba tersebut terpaksa bersetuju dengan arahan mereka.

makam umar bin abdul aziz

(Makam khalifah Umar bin Abdul Aziz)

Pada hari kejadian, hamba tersebut membawa air untuk diberikan kepada Umar bin Abdul Aziz. Air tersebut dimasukkan racun terlebih dahulu sebelum diberikan kepada tuannya.

Umar bin Abdul Aziz lantas meminum air tersebut tanpa rasa curiga. Racun yang masuk ke dalam sistem badan beliau membuatkan Umar bin Abdul Aziz terlantar sakit selama 20 hari, sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Ketika sedang terlantar sakit, beliau mendapat tahu bahawa orang yang telah meracuni beliau adalah hamba beliau sendiri.

Apa yang dilakukan selepas itu adalah sesuatu yang sangat menakjubkan dan sukar dipercayai, di mana Umar bin Abdul Aziz memaafkan hamba beliau dan mengarahkannya untuk pergi.

Padahal, beliau boleh menggunakan kuasa beliau sebagai seorang pemimpin tertinggi untuk menyiasat hamba tersebut bagi mengetahui siapa yang mengarahaknnya, untuk dihukum.

Walau bagaimanapun, Umar bin Abdul Aziz hanya memaafkan mereka semua sambil mengharapkan kebaikan daripada Allah SWT.

Kisah ini harus dijadikan teladan kepada kita dalam berhadapan dengan orang yang menzalimi kita.

Walaupun kita mungkin tidak mampu memaafkan orang yang membunuh kita, namun kita seharusnya mengaplikasikan kisah ini dalam hal-hal yang sangat remeh-temeh sesama manusia.

Wallahualam.

Rujukan:

1. Umar bin Abdul Aziz

2. Islami

3. Tayibah




Hakcipta iluminasi.com (2017)