Oleh pada 27 May 2017 kategori

iluminasi kisan penjual agama3

Pada zaman Nabi Musa as. dahulu, ada seorang lelaki bernama Bal'am bin Ba'ura, dari kaum bani Israel. Beliau adalah seorang ulama' yang mempunyai pengetahuan ilmu yang luas sehinggakan beliau mempunyai pengetahuan bukan sahaja tentang ilmu yang nyata di dunia.

Bukan setakat itu sahaja, beliau turut mempunyai pengetahuan ilmu ghaib berkaitan jin dan malaikat, serta mempunyai ilmu berkenaan sebahagian Loh Mahfuz, arasy Allah swt. Doa Bal'am pula, amat mudah diperkenankan kerana tingkat ilmunya yang cukup tinggi kerana beliau mampu memahami sifat-sfat nama Allah dengan sempurna.

Begitulah istimewanya Bal'am bin Ba'ura ini disisi Allah swt., berkat didikan Nabi Musa as.

Terpesona dengan kemewahan

iluminasi kisan penjual agama2

Nabi Musa as. menghantar Bal'am untuk mengajak sebuah kaum yang bernama Madyan (ada yang mengatakan kaum Jabarin) supaya kembali kepada Islam ajaran Nabi Musa as.

Walau bagaimanapun ketika diseru Bal'am, pemerintah Kaum Madyan pula meminta supaya Bal'am mendoakan kecelakaan pada Nabi Musa as., kerana penduduk Madyan amat khuatir dengan kedatangan Nabi Musa as. membawa ajaran dan tenteranya ke kawasan mereka.

Bal'am dipujuk dengan kemewahan serta harta yang melimpah, tetap berkeras tidak akan mendoakan keburukan pada Nabi Musa as. serta tenteranya. Beliau cukup risau keimanannya tergelincir.

Dia dipujuk lagi dengan kemewahan harta penduduk di situ yang dikumpulkan dan diberikan padanya, sehinggakan isteri beliau sendiri berusaha memujuknya supaya menggunakan doa beliau yang mudah diterima untuk menghindari Musa as. dari situ. Pelbagai alasan dikeluarkan oleh isteri beliau serta penduduk dalam memujuk Bal'am. Akhirnya, Bal'am tewas dengan godaan.

Bal'am bin Ba'ura yang masih ragu-ragu namun tergoda, mendoakan keburukan kepada Nabi Musa as. dalam hatinya tetapi lidahnya hanya mengeluarkan kata-kata yang baik yang mendoakan kesejahteraan pada gurunya Nabi Musa as. serta pengikutnya.

Penduduk Madyan berasa pelik, lalu bertanya mengapa dia mendoakan kebaikan pula? Bal'am mengatakan yang itu adalah apa yang Allah swt. kehendaki dan dia tidak mampu mendoakan keburukan pada musuh mereka. Mulutnya dikatakan tidak berjaya berdoa sebarang keburukan pada Nabi Musa as. serta pengikutnya.

Gagal dalam berdoa, Bal'am yang sudah dirasuk dengan kemewahan dunia, menasihatkan pemerintah Madyan untuk mengumpulkan perempuan-perempuan paling cantik dari kaum mereka, untuk dihantar kepada tentera Nabi Musa as. yang majoritinya adalah orang-orang musafir. Status musafir pasti membuatkan tentera Nabi Musa as. mudah tergoda dengan wanita.

Rancangannya, Bal'am berharapan agar Allah swt. tidak akan mengampunkan tentera Nabi Musa as. yang telah berzina, dilemahkan dengan mudah kerana tidak tahan godaan nafsu syahwat.

Tergelincirnya tentera Nabi Musa as.

iluminasi kisan penjual agama

Apa yang diharapkan Bal'am untuk berlaku memang benar-benar berlaku, sehinggakan ramai tentera Nabi Musa as. tewas dengan godaan wanita-wanita itu yang dihantar pada mereka. Larangan Nabi Musa as. agar pengikutnya tidak mendekati wanita-wanita tersebut tidak diendahkan.

Allah swt. menurunkan wabak sebagai hukuman kepada tentera Nabi Musa as. yang tergelincir melakukan zina, sehingga dikhabarkan 70 ribu orang meninggal di landa wabak itu. Bal'am bin Ba'ura pula meneruskan kehidupan beliau di Madyan dengan dihujani kemewahan, atas kejayaan menghalang kedatangan tentera Nabi Musa as. kepada kaum Madyan dengan doanya yang makbul.

Tertewas dengan godaan kemewahan, ulama' besar bernama Bal'am bin Ba'ura, pengikut setia Nabi Musa as. paling rapat yang mempunyai ilmu melebihi manusia lain serta ditinggikan darjatnya di sisi Allah swt., menghabiskan sisa hidupnya dalam keadaan binasa dan bingung - apabila ilmunya ditarik satu per satu. Jelas ilmu yang tinggi itu tak cukup untuk menghalang dia dari tamakkan kemewahan dunia.

Kehidupannya selepas itu tidak ubah seperti seekor anjing yang tidak mengerti lagi apa hala tujunya. Hidupnya sekadar memuaskan nafsu tanpa mempunyai apa-apa makna seperti anjing yang hidupnya hanya mencari makanan.



Hakcipta iluminasi.com (2017)