Oleh pada 16 Jun 2019 kategori

Umum mengetahui bahawa kerajaan Kedah adalah antara kerajaan paling awal terkenal terletak di Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga dikenali sebagai Kataha, Kadaram, Sai, Kalah, Kalah Bar dan Kalagram.

Dan pada satu ketika iaitu di era pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muadzam Shah II antara tahun 1710 hingga 1778, keluasan negeri Kedah tersangat luas merangkumi utara Thailand dan sempadan Myanmar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebagai sebuah kerajaan yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam di rantau Asia Tenggara, kerajaan Kedah tersangat dihormati dan ditakuti oleh kuasa asing.

Menurut Datuk Dr. Wan Shamsudin Mohd Yusof, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), angkatan tentera Kedah telah memperluaskan pengaruh mereka dari Pulau Sembilan yang terletak di lembah Kerian, Perak.

Ketika itu, angkatan tentera kedah diterajui oleh putera Sultan Muhammad Jiwa Adilin Mu'adzam Shah II iaitu Tunku Anjang.

Bukan itu sahaja, malah penguasaan Kedah meluah sehinggakan merangkumi negeri-negeri utara seperti Seberang Perai dan Pulau Pinang, Perlis dan termasuk Satun, Thailand.

peta asal negeri kedah

(Antara wilayah jajahan milik kerajaan Kedah satu ketika dahulu)

Pada asalnya, kesemua kawasan ini adalah di bawah taklukan Kedah. Kota Sena atau kini dikenali sebagai bandar Kangar dam Kota Indera Kayangan pernah menjadi pusat pemerintahan Kedah satu ketika dahulu.

Penaklukan Kedah tidak terhenti setakat itu sahaja di mana ia diperluaskan dengan menakluki kawasan baharu bermula dari Terang, Krabi, Phuket, Phanga dan Pulau Samilan.

Pada hari ini, kawasan-kawasan ini adalah milik Thailand.

Sebelum nama kawasan-kawasan ini ditukar mengikut pertuturan masyarakat Thailand, ia mempunyai nama sebenar.

Antaranya adalah Kerambit yang bererti sebilah pisau berbentu sabit, yang kini dikenali sebagai Krabi. Bukit adalah nama asal bagi Phuket makanala Phanga dahulunya dikenali sebagai Bunga.

dr wan shamsudin berdiri di mercu tanda di segenting kra

(Dr. Wan Shamsudin di mercu tanda yang tertulis '

Di sini bermula bumi Melayu' ketika lawatan di Segenting Kra. Kredit: Karangkraf)

Kekuatan tentera Kedah pada ketika itu tidak dapat dibendung sehinggakan meluaskan jajahan sehingga ke Ranong, Thailand serta perairan Myanmar.

Dalam penaklukan kawasan-kawasan ini, tak semua daripadanya milik Siam dan ada di antaranya mempunyai kerajaan merdeka.

Ranong pada asalnya dikenali sebagai Rundung, namun kemudiannya ditukar.

Mercu tanda di Segenting Kra iaitu di wilayah Ranong dibina oleh kerajaan Thailand dan diukir padanya "Di sinilah bermulanya bumi Melayu", sebagai perakuan bahawa Kedah pernah menjajah sehingga ke sana.

Kekuatan disebabkan pangkalan kapal perang sendiri

Akan tetapi, semua kejayaan hebat yang dikecapi Kedah diperolehi hasil daripada usaha dan pengorbanan. Kerajaan yang sangat kuat dan ditakuti ini ditegakkan dengan cara bertempur dengan kuasa asing oleh angkatan tentera Kedah.

Kekuatan yang dimiliki oleh angkata tentera Kedah pada ketika itu tidak dapat dikalahkan dan antara salah satu sebabnya adalah ia memiliki pangkalan kapal yang terletak di pelabuhan Telibung, di wilayah Terang, Thailand.

kedah miliki pangkalan kapal perang sendiri

Hal ini disebutkan dalam syair Sultan Maulana, gelaran yang diberikan kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II ketika kerajaan siam meminta armada Kedah yang berada di Phuket untuk mengusir Burma yang menduduki pulau tersebut dari tahun 1808 hingga 1810.

Kekukuhan perahu perang Kedah yang dihasilkan di Telibung dipuji oleh penyair yang kagum dengan kelengkapan dan senjata lain, sambil mencerca perahu perang Siam yang lemah.

Antara salah satu rangkap syair itu adalah:

“Perahu Melayu Telibung Kedah, Dua Puluh dibilang sudah, Lainnya Siam haram zadah, Perahu tiada memberi faedah”, maksud perahu dalam syair itu merujuk kepada kapal perang,”.

Mata wang emas dan perak dicipta

mata wang yang dicipta oleh kedah

Kedah juga mempunyai peranan penting dalam menghasilkan pelbagai jenis mata wang. Hal ini berlaku sebelum perluasan kuasa dilakukan.

Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II adalah individu yang bertanggungjawab dalam mencipta mata wang emas dan perak yang mana tertulis nama beliau.

Antaranya termasuklah mata wang berbentuk ayam jantan dan disambung dengan mata wang yang berbentuk bulat seperti cincin.

kerajaan kedah tua

Menurut Dr. Wan Shamsudin, selain daripada kejayaan yang dikecapi ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II, beliau juga dianggap sebagai ketua yang soleh dan menyanjungi para alim ulama.

Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II yang juga merupakan pemerintah negeri Kedah paling lama iaitu selama 68 tahun mempelajari ilmu agama di seberang laut dan berguru dengan Syeikh Abdul Jalil, alim ulama dari Yaman.

makam syeikh abdul jalil

Sebelum diangkat menjadi sultan, beliau menuntut ilmu agama terlebih dahulu di Palembang dengan izin ayahandanya.

Ketika berguru dengan Syeikh Abdul Jalil, gurunya itu langsung tidak mengetahui siapakah gerangan sebenar anak muridnya itu.

Namun, kebenaran akhirnya diketahui Syeikh Abdul Jalil bahawa beliau sedang mengajar putera Sultan Kedah apabila pihak istana terpaksa mencari beliau bagi menggantikan ayahandanya sebagai sultan.

Akibat campur tangan oleh kuasa seperti Acheh, Bugis, Minangkabau dan Siam serta kepincangan dalam kekuatan angkatan tentera Kedah, zaman keemasan Kedah tidak dapat bertahan lama dan semakin hampir ke penghujung.

Pada tahun 1809, Siam memaksa Kedah untuk menentang kebangkitan Patani dan menyerang jirannya Perak pada tahun 1818, sebagai salah satu cara untuk melemahkan kekuasaan Kedah.

Rujukan:

1. Perak Today

2. Karangkraf

3. Berita Dinding




Hakcipta iluminasi.com (2017)