Oleh pada 18 Jun 2021 kategori

Anda mungkin pernah mendengar pepatah bahawa "masa itu emas" atau "masa itu wang". Ia menunjukkan bahawa masa itu amat berharga. Kini, pepatah itu boleh menjadi kenyataan apabila masa anda boleh ditukarkan menjadi sesuatu yang bernilai.

Kini, masa boleh ditukarkan menjadi wang melalui perbankan masa. Di Switzerland, negara yang mempunyai sejarah panjang dalam perbankan telah memperkenalkan konsep bank masa yang mendapat sambutan pelanggan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Switzerland sebenarnya sudah mempunyai sekitar 40 program yang berasaskan pertukaran masa tetapi ia agak berbeza dengan bank masa yang akan diterangkan selepas ini.

Bagaimana perbankan masa berfungsi?

Idea di sebalik perbankan masa ini adalah mudah. Ia berdasarkan individu yang memberikan perkhidmatan berdasarkan masa kepada individu atau entiti lain.

Perkhidmatan ini boleh menjadi apa sahaja yang memerlukan masa seperti perkhidmatan IT, perundingan, penjagaan anak, pendandan rambut, berkebun, pembinaan atau apa-apa aktiviti yang melibatkan masa.

duit masa in time 915

Filem "In Time" yang menggunakan masa sebagai wang

Walaupun kedengaran seperti perkhidmatan biasa yang dibayar atau mendapat upah, perbankan masa tidak melibatkan wang fizikal atau digital. Sebaliknya, anda juga akan dibayar dengan masa.

Masa yang dihabiskan untuk perkhidmatan akan dicatat di bank masa. Bank masa akan menggunakan unit berdasarkan masa terkumpul dan ia boleh digunakan untuk membeli sebarang perkhidmatan berdasarkan masa dari individu lain apabila diperlukan.

Namun, kebanyakan program perbankan masa di Switzerland mempunyai beberapa kelemahan. Antara kelemahannya ialah ia tidak begitu canggih dengan penggunaan teknologi dan "simpanan" anda hanya boleh digunakan di dalam negara itu sahaja.

Walau bagaimanapun, satu program perbankan masa di sana semakin mendapat sambutan ramai. Malah, beberapa negara lain turut ingin mengimplikasikan program seumpama itu.

Perbankan masa sebagai pelan persaraan

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bank masa di Switzerland telah bereksperimen dengan idea menggunakan perbankan masa sebagai sebahagian daripada rancangan persaraan.

swiss bank

Seseorang itu boleh "menyimpan" masa mereka di bank masa dengan memberikan perkhidmatan penjagaan kepada warga emas. Kelak, mereka boleh menggunakan simpanan ini apabila memerlukannya ketika tua.

Hanya terdapat satu sahaja bank masa yang menjalankan program persaraan ini di dunia iaitu Zeitrosorge St. Gallen yang terletak di Switzerland. Beberapa negara lain telah mempertimbangkan perkhidmatan seumpama ini.

Bank ini memberi peluang kepada mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas untuk memberi perkhidmatan penjagaan warga emas bagi mendapat perkhidmatan yang serupa apabila tua nanti.

Program ini mendapat sambutan baik di kalangan penduduk negara itu. Ini kerana semakin ramai anak-anak yang berhijrah atau tinggal jauh dari ibu dan bapa mereka yang sudah uzur.

Pengalaman mengenai bank masa

Seorang pelajar China yang belajar di Switzerland berkongsi pengalamannya mengenai bank masa. Dia menyewa sebuah rumah berhampiran kampus daripada seorang bekas guru bernama Christina.

Walaupun Christina mendapat wang persaraan bulanan atau pencen, namun dia masih mempunyai "pekerjaan" iaitu menjaga seorang wanita berusia 87 tahun yang tinggal bersendirian.

jaga warga emas 693

Apabila ditanya, Christina berkata dia melakukan perkejaan itu bukanlah untuk wang tetapi sebagai simpanan di dalam bank masa. Apabila sudah tua dan sukar menguruskan diri sendiri, dia boleh mengeluarkan "simpanannya" untuk digunakan.

Konsep asal mengenai "Time Bank" ini sebenarnya adalah projek persaraan yang dikembangkan oleh Kementerian Insurans Sosial Persekutuan Switzerland.

Semua pemohon yang ingin menyimpan masa mestilah sihat, mudah berkomunikasi dan mempunyai nilai kasih sayang untuk meluangkan masa menguruskan warga emas yang memerlukan.

Christina menjaga Lisa, 87, dua kali seminggu dengan setiap sesi selama dua jam. Dia akan membantu Lisa dengan kerja rumah, membersihkannya, berbual-bual dan membawanya keluar berjalan-jalan.

Menurut perjanjian, Christina perlu memberikan perkhidmatan itu selama setahun. Apabila cukup, pihak bank masa akan menghantar kad bank masa kepadanya untuk digunakan kelak.

Mengeluarkan simpanan bank masa

Menurut pelajar China itu, suatu hari dia mendapat panggilan daripada Christina. Christina memberitahu bahawa dia terjatuh semasa membersihkan tingkap.

Pelajar itu bergegas pulang untuk membawa Christina ke hospital. Setelah diperiksa, buku lali kaki Christina retak dan doktor mengarahkannya berehat sehingga sembuh.

rumah orang tua

Apabila pelajar itu ingin memohon cuti bagi menjaga Christina, tuan rumah itu menolak dan meminta supaya tidak bimbang. Ini kerana dia sudahpun membuat permohonan untuk mengeluarkan "simpanan" masanya dari bank masa.

Dalam masa tidak sampai dua jam, pihak bank masa telah menghantar seorang sukarelawan untuk membantu menjaga Christina.

Negara seperti Britain dan Jepun mula mempertimbangkan perkhidmatan bank masa. Ini memandangkan kebanyakan warga emas di negara maju terpaksa menguruskan diri mereka sendiri kerana ahli keluarga lain sibuk mencari rezeki.

Adakah program seumpama ini sesuai jika dilaksanakan di Malaysia?




Hakcipta iluminasi.com (2017)