Polemik masyarakat berkaitan dengan umur persaraan sering menjadi isu hangat untuk diperdebatkan. Di satu pihak, akan wujud pendapat yang menyebut tentang keperluan meningkatkan had umur persaraan ekoran tekanan kewangan yang perlu ditampung pada usia tua.
Di satu pihak lain pula akan memberitahu kita - bahawa masalah pengangguran anak muda perlu diisi dan tawaran peluang pekerjaan mestilah diwujudkan, dengan persaraan generasi-generasi telah lanjut usia.
BESARKAN TEKS A- A+
Masalah ini bukanlah eksklusif hanya berlaku di negara kita. Di negara-negara maju lain seperti Korea Selatan dan Jepun turut sama berdepan isu serupa di mana terlalu ramai golongan warga tua didapati perlu terus bekerja dalam memastikan kelangsungan hidup. Bagaimanakah negara-negara lain di Asia Tenggara menguruskan masalah umur persaraan mereka?
Beban kewangan warga tua Malaysia
Kita mulakan dengan negara kita dahulu. Pada bulan September 2019, kerajaan Malaysia mengumumkan cadangan untuk menaikkan had umur persaraan daripada 60 tahun kepada 65 tahun. Perubahan kepada had umur persaraan ini sebenarnya baru saja dipinda pada tahun 2013, selepas Akta Umur Persaraan Minima 2012 berkuatkuasa, menetapkan had umur minima persaraan pada usia 60 tahun.
Di negara kita, ada beberapa masalah yang perlu diberikan perhatian khusus dalam merangka had umur minima persaraan yang optimal bagi membantu semua golongan lapisan masyarakat.
Satu isu paling besar yang perlu diberikan perhatian adalah peningkatan golongan berkategori usia lanjut, disebabkan oleh jangka hayat masyarakat kita yang semakin panjang. Dianggarkan bahawa sekitar tahun 2030, kelompok berusia 60 tahun ke atas di negara kita akan merangkumi 15% daripada jumlah keseluruhan populasi dan kelompok ini akan memerlukan sumber pendapatan yang tetap setiap bulan.
Malangnya, statistik menunjukkan lebih 75% pencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja gagal mencapai tahap simpanan melebihi RM50,000 pada usia 54 tahun; menyebabkan ramai yang bakal berdepan kesukaran kewangan selepas tamat alam pekerjaan.
Purata jangka hayat penduduk di negara kita ketika ini berada pada tahap 75.3 tahun disebabkan oleh kemudahan kesihatan yang lebih baik. Jadi seandainya umur persaraan ditetapkan pada 60 tahun, ini bermakna majoriti penduduk negara kita bakal memerlukan bantuan kewangan dari pelbagai sumber lain, untuk tempoh 10 ke 15 tahun selepas bersara. Itu sesuatu yang agak sukar dilakukan.
Realiti tentang persaraan di Malaysia
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Nikkei Asian Review melibatkan negara kita, Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia - rakyat negara kita merupakan kumpulan masyarakat yang paling khuatir tentang tahap kewangan selepas persaraan.
Berbeza dengan Indonesia di mana separuh daripada responden mengakui tidak berasa begitu bimbang tentang perkara tersebut, hanya 20% daripada responden negara kita berasa yakin dengan kemampuan kewangan selepas tempoh persaraan mereka.
Disebabkan itulah, tinjauan yang dilakukan mendapati lebih 65% golongan pekerja di Malaysia berusia di antara 18 ke 50 tahun beranggapan mereka sudah bersedia untuk terus bekerja walaupun selepas mencapai umur persaraan,
Had umur persaraan Asia Tenggara
Secara puratanya negara-negara Asia Tenggara masih lagi mengamalkan had umur minima persaraan yang boleh dikatakan rendah berbanding dengan had umur di Amerika Syarikat atau Eropah - di mana had umur 65 atau 68 kerap digunakan.
Majoriti negara Asia Tenggaramenetapkan 60 sebagai had umur minima. Kemboja masih lagi memberikan opsyen umur persaraan pada usia 55 tahun untuk penjawat awam mereka, dengan had maksima 60 tahun.
Di Indonesia, had umur persaraan negara mereka telah pun dipinda kepada 57 tahun, naik satu tahun berbanding had asal 56 dengan rancangan untuk meningkatkan umur persaraan secara berkala ke 65 tahun, dianggarkan pada tahun 2030.
Di antara semua negara Asia Tenggara, negara Singapura sebenarnya negara yang berdepan dengan krisis yang paling meruncing dan berisiko tinggi - kerana jika dibandingkan dengan semua negara di Asia Tenggara, Singapura mempunyai jangka hayat penduduk paling lama di Asia Tenggara; sekitar 82.8 tahun usia.
Jangka hayat itu jauh meninggalkan negara-negara Asia Tenggara lain, menyebabkan Singapura turut sama mempunyai kumpulan warga tua paling besar dalam populasi - 20.9 peratus daripada jumlah populasi mereka ketika ini sudahpun berusia lebih 60 tahun.
Langkah Singapura dalam meredakan masalah persaraan
Oleh kerana desakan kewangan yang wujud pada usia lanjut, beberapa perubahan besar telah dilakukan dalam membantu majoriti rakyat Singapura yang sudah atau bakal mencapai umur persaraan mengatasi masalah beban kewangan.
Singapura telah pun mengambil idea daripada kerajaan Jepun, memperkenalkan had umur pengambilan semula bekerja yang diperkenalkan pada tahun 2012.
Akta baru ini mewajibkan majikan menawarkan pekerjaan dan menggajikan semula pekerja yang telah mencecah usia persaraan 62 tahun, sehinggalah dia mencapai usia 67 tahun sekiranya pekerja itu memilih untuk terus bekerja.
Adakah solusi Singapura dan Jepun terbaik untuk Malaysia?
Sebagai solusi kepada masalah ini - kerajaan Singapura mempunyai dua akta yang berkait iaitu akta umur persaraan yang ditetapkan pada usia 62 (ketika ini), bakal dinaikkan kepada 63 pada tahun 2022 dengan peningkatan berkala kepada 65 menjelang 2030.
Akta had umur pengambilan pekerja semula secara automatik akan diaktifkan ketika mana-mana pekerja mencapai had umur persaraan, akan dinaikkan had maksimanya daripada 67 tahun ketika ini kepada 68 tahun pada 2022 sehinggalah 70 tahun pada 2030.
Mengapakah Singapura mencontohi apa yang telah dilakukan oleh Jepun?
Ini kerana kedua-dua negara mempunyai isu yang hampir serupa. Jepun merupakan negara dengan populasi warga tua paling besar di dunia, dengan 26.7 peratus populasi mereka sudah pun melangkaui umur 65 tahun. Diisytiharkan sebagai satu krisis negara, situasi di Jepun ketika ini agak meruncing, disebabkan oleh beberapa masalah besar dalam sistem masyarakat mereka sendiri.
Kadar kelahiran yang rendah menyebabkan jumlah populasi mereka saban tahun menurun, menjurus kepada kekurangan tenaga kerja muda sehingga menyebabkan industri-industri besar di Jepun berhadapan masalah ketiadaan pekerja muda.
Rujukan