hh

Oleh pada 01 Aug 2024 kategori

Siapa tahu apa telah berlaku pada 10 Jun 2024 yang diramal bakal mengubah hala tuju ekonomi dunia?

Kerajaan Arab Saudi memilih untuk tidak meneruskan perjanjian di antara negara itu dengan kerajaan Amerika Syarikat, yang dikenali sebagai perjanjian petrodollar - menoktahkan kerjasama yang telah terjalin erat sekian lama pada bulan Jun tahun 2024.

Sistem kerjasama petrodollar muncul awal tahun 1970-an selepas berlakunya kejatuhan sistem kewangan diasaskan Bretton Woods. Sistem lama itu dirangka bagi mengikat mata wang antarabangsa kepada dollar Amerika Syarikat (USD) yang seterusnya boleh ditukar ke dalam bentuk emas emas.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kerjasama menang dan menang

apa itu petrodollar

Dalam tahun 1971, kerajaan Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Richard Nixon meninggalkan standard emas secara tergesa-gesa, menyebabkan ketidakstabilan pada nilai mata wang serta berlakunya naik turun nilai tanpa sebarang kawalan dapat diperkenalkan.

Untuk menstabilkan USD dan mengukuhkan kedudukan matawang mereka di peringkat global, Amerika Syarikat dan Arab Saudi mencapai perjanjian penting dalam tahun 1974.

Di bawah perjanjian ini, Arab Saudi bersetuju menetapkan harga minyak keluaran mereka menggunakan nilai USD dan melaburkan lebihan hasil minyak dalam pembangunan sekuriti dikelolakan kerajaan Amerika Syarikat.

Sebagai balasan, Amerika Syarikat bersetuju untuk menyediakan sokongan ketenteraan dan ekonomi kepada Arab Saudi.

Kenapa perjanjian ini menguntungkan kedua pihak?

petrodollar 1 min

Di pihak Amerika Syarikat, perjanjian petrodollar memastikan berlakunya permintaan berterusan untuk matawang USD di peringkat global, yang pasti akan mengukuhkan kedudukan matawang itu sebagai mata wang rizab dunia.

Permintaan tinggi ini membantu Amerika Syarikat membiayai defisit bajetnya akibat masalah ekonomi yang melanda mereka dua dekad sebelum itu serta mengekalkan kestabilan ekonomi tanpa perlu berdepan tekanan inflasi, akibat daripada pengeluaran cetakan wang dalam amaun besar.

Perjanjian petrodolar memberikan beberapa manfaat penting kepada Arab Saudi, dalam banyak aspek.

Pertama, dengan kerjasama ini Arab Saudi mempunyai jaminan keselamatan dan sokongan ketenteraan daripada Amerika Syarikat, yang pasti membantu meningkatkan keselamatan dan kestabilan politik di Asia Barat.

Hasil minyak yang dilaburkan dalam pembangunan sistem sekuriti kerajaan Amerika Syarikat bakal memberikan pulangan yang stabil dan menguntungkan, menyumbang terus kepada kestabilan ekonomi Arab Saudi sendiri.

Selain itu, perjanjian petrdollar juga membantu memperkukuhkan hubungan strategik antara Arab Saudi dan Amerika Syarikat, dilihat penting dalam aspek geopolitik dan ekonomi negara tersebut​

Apakah kesan positif perjanjian ini kepada dunia?

perjanjian amerika syarikat arab saudi petrodollar

Selain dua negara terlibat, kesan perjanjian ini juga menyumbang kepada faedah dan tak kurang juga keburukan kepada masyarakat antarabangsa. Kita bincangkan dulu apa faedahnya sebelum ke sisi buruk perjanjian ini.

Perjanjian petrodollar mengukuhkan kedudukan USD sebagai mata wang utama dalam aktiviti perdagangan dan kewangan global, yang memudahkan transaksi dan aliran pelaburan antarabangsa kerana ekonomi dunia kini seakan mempunyai satu standard tetap, menyumbang kepada globalisasi ekonomi.

Dengan kitaran petrodolar melalui tindakan melaburkan hasil minyak Saudi dalam aset milik Amerika Syarikat, kecairan ekonomi pada peringkat global meningkat pesat menyumbang kepada pertumbuhan dan kestabilan ekonomi semua negara yang ada hubungan ekonomi dengan negara itu.

Dalam aspek lebih fokus, perjanjian ini juga mengukuhkan perkongsian strategik antara Amerika Syarikat dan Arab Saudi, yang dilihat telah berjaya memastikan bekalan minyak untuk kegunaan dunia stabil selain menstabilkan geopolitik di Asia Barat, yang selalunya ada saja isu dan konflik.

Apa pula keburukannya?

perjanjian petrodollar

Walaupun ada banyak kelebihan, setiap sistem dirangka manusia pasti ada kekurangannya. Begitulah juga dengan perjanjian petrodollar ini.

Perjanjian petrodollar membawa kesan negatif kepada negara-negara selain Amerika Syarikat dan Arab Saudi. Sistem ini menyumbang kepada ketidakseimbangan ekonomi global apabila negara yang memiliki defisit perdagangan besar, terutama yang mengimport minyak terpaksa membayar dalam USD untuk melakukan transaksi.

Syarat ini telah membawa kepada peningkatan hutang luar negeri dan tekanan ekonomi kepada negara terkesan, membuatkan negara-negara sebegini terdedah kepada turun naik nilai matawang dan dasar monetari Amerika Syarikat, yang sering dikritik hanya mengutamakan nilai matawang mereka serta tidak mempedulikan kepentingan ekonomi pada tahap global.

Perjanjian yang diperkenalkan juga memperkukuhkan ketergantungan dunia terhadap minyak galian sebagai sumber tenaga utama, melambatkan usaha beralih kepada sumber tenaga yang lebih baik dan lebih penting, boleh diperbaharui. Ketergantungan kita kepada petroliam ini tidak hanya menyumbang kepada perubahan iklim dan pencemaran yang boleh atau telah berlaku.

Oleh kerana disandarkan harga minyak kepada USD, negara-negara yang ekonominya bergantung kepada import minyak pasti menghadapi ketidakstabilan ekonomi yang agak signifikan setiap kali harga minyak global naik dan juga turun. Kita sendiri telah merasai kesannya kepada ekonomi kita.

Akhir sekali, kerjasama Arab Saudi sebuah negara Islam dengan Amerika Syarikat yang dilihat sebagai perosak utama dunia, jelas memberi pengaruh besar kepada geopolitik serantau khususnya di Asia Barat; menyebabkan ketegangan dan konflik di beberapa bahagian dunia.

Sokongan ketenteraan dan ekonomi Amerika Syarikat kepada Arab Saudi menimbulkan persaingan dan ketegangan dengan negara-negara serantau banyak kali menghalang usaha yang cuba dibuat bagi mengukuhkan keselamatan dan kesejahteraan negara-negara di rantau tersebut.

Apa diramal berlaku selepas ini?

yuan china alternatif kepada us dollar

Keputusan Arab Saudi untuk tidak memperbaharui perjanjian petrodollar, yang berkuat kuasa pada 9 Jun 2024 menandakan bakal berlaku perubahan ketara dalam landskap ekonomi global.

Arab Saudi kini boleh menjual minyak dalam matawang berbeza, dengan matawang seperti renminbi China, Euro, Yen, dan juga mata wang digital seperti Bitcoin dikatakan boleh dijadikan alat transaksi. Dengan berlakunya pertukaran dalam sistem lebih luas sebegini, diramal akan berlakunya pengurangan dominasi USD ke atas ekonomi dunia.

Negara pengeluar minyak pula diramal akan menyusun semula rizab tukaran asing yang menjadi aset dan serta mengubah sistem transaksi, yang dilihat berpotensi meningkatkan permintaan untuk matawang lain serta aset berbentuk digital.

Peralihan ini dikatakan mampu mempercepatkan pembangunan sistem kewangan dan platform pembayaran baru, dengan mata wang digital diselia bank pusat​ dikatakan bentuk matawang yang bakal diambil sebagai standard.

Lebih penting, pengakhiran perjanjian petrodolar dikatakan akan mengubah pakatan geopolitik dan perkongsian ekonomi antara negara-negara besar, khususnya selepas kita dapat melihat bagaimana Arab Saudi menyusun semula hubungan ekonomi dan keselamatannya.

Persetujuan Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu menyertai pakatan BRICS (pakatan dibentuk negara pengasas Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) pada bulan Januari 2024, dilihat sebagai isyarat awal apa hala tuju kerajaan Arab Saudi selepas ini.

Dalam konteks kita di Malaysia, apa pula pandangan anda? Adakah kita pun perlu melakukan langkah sama?




Hakcipta iluminasi.com (2017)