Oleh pada 16 Jul 2018 kategori

"Tolong saya, saya Amanda Berry. Saya perlukan pihak polis," jelas Amanda. "Saya telah diculik dan saya telah hilang lebih daripada 10 tahun. Sekarang saya di sini dan saya telah bebas!"

Berikut adalah perbualan telefon di antara Amanda Berry dan pihak polis tempatan di Cleveland, Ohio.

Amanda Berry, salah seorang daripada mangsa culik, telah berjaya meloloskan diri selepas diculik dan dijadikan tahanan selama lebih daripada 10 tahun oleh seorang pemandu bas, Ariel Castro.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimana seorang pemandu bas sekolah tempatan boleh menculik dan menghambakan 3 gadis tempatan? Bagaimana mereka tidak dapat dikesan oleh keluarga dan rakan-rakan? 

Ketiga-tiga gadis ini dijadikan "banduan" dan "hamba" fizikal, mental dan seksual dalam penjara yang mana tidak jauh daripada rumah mereka. 

Ariel Castro penculik licik

ariel castro seorang penculik yang licik

Ariel Castro dilahirkan pada 10 Julai 1960 di Puerto Rico dan berpindah ke Amerika Syarikat ketika masih kecil bersama ibunya selepas kedua ibu bapanya bercerai.

Ariel kemudiannya berkahwin dengan Grimilda Figueroa, dan berpindah ke 2207 Seymour Avenue, Cleveland, Ohio pada tahun 1992. Hasil perkahwinan mereka dikurniakan 3 orang anak lelaki dan seorang anak perempuan.

Ariel mempunyai rekod keganasan rumah tangga didakwa memukul isterinya sehingga patah tangan, hidung dan tulang rusuk.

ariel castro digambarkan sebagai seorang yang baik hati dan peramah oleh kenalan

Pada tahun 1996, Grimilda berpindah keluar daripada rumah tersebut dan mendapat hak penjagaan keempat-empat anak mereka.

Menurut jiran dan kenalan Ariel, dia merupakan seorang yang baik hati dan suka menolong orang. Dia sangat mudah didekati dan juga peramah, membuatkan orang ramai senang dengannya. Namun di sebalik personaliti tersebut, Ariel mempunyai sisi gelap dalam dirinya.

Penculikan Michelle Knight

foto michelle knight sebelum penculikan

Amanda Berry, Michele Knight dan Gina Dejesus, ketiga-tiga mangsa ini diculik dengan cara yang sama dan di kawasan yang sama.

Mangsa penculikan pertama adalah Michelle Knight. Pada 23 Ogos 2002, Michelle yang ketika itu berusia 21 tahun dilaporkan hilang selepas mengunjungi rumah sepupunya.

Menurut sumber, Ariel Castro yang memandu van, mengajak Michelle ke rumahnya dengan menjanjikan anak anjing untuk diberikan kepada anaknya. 

Percaya dengan ajakan tersebut, Michelle di bawa ke rumah Ariel, dan sejak itu, kelibatnya tidak lagi kelihatan.

foto michelle knight sebelum penculikan 2

Pihak polis melaporkan bahawa kehilangan Michelle disiasat dengan sumber yang terhad, sebahagian besarnya disebabkan oleh dia dikategorikan sebagai dewasa pada ketika itu.

Selepas 15 bulan, nama Michelle dikeluarkan daripada senarai mangsa hilang.

Amanda Berry mangsa kedua

amanda berry mangsa kedua ariel castro

Kurang setahun selepas penculikan Michelle Knight, seorang gadis bernama Amanda Marie Berry dilaporkan hilang sehari sebelum ulangtahun kelahirannya yang ke 17, pada 21 April 2003.

Kali terakhir Amanda diketahui keberadaannya apabila dia menelefon kakaknya, memberitahu bahawa dia menumpang seseorang untuk pulang ke rumah selepas tamat syif kerjanya di Burger King.

Menggunakan modus operandi yang sama, Ariel Castro mengumpan Amanda dengan bertanya sama ada dia ingin menumpang pulang.

Malah, Amanda juga merupakan rakan kepada anak Ariel Castro, iaitu Angie. Ariel bertanyakan sama ada Amanda ingin berjumpa dengan anaknya di rumah, dan Amanda menjawab ya.

Semenjak itu, kelibat Amanda tidak lagi kelihatan.

amanda berry mangsa kedua ariel castro 2

poster kehilangan amanda berry

Pada mulanya pihak FBI beranggapan bahawa Amanda melarikan diri, sehinggalah seminggu selepas kehilangannya di mana seorang lelaki yang tidak dikenali membuat panggilan telefon kepada ibu Amanda mengatakan: "Amanda ada dengan saya. Dia baik-baik sahaja dan akan pulang ke rumah dalam masa beberapa hari,". 

Ibu Amanda, Louwana Miller, terus mencari anaknya walaupun selepas seorang yang mengaku dirinya sebagai psikik, Sylvia Browne, memberitahunya bahawa Amanda telah mati.

Penculikan terakhir Gina DeJesus

gina dejesus mangsa terakhir ariel castro 964

Berusia 14 tahun ketika itu, Georgina "Gina" Lynn DeJesus dilaporkan hilang pada 2 April 2004, setahun selepas penculikan Amanda Berry.

Kali terakhir Gina kelihatan adalah di sebuah pondok telefon, dalam perjalanan pulang daripada sekolahnya. Pada ketika itu, Gina bersama-sama rakannya Arlene Castro, yang juga merupakan anak kepada penculiknya itu.

Mereka menelefon ibu Arlene, Grimilda, memohon kebenaran bermalam di rumah Gina.

gina dejesus dan arlene castro

Selepas tidak mendapat kebenaran Grimilda, kedua-dua rakan ini membawa haluan masing-masing, dan ketika inilah Ariel datang dan mengajak Gina menaiki vannya.

Arlene adalah individu terakhir melihat Gina sebelum kehilangannya. Gina kemudiannya dibawa ke rumah Ariel dan dirantai di bilik bawah tanah, sama seperti Amanda.

Apa yang menyeramkan adalah jarak di antara rumah Ariel Castro dan rumah keluarga Gina hanyalah 3 kilometer dan Ariel Castro mengenali keluarga Gina dengan agak rapat.

Disebabkan tiada sesiapa yang melihat penculikan Gina, maka "AMBER Alert" tidak dikeluarkan. AMBER Alert adalah sistem amaran penculikan kanak-kanak yang berasal dari Amerika Syarikat pada tahun 1996

poster kehilangan georgina dejesus 744

Gina dipaparkan dalam segmen America's Most Wanted, yang mengaitkannya dengan kehilangan Amanda. Kehilangannya mendapat liputan media sehingga tahun 2012, 8 tahun selepas kehilangannya.

Pelbagai usaha dilakukan, termasuklah upacara sembahyang di gereja yang mana dihadiri oleh Ariel Castro sendiri yang dilaporkan bermain muzik dalam upacara tersebut yang didedikasikan kepada Gina.

Malah, Ariel juga membantu dalam misi pencarian Gina dengan mengedarkan fliers kepada orang ramai bersama anaknya Arlene.

Menjadi banduan di rumah Ariel Castro

rumah ariel castro di mana mangsa mangsanya dikurung 95

Selepas diculik, Michelle dibawa oleh Ariel ke tingkat atas, mengikat tangan dan kakinya bersama-sama. Michelle ditinggalkan bersendirian selama 3 hari tanpa diberi makanan.

Bilik di mana Michelle dikurung dikunci dan dia terpaksa menggunakan tandas plastik untuk membuang air yang mana sangat jarang dibersihkan.

Michelle diberi makan sekali sehari dan dibenarkan untuk mandi sekali seminggu.

Michelle digunakan sebagai pelayan seks oleh Ariel sehinggakan hamil sebanyak 5 kali, namun digugurkan oleh Ariel dengan cara dipukul menggunakan dumbbell, ditumbuk, dihentak ke dinding dan dibiarkan kelaparan.

Pernah satu ketika dalam tempoh 11 tahun diculik, Michelle tidak mandi hampir 8 bulan.

rumah ariel castro di mana mangsa mangsanya dikurung 2

model rumah ariel castro

Selepas penculikan Amanda, dia juga dibawa ke rumah Ariel dan dibawa sekitar kawasan dalam rumah, sebelum Ariel mengarahkan Amanda untuk menanggalkan seluarnya. 

Amanda kemudiannya dibawa ke bahagian bawah tanah di mana kaki dan tangannya dirantai, dan dipakaikan helmet. Arie meninggalkan Amanda berseorangan dalam kegelapan di bilik bawah tanah tersebut. 

Menurut Amanda, dia beranggapan bahawa dia akan mati di situ. Ariel membekalkan sebuah TV hitam putih, di mana digunakan Amanda untuk melihat berita yang menyiarkan berita penculikannya dan memaparkan ahli keluarganya yang sedang mencarinya. 

bilik bawah tanah yang dijadikan penjara 224

rantai yang dipasangkan pada kaki mangsa

4 hari kemudian, Amanda dipindahkan ke sebuah bilik di tingkat dua dan dirantai di sebuah radiator. Amanda menceritakan detik-detik dia dikurung dan diasingkan membuatkan dirinya tidak lagi mampu bertahan.

Amanda kemudiannya meminta Ariel membelikannya buku atau jurnal, supaya dia dapat berbuat sesuatu mengisi masa-masa yang dilaluinya.

Menggunakan buku tersebut, Amanda menulis diarinya yang mana dia mencatatkan jumlah dirinya menjadi mangsa seks Ariel setiap hari.

antara bilik dalam rumah ariel castro

Antara tulisan Amanda adalah: "Saya tak sabar nak balik rumah. Saya dah berusia 17 tahun tapi saya tak ada kehidupan. Dan dia (Ariel) beritahu yang saya masih muda dan akan dibenarkan pulang lagi 2 bulan,"

Sama seperti Michelle, Amanda juga hamil akibat dirogol oleh Ariel. Namun, Ariel tidak membunuh kandungan tersebut dan pada Disember 2006, Amanda telah melahirkan seorang bayi di dalam sebuah kolam plastik berisi air dan dibantu oleh Michelle.

amanda berry bersama jocelyn dan kakanya

Amanda Berry (tengah) bersama kakaknya dan anaknya, Jocelyn

Bayi tersebut diberi nama Jocelyn dan hasil ujian DNA mengesahkan bahawa Ariel Castro adalah bapa kandung Jocelyn. Jocelyn memanggil Ariel dengan panggilan "daddy" dan ibu Ariel dengan panggilan "grandmother".

Gina DeJesus juga mengalami nasib yang sama seperti Michelle dan Amanda, namun tidak hamil. Mereka tinggal di bilik yang berasingan dan diugut akan dibunuh jika cuba untuk melarikan diri.

Ketiga-tiga gadis malang ini dikurung dan diseksa di dalam rumah ini, tanpa sekalipun menjejakkan kaki di luar mahupun melihat cahaya matahari (semua tingkap ditutup dengan kayu) selama 11 tahun bagi Michelle, 10 tahun Amanda dan 9 tahun bagi Gina.

perkongsian ariel castro di akaun facebook miliknya

ariel castro meminati muzik

Dan dalam tempoh tersebut, Ariel Castro menjalani kehidupannya seperti tiada apa yang berlaku. Pada siang hari dia bekerja sebagai pemandu bas sekolah dan bermain bass di kelab tempatan pada malanya.

Hanya anaknya Jocelyn dibenarkan bermain di halaman dan di bawa ke gereja.

Malah, semua kenalan dan jiran tidak menyedari bahawa antara salah satu kes penculikan terdahsyat sedang berlaku di kawasan kejiranan mereka.

4 hari sebelum penemuan, Ariel berkongsi satu post Facebook dengan menulis kapsyen "Miracles do happen. God is Good".

Cubaan melarikan diri

Pada 6 Mei 2013, selepas 10 tahun diculik dan dikurung, Amanda Berry melihat satu peluang ke aras kebebasan.

Dia terlihat pintu biliknya tidak dikunci, namun teragak-agak untuk melarikan diri. Sebelum itu, mereka juga sedar bahawa pintu bilik tidak dikunci Ariel, yang mana mereka cuba untuk melarikan diri.

Namun usaha itu terbantut selepas disedari Ariel yang kemudiannya memukul mereka. Namun, situasi kali ini sedikit berbeza.

amanda berry cuba melarikan diri apabila melihat pintu tak berkunci

Anak Amanda, Jocelyn yang ketika itu berusia 6 tahun, memberitahu ibunya: "Ibu, ayah beritahu bahawa dia pergi ke rumah nenek,".

Mendengar kata-kata anaknya itu, Amanda sedar terdapat peluang keemasan untuk melarikan diri. Amanda memberanikan diri keluar daripada bilik dan menuju tingkat bawah.

Menyedari Ariel tiada di rumah, Amanda kemudiannya mengetuk pintu utama yang berkunci dan menjerit dengan begitu kuat sehinggakan disedari oleh jiran-jirannya. 

charles ramsey jiran yang menyelamatkan amanda berry

Salah seorang daripada jiran kemudiannya pergi ke rumah tersebut dan Amanda berkata: "Saya Amanda Berry, tolong saya!".

Charles Ramsay kemudiannya memecahkan bahagian bawah pintu dan Amanda keluar melalui lubang tersebut bersama-sama anaknya.

Setelah berjaya melarikan diri, Amanda menghubungi 911 dan meminta bantuan.

polis menyerbu masuk rumah ariel castro

Sejurus pihak polis tiba di rumah Ariel, Amanda memberitahu bahawa terdapat lagi 2 orang wanita di dalam rumah tersebut, membuatkan pihak polis memecah masuk.

Selepas menaiki tingkat atas, pegawai polis Anthony Espada terlihat seorang wanita keluar daripada bilik dan berhenti seketika sambil merenung tepat kepadanya, lalu melompat ke arah Anthony sambil berkata:

"Awak selamatkan kami. Awak selamatkan kami!".

Beberapa saat kemudian Anthony terlihat seorang lagi wanita keluar daripada sebuah bilik dan beliau bertanyakan siapa nama wanita tersebut.

anthony espada memecah masuk ke rumah ariel castro dan menjumpai michelle knight dan gine dejesus

Sambil menangis teresak-esak, dia menjawab, "Nama saya Georgina DeJesus,".

Ketiga-tiga mangsa tersebut bersama kanak-kanak itu dibawa ke MetroHealth Medical Center untuk pemeriksaan. 

Semua jiran dan rakyat Amerika Syarikat terkejut dengan penemuan tersebut yang mana mereka menyangkakan bahawa ketiga-tiga wanita itu sudah mati.

Pencarian dan pendakwaan ke atas Ariel Castro 

ariel castro ditahan di sebuah restoran mcdonald di cleveland

Pihak polis kemudiannya memulakan pencarian ke atas Ariel Castro berpandukan butiran mengenai kereta yang dipandunya.

Seketika kemudian, polis berjaya menjejaki Ariel dan dia diberkas di sebuah restoran McDonald berdekatan kawasan tersebut. 

Ariel didakwa dengan 4 tuduhan penculikan dan 3 tuduhan rogol pada 8 Mei 2013 yang membawa hukuman penjara 10 tahun hingga seumur hidup.

Seminggu kemudian pada 14 Mei, Ariel Castro melalui peguamnya mengaku tidak bersalah di atas semua tuduhan jika didakwa kerana menculik dan merogol.

ariel castro ketika perbicaraan dibacakan

Pada 7 Jun 2013, pertuduhan rasmi dibuat oleh juri Cuyahoga County mengandungi 329 tuduhan, termasuk 2 tuduhan membunuh melibatkan kematian bayi dalam rahim Michelle.

Dan pada 12 Julai, sekali lagi juri Cuyahoga County membuat dakwaan sebenar yang membawa kepada 977 tuduhan semuanya, iaitu:

  1. 512 tuduhan penculikan
  2. 446 tuduhan merogol
  3. 7 tudiuhan seks kasar
  4. 6 tuduhan serangan ganas
  5. 3 tuduhan membahayakan kanak-kanak
  6. 2 tuduhan membunuh dengan kejam
  7. 1 tuduhan pemilikan alat jenayah iaitu sepucuk pistol

Pada 17 Julai, Ariel Castro sekali lagi mengaku tidak bersalah terhadap semua dakwaan tersebut.

Namun pada 26 Julai 2013, Ariel Castro mengaku bersalah terhadap 937 daripada 977 tuduhan ke atasnya yang membawa kepada hukuman penjara 1,000 tahun tanpa parol.

ariel castro kelihatan tersenyum di mahkamah

Segala asetnya dirampas termasuk rumah tersebut yang kini telah dimusnahkan.

Ketika di mahkamah, Ariel Castro berucap selama 20 minit di mahkamah dengan berkata dia adalah "orang yang baik" dan bukannya "monster". 

Ariel mendakwa dia tidak pernah memukul atau menyeksa ketiga-tiga wanita tersebut dan menegaskan bahawa segala hubungan seks yang dilakukan adalah dengan persetujuan mereka.

Dia kemudiannya menyalahkan FBI kerana gagal menangkapnya dan menyalahkan mangsa-mangsanya kerana mempercayakannya.

Ariel kemudiannya dengan nada bersalah berkata: "Saya harap mereka dapat memaafkan saya kerana kami (Ariel dan ketiga-tiga mangsa) hidup dengan sangat harmoni di rumah tersebut,".

Perobohan rumah dan kematian Ariel Castro

perobohan rumah ariel castro

Rumah Ariel Castro yang menjadi "penjara" bagi Michelle Knight, Amanda Berry dan Gina DeJesus telah dirobohkan pada 7 Ogos 2013.

Pada petang 3 September 2013, selepas baru sebulan menjalani hukumannya, Ariel Castro ditemui tergantung dengan selimut di sel penahannnya di Correctional Reception Center di Orient, Ohio.

Pegawai penjara melakukan CPR ke atas Ariel sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Wexner Ohio State University, di mana dia diisytiharkan mati.

Kisah ini telah difilemkan dalam "Cleveland Abduction" dan ditayangkan pada tahun 2015.

Keadaan Amanda, Michell dan Gina pada hari ini

amanda michelle dan gina

Kini, ketiga-tiga wanita tabah ini bekerja sama untuk membantu orang lain, memberikan harapan dan memastikan tiada siapa yang terpaksa melalui apa yang mereka lalui.

Michelle Knight yang menukarkan namanya kepada Lilly Rose, telah berkahwin pada tahun 2016dan melancarkan 2 buah buku bertajuk "Finding Me" dan "Life After Darkness" yang mana diharapkan agar dapat membantu mangsa sepertinya.

michelle knight dalam rancangan dr phill 608

amanda berry dan gina dejesus

amanda berry dan gina dejesus 2

Gina DeJesus pula menyertai Northeast Ohio Amber Alert Committee, membantu menyokong mangsa dan keluarga mereka.

Amanda Berry pula melakukan perkara yang sama mengendalikan segmen TV mengenai orang yang hilang di Northeast Ohio.


Nota penulis: Kes ini adalah sangat menakutkan dan tidak boleh dihadam akal fikiran bagaimana seseorang itu boleh melakukannya. Kepada gadis-gadis di luar sana, jagalah diri dengan sebaiknya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)