Teknologi yang sudah dikenali zaman sekarang memang mengagumkan. Pengenalan teknologi-teknologi baru yang memudahkan hidup manusia berjaya merubah corak hidup kita semua dengan kadar penggunaan mesin, semakin lama semakin meningkat.

Idea untuk membina teknologi yang kini berada di dalam tangan kita sebenarnya mempunyai asas berusia beribu tahun lamanya. Ada banyak idea masyarakat zaman dahulu yang mendahului zaman mereka terbukti menjadi titik tolak kepada penambah baikan teknologi yang kita gunapakai sekarang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu teknologi yang banyak digunakan orang ramai ketika ini adalah teknologi enjin. Walaupun penciptaan enjin dilihat berteraskan kajian serta penyelidikan manusia pada zaman moden, idea asalnya sebenarnya datang daripada seorang pencipta yang hidup pada abad pertama lagi.

Kisah Heron Alexandrinus

heron of alexandria

Pada tahun ke 10, Heron Alexandrinus dilahirkan ke dunia di Alexandria, yang kini menjadi lokasi kepada negara Mesir. Berketurunan orang Greek, Heron membesar menjadi seorang yang berpengetahuan tinggi dalam bidang matematik dan kejuruteraan, serta dianggap antara pencipta yang banyak mencetuskan idea teknologi yang kita gunakan sehingga kini.

Semasa hayatnya, Heron menyara hidupnya dengan mengajar di Muzium Alexandria, memudahkan dia bertukar-tukar pendapat dengan pengkaji-pengkaji lain seperti saintis dan cendekiawan dalam memperkembangkan idea-idea baru.

Salah satu ciptaan Heron yang paling terkenal namun kurang diberikan perhatian berikutan kekeliruan dalam usaha catatan sejarahnya adalah aeolipile - sebuah turbin menggunakan stim yang mampu menghasilkan daya tujahan.

Aeolipile adalah enjin stim pertama yang dicipta di dunia, namun pada waktu tersebut Heron sendiri tidak mampu mengenalpasti untuk apa enjin tersebut dapat digunakan dalam bentuk yang lebih praktikal.

Aeolipile - nenek moyang enjin moden

aeolipile berpusing pantas

Aeolipile dinamakan sedemikian rupa sempena mengambil nama Dewa Aeolus, Tuhan orang Greek yang mengawal udara dan angin. Perkataan 'pile' pula berasal daripada perkataan 'pila' yang membawa makna 'bebola.'

Idea serupa pernah disebutkan oleh seorang lagi pereka berpengaruh bernama Vitruvius, setahun lebih awal berbanding ciptaan Heron dengan tulisan Vitruvius turut sama menggelarkan ideanya dengan nama serupa.

Bagaimanapun terdapat satu perbezaan besar di antara idea Vitruvius dengan Heron di mana Heron menggunakan bola yang sentiasa berputar untuk menghasilkan kuasa tolakan, sementara idea Vitruvius pula tidak menyentuh bagaimana kuasa itu dapat dihasilkan.

Yang lebih penting, Heron berjaya mencipta alat tersebut sehingga berfungsi. Rekod penciptaannya itu dicatatkan dalam buku beliau Pneumatica yang menggambarkan secara terperinci kaedah yang digunakan serta langkah untuk membina sebuah aeolipile sendiri.

Seperti yang sudah disebutkan di atas, tidak ada sebarang rekod menunjukkan aeolipile digunakan dalam bentuk yang praktikal. Kajian menggambarkan aeolipile ciptaan Heron ketika itu hanya digunakan sebagai persembahan berbentuk novelti kepada orang ramai, yang dipamerkan di kuil-kuil sembahan mereka.

Apa yang aeolipile mampu lakukan?

bagaimana aeolipile berfungsi

Berikutan kekurangan teknologi yang lebih baik pada zaman tersebut, aeolipile dibina dengan agak kompleks siap dengan tungku pembakaran yang berfungsi untuk menghasilkan haba di bahagian bawah aeolipile.

Bebola besi yang dipasang mempunyai beberapa tiub yang mampu mengeluarkan stim. Apabila api dipasangkan dan air panas mula menghasilkan stim, stim tadi masuk ke dalam bola lalu keluar daripada tiub berlubang yang akan bertindak sebagai ekzos.

Semakin hangat haba yang terhasil, semakin banyak stim yang keluar menyebabkan berlakunya penghasilan daya gerakan yang akan memusingkan bola itu dengan laju sebelum mencapai satu kelajuan yang stabil. Enjin stim Heron didapati mampu mencapai kadar putaran sehingga berkelajuan 1,500 pusingan dalam satu minit.

Idea enjin Heron dilupakan sehinggalah abad ke 16

enjin stim terawal

Walaupun sudah berjaya membina prototaip yang berfungsi, idea Heron tidak diperkembangkan masyarakat zaman tersebut. Hanya beberapa belas abad kemudiannya, pada abad ke 16 - jurutera kerajaan Uthmaniyah Mesir yang bernama Taqi al-Din mengambil idea tersebut bagi mencipta beberapa jenis peralatan yang menggunakan prinsip serupa.

Dalam buku tulisannya, Taqi mencatatkan tentang penggunaan kuasa stim dalam membantu memusingkan pembakar bagi memastikan makanan berasaskan daging dibakar dengan rata di semua bahagian. Ciptaan Taqi al-Din ini menjadi asas kepada penciptaan turbin berkuasa stim moden dengan penciptaan pam berkuasa stim pada abad ke 17.

Pada abad ke 18, Thomas Newcomen menjadi pencipta kepada enjin stim pertama dunia yang bersifat praktikal untuk diaplikasikan ke dalam pelbagai jenis keperluan lain, dengan pengenalan sistem injap dan piston dalam mengawal gerakan dalam enjin. Hasil ciptaannya itu ditambah baik pereka-pereka selepasnya dan kini mempunyai pelbagai jenis variasi yang dapat digunakan dalam pelbagai cara.

Begitulah secara ringkas bagaimana sistem enjin yang anda kenali sekarang dicipta, bermula daripada sebiji bola yang berpusing dengan menggunakan janaan stim yang tidak membawa apa-apa tujuan. Hanya idea.




Hakcipta iluminasi.com (2017)