produk china kilang dunia

Untuk beberapa dekad sebelum ini, keperluan produk di seluruh dunia majoritinya bergantung kepada pengeluaran di China.

China menawarkan pakej produk yang baik, dengan harga yang ada kalanya tidak masuk akal serta jaringan rangkaian eksport yang cukup berkesan - melayakkan negara itu diletakkan sebagai 'kilang dunia.'

Namun, perubahan politik dunia serta kejayaan China sendiri yang berjaya meningkatkan sektor ekonomi mereka menyebabkan wujudnya gerakan untuk mengalihkan kebergantungan kepada China ini dalam sektor-sektor pembuatan - kepada negara-negara lain.

The Mighty Five

the mighty five country negara yang bakal gantikan ekonomi china 411

Namun untuk menggantikan China, bukan satu perkara mudah.

Negara tersebut mempunyai populasi penduduk terbesar dunia membolehkan mereka mempunyai barisan pekerja yang sangat memadai dalam urusan pengeluaran sebesar yang diperlukan.

Atas sebab itulah kebanyakan pakar ekonomi meramalkan, seandainya China perlu digantikan; penggantinya perlu datang dengan sokongan kuat.

Sejak tahun 2015, istilah 'MITI-V' atau 'The Mighty Five', mewakili Malaysia, Indonesia, Thailand, India dan Vietnam dipopularkan penganalisis ekonomi mampu menjadi 'kilang dunia' baru seterusnya menamatkan penggantungan kita semua kepada kerajaan China.

MITI-V mewakili Malaysia, Indonesia, Thailand, India dan Vietnam yang diramalkan akan menjadi destinasi pilihan seterusnya pengeluar-pengaluar.

Ramalan sejak 2016

kilang asia tenggara

Sejak tahun 2016, telah diramalkan sektor perindustrian China yang telah berkembang pesat sehingga menjadi ekonomi kedua terbesar dunia dalam tempoh tiga dekad; akan mula mengalami kenaikan kos pekerja.

Kenaikan kos pekerja ini yang dipacu oleh perubahan status industri China daripada berfokuskan pengeluaran kepada pembangunan teknologi, menyebabkan keperluan tenaga mahir di China kini bergantung kepada pekerja profesional.

Negara 'Mighty Five' diramalkan bakal menggalas cabaran itu, dengan India dilihat sebagai negara utama yang akan diangkat menjadi hab 'kilang dunia', bagi membolehkan kos pengeluaran dikekalkan.

India mempunyai 'telaga pekerja' yang tinggi, gabungan kelompok berkemahiran tinggi dan rendah yang memerlukan rangsangan ekonomi secara menyeluruh.

Fasiliti pendidikan di negara mereka juga lengkap, mampu melahirkan graduan untuk memimpin industri dengan berkesan bagi menjana industri secara mampan.

Kerajaan India sendiri telah pun memulakan inisiatif bagi mempergiatkan kemasukan industri ke negara mereka, bermula sejak 2014 lagi.

Kempen 'Buatan India" dilancarkan pada tahun 2014 bagi menggalakkan pembukaan kilang-kilang pembuatan, membolehkan ekonomi India memintas China pada tahun 2015 sebagai ekonomi dunia yang menerima kemasukan pelaburan luar terbesar, tahun tersebut.

Dipacu faktor populasi, sistem pendidikan dan dasar kerajaan yang baik, beberapa faktor berkaitan India dilihat boleh menggugat negara itu menggantikan China. Kadar celik huruf mereka masih rendah berbanding negara MITI-V lain. Tahap kemahiran penduduk mereka juga masih di belakang.

Infrastruktur di India kurang sempurna, khasnya melibatkan pengangkutan dan sumber tenaga. Selain itu kerenah bureaukrasi kerajaan India sendiri dikatakan antara faktor penolak yang kuat.

Bagaimana dengan Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam?

mighty five malaysia kilang dunia 99

Di antara kesemua negara 'Mighty Five', Malaysia dan Thailand dilihat paling stabil. Kita dibantu sektor semikonduktor, kimia, mesin dan getah yang kuat sementara Thailand boleh berbangga dengan sektor automotif, elektronik dan makanan mereka yang pesat.

Namun negara yang diramalkan bakal menjadi pemenang paling besar dalam rombakan hab ekonomi dunia ini, besar kemungkinan adalah Vietnam, dibantu oleh kos penggajian di sana yang dikatakan hanya separuh daripada kos gaji di China.

Terletak tidak jauh dari China dikatakan menjadi tarikan utama syarikat, kerana kos untuk memindahkan produksi mereka tidak akan memakan belanja besar. Suasana politik Vietnam juga stabil dengan fasiliti serta infrastruktur yang lebih baik berbanding Indonesia.

Walaupun disenaraikan, Indonesia dilihat kurang sesuai disebabkan oleh beberapa faktor seperti kedudukan geografi, kurang kawalan ke atas sistem ekonomi serta masalah korupsi yang berleluasa.

Perubahan yang sedang dan akan berlaku

mighty v negara kilang dunia baru

Buat masa sekarang, ramalan bahawa 'kilang dunia' akan dipindahkan ke lima negara ini belum lagi jelas, namun petandanya sudah ada.

Kerajaan Indonesia mengumumkan pada awal bulan Julai tahun 2020, kehadiran 7 buah syarikat gergasi dunia termasuklah LG dan Panasonic dalam industri elektronik, jenama Kenda bagi tayar dan Denso bagi industri pendingin hawa yang akan berpindah ke negara itu.

Pada bulan April tahun 2020, tiga gergasi komputer dunia iaitu Apple, Microsoft dan Google mengumumkan cadangan untuk memindahkan operasi pengeluaran mereka seperti penghasilan telefon pintar Pixel 4a dan siri produk Microsoft Surface ke Vietnam.

Thailand terpilih sebagai hab pengeluaran peranti pintar Google seperti pembantu peribadi.

Apple pula sedang memindahkan pengeluaran mereka secara berperingkat, mengumumkan perpindahan 15 ke 30% pengeluaran peranti aksesori mereka ke negara Asia Tenggara, dengan Vietnam menjadi destinasi utama.

Pada 24 Julai 2020, Apple mengumumkan pengeluaran siri telefon pintar mereka iPhone 11 akan bermula di Chennai, India secara rasmi selain pembukaan sebuah lagi kilang pengeluaran di Bengaluru, Karnataka.

Perubahan mendadak China sebagai peneraju teknologi yang dikatakan bakal menyaingi Amerika Syarikat dan Jerman dari segi kemampuannya, bakal mengubah tradisi produk keluaran 'made in China' yang selama ini menghiasi hidup kita.

Apa pula ramalan anda?

Adakah mampu kelima-lima negara menampung permintaan kita, yang sentiasa mahukan produk berteknologi tinggi pada harga murah - seperti yang telah ditawarkan China?

Rujukan

Which Asian Country Will Replace China as the ‘World’s Factory’?

Low cost manufacturing in Asia – The Mighty Five – MITI V



Hakcipta iluminasi.com (2017)