Sudah berbelas tahun, penganalisis geopolitik dunia memberikan isyarat bahawa Laut China Selatan bakal menjadi lokasi di mana konflik dunia seterusnya akan berlaku, disebabkan oleh beberapa sebab.

Satu faktor utama adalah disebabkan oleh usaha besar-besaran negara China yang bukan saja mahu menguasai sebahagian besar kawasan perairan tersebut, bahkan turut sama mahu menjadikan negara-negara kecil yang berkongsi kawasan itu sekutu, sama ada secara paksa atau diplomatik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa yang dimahukan China dalam usaha mereka? Setakat ini belum jelas apa matlamat besar China dalam menggerakkan pelbagai taktik licik serta keras yang telah mereka amalkan.

Apa yang kita tahu, adalah taktik licik mereka. Apa kaedah yang diamalkan China dalam melebarkan pengaruh mereka di sini?

1. Taktik 'Little Blue Men'

taktik little blue men china

Penganalisis politik berpendapat pada ketika ini, China sedang menggunakan taktik serupa yang pernah dilakukan Russia semasa perang di Crimea pada tahun 2014.

Kemunculan kumpulan-kumpulan askar yang tidak berlencana serta tidak jelas dari mana datangnya di beberapa lokasi strategik seperti lapangan terbang, markas tentera dan bangunan Parlimen seterusnya berjaya mengambil alih negeri itu.

Hanya selepas lebih setahun krisis itu, barulah Presiden Russia, Vladimir Putin mendedahkan kemunculan pasukan tentera yang dinamakan sebagai 'little green men' oleh penduduk setempat, merupakan anggota unit rahsia Spetnaz kendalian tentera Russia.

Dalam kes China, mereka direkodkan menggunakan anggota tentera militia yang mempunyai uniform tetapi tidak menunjukkan identiti mereka adalah anggota tentera People's Liberation Army (PLA) China, ditugaskan menaiki bot-bot yang didaftarkan secara rasmi untuk tujuan perikanan dan akan menyamar sebagai nelayan, bergantung kepada situasi.

Dengan menugaskan anggota militia dalam kapal-kapal nelayan yang dalam masa yang sama bertugas sebagai nelayan, China bebas untuk melakukan aktiviti pengintipan dan dalam pada masa yang sama terlindung daripada dianggap melakukan konfrontasi secara terbuka.

Taktik ini dinamakan penganalisis, sebagai strategi 'little blue men,' mewakili warna uniform militia yang dikerah meronda laut secara tidak rasmi.

2. Diplomasi amaran keras

duterte xinping pertemuan

Berdasarkan laporan media, pasti anda menganggap Presiden Filipina, Rodrigo Duterte sebagai seorang kaki buli yang tidak takut apa-apa. 

Dia terkenal sebagai individu berani yang tidak peduli protokol serta tidak takut melakukan apa yang dia percaya benar.

Bagaimanapun, berhadapan dengan Presiden China, Xi Jinping dalam isu berkaitan aktiviti cari gali minyak di kawasan perairan yang menjadi konflik antara Filipina dengan China, Jinping dengan tegas menyebut (kami petik dan terjemahkan);

"Kita kawan, kami (China) tidak mahu bertengkar dengan anda (Filipina) dan kami mahu persahabatan ini kekal, tetapi jika Filipina bertegas mahu meneruskan aktiviti cari gali - kita akan berperang."

Amaran keras tetapi penuh diplomasi itu, disebut dalam sesi dialog antara kedua pemimpin itu yang didedahkan sendiri oleh Duterte selepas Filipina mengumumkan hasrat untuk meneruskan usaha cari gali.

Yang lebih mengejutkan, amaran itu dikeluarkan selepas Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa telah pun mengesahkan kawasan yang menjadi konflik itu sah milik Filipina, disebabkan oleh tuntutan China yang tidak berasas.

3. Membina pulau buatan

scarborough shoal filipina china

Salah satu kaedah yang paling kerap digunakan oleh China dalam memperluaskan pengaruh mereka ke atas Laut China Selatan, adalah dengan membina pulau-pulau buatan di kawasan strategik khasnya di kepulauan Spratly.

Walaupun banyak pihak melihat usaha membina pulau ini lebih kepada satu usaha melebarkan pengaruh ketenteraan, sebenarnya China dalam masa yang sama menggunakan pulau-pulau itu untuk meletakkan 'kedaulatan' mereka di situ; seandainya tuntutan ke atas kawasan perairan dimulakan negara lain.

Selain itu, lokasi yang dibangunkan di atas pulau-pulau buatan itu turut sama melindungi aktiviti perikanan yang dilakukan oleh nelayan China dan membolehkan China melakukan aktiviti pencarian sumber minyak serta sumber asli; melayakkan China mengisytiharkan tuntutan hak tidak rasmi ke atas lokasi yang ditemui.

Dengan pembinaan 7 pulau buatan di Kepulauan Spratly, kapal-kapal nelayan serta perdagangan milik China kini mampu belayar lebih lama di Laut China Selatan kerana mampu melakukan pembekalan semula, menggunakan fasiliti yang ada di pulau-pulau itu.

4. Militarisasi

askar china mengawal laut china selatan

Di antara kesemua negara yang sedang melakukan tuntutan ke atas beberapa kawasan di Laut China Selatan, China merupakan negara paling terkedepan dalam membangunkan fasiliti-fasiliti tentera di kawasan-kawasan yang ada - dibantu oleh binaan pulau buatan yang telah diusahakan.

Sesuatu yang sangat mengecewakan, apa yang telah berlaku sebelum ini dinafikan sendiri oleh Xi Jinping pada tahun 2015, selepas Presiden Amerika Syarikat ketika itu Barrack Obama mempertikaikan niat sebenar China membangunkan pulau-pulau buatan di kawasan konflik.

Di antara kesemua negara, setakat ini Filipina jugalah yang kerap menjadi mangsa pencerobohan China khasnya di kawasan yang dikenali sebagai Terumbu Mischief, yang telah diambil alih oleh China sejak tahun 1995 secara paksa walaupun terletak tidak jauh daripada Pulau Palawan, yang dikuasai kerajaan Filipina.

Pada tahun 2018, kerajaan China selesai menambak terumbu itu menjadi sebuah pulau buatan untuk dibangunkan sebuah lapangan terbang tentera lengkap dengan landasan untuk pelepasan - terletak 700km daripada tanah besar China.

5. 'Strategi Kobis' dalam meluaskan kuasa

taktik strategi cabbage kobis china

Diantara semua strategi yang digunakan oleh China, satu strategi yang diakui secara rasmi diamalkan oleh tentera China adalah 'Strategi Kobis' atau 'Cabbage Strategy' - merujuk kepada ucapan Mejar Jeneral Zhang Zhaozhong, bagi membolehkan mereka mengambil alih Pulau Huangyan (nama mereka) atau Pulau Scarborough, Filipina pada tahun 2013.

Strategi yang mereka amalkan ke atas kawasan-kawasan yang ingin ditakluki bunyinya mudah dilakukan, asalkan bilangan petugas dan kapal yang ada mencukupi. Dalam temuramah dengan media China, Mejar Zhang mendedahkan mereka berjaya mengambil alih Pulau Scarborouh dengan menggunakan taktik paksaan itu.

Dengan menghantar bilangan kapal dalam jumlah yang banyak terdiri daripada kapal nelayan, kapal pemantau marin serta kapal perang, sesebuah kawasan yang menjadi rebutan akan 'disaluti' oleh kapal-kapal ini, seterusnya membolehkan mana-mana pihak dari negara luar perlu melaporkan dan memohon kebenaran untuk melalui kawasan yang ada, sebagai langkah keselamatan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)