tetrachromacy kebolehan luar biasa

Majoriti manusia mempunyai penglihatan normal yang mampu menafsir warna menggunakan tiga sel berbentuk kon, berupaya membaca warna merah, hijau dan biru. Sistem penglihatan normal yang bergantung dengan tiga kon ini dinamakan sebagai trichromats.

Bagi individu yang mempunyai masalah buat warna, penyakit itu terjadi seandainya satu atau lebih sel di matanya mempunyai masalah, sehingga menyebabkan mereka gagal mengenalpasti warna. Faktor genetik menjadi punca utama kenapa berlakunya abnormaliti pada sistem penglihatan mata seseorang, dengan lelaki menjadi individu paling ramai mengalami masalah buta warna.

Ini kerana lelaki hanya mempunyai satu kromosom-x berbeza dengan wanita yang mempunyai dua kromosom x. Apabila satu kromosom-x pada lelaki mengalami mutasi, lelaki itu akan mengalami buta warna sepenuhnya, berbeza dengan wanita yang masih lagi diselamatkan satu kromosom-x mereka.

Wanita-wanita istimewa

apa itu tetrachromacy

Bagaimanapun, ada juga ketikanya mutasi berlaku pada wanita yang sepatutnya buta warna.

Apabila mata mereka mengalami mutasi pada kromosom-x yang pertama, kromosom-x yang kedua akan membina sel-sel baru sehingga membentuk satu sel kon baru pada setiap mata. Ini menjadikan untuk setiap mata wanita yang mengalami mutasi, akan ada empat sel berbentuk kon yang berupaya memproses warna sehingga melebihi keupayaan manusia biasa.

Kondisi ini dinamakan sebagai tetrachromacy, dengan tetra bermakna empat.

Seorang pengidap tetrachromacy mempunyai kebolehan unik yang tidak ada pada manusia-manusia lain. Mempunyai empat kon warna dalam matanya memberikan individu tersebut kebolehan untuk melihat spektrum gelombang warna yang jauh lebih sensitif, sehinggakan seorang tetrachromat mempunyai penglihatan yang jauh berbeza dengan kita.

Mereka dapat mengesan jutaan warna yang tidak dapat diproses oleh mata kita, memberikan mereka satu dunia yang nyata sangat berwarna-warni berbanding dunia kita, yang mempunyai mata biasa.

Tetrachromacy di sekeliling kita

apa yang dilihat tetrachromat

Walaupun mutasi ini kedengaran unik dan sangat ganjil, statistik menunjukkan 12% daripada keseluruhan populasi wanita di seluruh dunia mempunyai mutasi pada retina mata mereka, yang membolehkan mereka mempunyai empat kon warna pada mata.

Bagaimanapun, keupayaan untuk mentafsir warna itu memerlukan keupayaan yang berbeza-beza dan malangnya, mempunyai empat kon warna pada mata tidak semestinya menjadikan wanita itu seorang tetrachromat.

Ada kemungkinan otak sesetengah wanita tidak bersedia untuk memproses warna tambahan yang ada, menghalang mereka mengesan warna tambahan walaupun organ matanya lengkap empat kon warna.

Ada juga wanita yang tidak menyedari mereka sebenarnya secara mutasi seorang tetrachromat. Ada juga wanita yang perlu dilatih untuk mempunyai kemampuan melihat gelombang warna yang berbeza itu.

Atas sebab-sebab itulah kes tertrachromacy amat sukar didengari, walaupun ramai wanita mempunyai mutasi yang sepatutnya pada mata mereka.

Bagaimana hidup sebagai seorang tetrachromat?

concetta antico pelukis tetrachromat

Persoalan yang penting dan sering ditanyakan apabila berbicara tentang individu yang mempunyai mutasi tetrachromacy ini adalah apa perbezaan penglihatan mereka berbanding manusia biasa?

Dalam satu kajian yang dijalankan, seorang wanita yang mempunyai kebolehan tetrachromacy mampu melihat pelangi dalam 10 atau lebih spektrum warna, berbeza dengan kita yang hanya mampu melihat tujuh warna.

Menurut seorang pelukis wanita bernama Concetta Antico yang disahkan seorang tetrachromat, apa yang dia nampak sangat berbeza dengan apa yang diperkatakan orang lain. Sekiranya kita melihat pintu berwarna putih, bagi beliau pintu itu datang dalam pelbagai tona putih yang berbeza-beza.

Beliau mengakui salji bukan sekadar putih, malahan mempunyai pelbagai jenis warna berbeza. Berbeza dengan kajian yang dijalankan lebih awal yang kami kongsikan di atas, Antico mampu melihat pelangi dalam ratusan spektrum warna yang berbeza-beza.

Ketika melihat seekor gagak hitam, beliau bukan sekadar nampak gagak yang berwarna hitam - tetapi gagak yang bersinar dengan warna ungu, biru dan hijau apabila kepaknya terkena pancaran matahari.

Salah satu kebolehan yang dimiliki oleh Antico tidak dimiliki oleh orang lain, adalah kebolehan untuk mentafsir warna kulit dengan lebih baik - membolehkan dia mengetahui tahap kesihatan seseorang hanya dengan melihatnya. Apabila seseorang itu sakit, kulitnya akan kelihatan kelabu, kuning dan sedikit hijau pada matanya.

Namun, Antico mempunyai masalah apabila melihat darah. Oleh kerana kebolehannya yang berbeza, darah padanya mempunyai warna pekat merah, diselang-selikan dengan warna jingga dan kuning. Ada ketikanya darah pada beliau, bertukar menjadi warna ungu kebiru-biruan.

Rujukan

NY Magazine


tags :, , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)