Berbeza dengan lelaki, mempersiapkan diri bagi sebilangan besar wanita merupakan satu ritual yang kompleks walaupun hanya untuk keluar sekejap.

Ramai wanita merasakan diri mereka perlu sekurang-kurangnya mengenakan solekan minima seperti bedak asas, sebagai usaha untuk mencantikkan seri wajah.

Persoalannya di sini, pernahkah anda terfikir kenapa wanita zaman moden sebegitu tabiatnya?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima sejarah ringkas berkait lima amalan wanita zaman moden berkaitan solekan dan dandanan diri, yang menjadi tekanan besar kepada sebilangan besar kaum wanita dunia.

1. Sejak bila gincu dipopularkan?

izzara aisyah bibir merah gincu

Tahukah anda satu ketika dulu, pewarna bibir turut sama digunakan oleh golongan lelaki - tidak terhad hanya kepada wanita?

Amalan penggunaan gincu bibir atau pewarna bibir sudah bermula sejak era kerajaan Sumeria yang berlangsung sekitar tahun 5,000SM/BC, diwarisi oleh tamadun Mesir Kuno yang mempelbagaikan lagi warna digunakan untuk hiasan wajah.

Dalam era moden, populariti penggunaan gincu terjejas sekitar abad ke 17 selepas kerajaan Britain dan kerajaan tempatan di New York, Amerika Syarikat cuba memperkenalkan larangan dan menghentikan penjualan gincu; atas dakwaan alat solek itu mampu menyebabkan keracunan yang dibuktikan sahih.

Populariti penggunaan gincu bibir hanya mula popular semula selepas gincu dijadikan sebahagian propaganda perang tentera Amerika Syarikat semasa perang dunia kedua.

Sebagai usaha untuk memperkuatkan moral masyarakat, kaum wanita Amerika Syarikat digalakkan berhias untuk menaikkan semangat suami/teman lelaki serta turut sama membantu menambah keyakinan wanita yang terjejas akibat perang, disebabkan kematian yang berlaku.

Tamat perang dunia kedua, amalan pemakaian gincu terus kekal sebagai satu budaya wanita yang dah dibiasakan, terus menjadi amalan sehingga ke hari ini.

2. Kenapa wanita pakai maskara?

celak mata maskara wanita

Seperti gincu, penggunaan bahan untuk menghitam dan melentikkan bulu mata turut menjadi amalan kaum lelaki, khasnya lelaki zaman Mesir Kuno sekitar 3500SM/BC.

Amalan penjagaan bulu mata yang lentik diamalkan wanita Rom selepas itu, disebabkan kepercayaan bahawa bulu mata yang nipis dan mudah gugur menggambarkan seorang wanita yang bernafsu buas.

Ini mengakibatkan kalangan wanita Rom bersusah payah menebalkan bulu mata agar tidak dicop jalang.

Penggunaan maskara sebagai penghitam dan penebal bulu mata bermula selepas Eugene Rimmel, seorang ahli perniagaan kosmetik berjaya mencipta berus maskara  yang mudah digunakan pada tahun 1860.

Idea itu diteruskan Helena Rubenstein, wanita berbangsa Yahudi pemilik jenama gergasi kosmetik dunia yang berjaya mengeluarkan maskara moden pertama dunia.

Bagi mempopularkan penggunaan produk syarikatnya, Rubeinstein menggunakan kedudukannya sebagai seorang yang berpengaruh mula menjalankan kempen penggunaan maskara kepada wanita.

Dalam mesej-mesej yang bersifat provokasi, Rubenstein menyifatkan wanita yang tidak menghiaskan diri mereka adalah wanita yang malas.

Kempen itu nampaknya berjaya dan sehingga kini kaum wanita sanggup menghabiskan masa berjam lamanya menyapu, memadam, menyapu, memadam maskara yang mereka pakai selagi mana warnanya tidak sekata.

3. Sejak bila wanita pakai bedak asas muka?

wanita gemar memakai bedak asas foundation

Berbeza dengan penggunaan alat solekan lain yang mempunyai pengaruh Mesir Kuno, bedak asas muka dipengaruhi amalan masyarakat Rom.

Wanita Rom sekitar 200SM/BC mempunyai pegangan bahawa kulit yang pucat dan sekata, merupakan simbol kejelitaan yang tertinggi. Pendapat ini turut sama dipegang kaum lelaki mereka yang dikatakan tergila-gilakan wanita berkulit cerah pucat.

Disebabkan tekanan itu, wanita Rom seringkali mengenakan sejenis bahan berwarna putih yang diperbuat daripada kapur untuk disapu pada bahagian wajah bagi menghasilkan tona kulit pucat yang diinginkan.

Namun bahan itu yang dikenali sebagai 'white lead' dikatakan beracun, sehingga mampu menyebabkan keguguran rambut, gigi reput serta perubahan tona kulit kekal.

Dalam era moden, rekaan bedak asas yang digunakan wanita zaman sekarang  dicipta oleh seorang ahli perniagaan bernama Max Factor pada tahun 1910.

Factor yang bekerja sebagai perunding solekan industri filem mendapati sistem pencahayaan semasa penggambaran mampu menenggelamkan wajah pelakon.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Factor mencipta krim cecair yang disapu sebagai menjadi pelindung asas dimasukkan dalam tiub, bagi menenggelamkan pantulan cahaya seterusnya menyamaratakan tona kulit pelakon.

Atas permintaan industri filem, Factor seterusnya memperkembangkan produk pelindung itu dalam bentuk lebih mudah diguna serta memperkenalkan pelbagai tona warna, untuk kesesuaian jenis dan tona kulit yang berbeza.

Pada tahun 1938, syarikatnya mengeluarkan bedak asas yang dinamakan Pan-Cake, menggunakan rekaan yang kekal sehingga kini digunakan, mempopularkan penggunaan bedak asas di kalangan wanita moden.

4. Bilakah amalan mewarna kuku bermula?

tabiat warna kuku wanita

Amalan pewarnaan kuku dipercayai dimulakan masyarakat India Kuno menggunakan inai atau henna sekitar tahun 3000SM/BC.

Tabiat mewarnakan kuku ini akhirnya berkembang di kalangan masyarakat China yang berjaya mencipta sejenis varnis hasil gabungan putih telur, gelatin dan getah pokok Akasia untuk menyaluti kuku mereka.

Satu sejarah yang unik melibatkan tamadun Babylon, menyebut bahawa angkatan perang mereka menggunakan pewarna kuku bagi memudahkan pengenalan pangkat atau kedudukan di kalangan pahlawan mereka.

Dengan menggunakan serbuk yang dikenali sebagai 'kohl', tentera Babylon berpangkat tinggi akan memakai warna kuku hitam sementara yang biasa-biasa akan menggunakan warna hijau.

Dalam era moden, ada dua ciptaan penting berkenaan kuku dibuat pada abad ke 20.

Syarikat Cutex memperkenalkan pengilat kuku lutsinar pada tahun 1916 namun produk itu hanya mula popular sekitar tahun 1928.

Tidak lama selepas itu seorang wanita bernama Michelle Menard berjaya mencipta lapisan enamel yang selamat untuk diwarnakan pada kuku, hasil daripada teknologi yang dibangunkan untuk cat kereta.

Idea Menard yang ketika itu berkhidmat di bawah syarikat milik adik beradik Charles dan Martin Revson diterima baik. Adik beradik Revson melantik Charles Lachman, seorang ahli kimia untuk membangunkan idea Menard dalam skala lebih besar.

Hasilnya pada tahun 1932 syarikat yang dinamakan sebagai Revlon mula mengeluarkan enamel kuku berwarna pertama dunia yang menggunakan pigmen warna, mampu menghasilkan kesan yang lebih sekata apabila disapu.

5. Kenapa wanita cukur bulu kaki dan bawah lengan?

ketiak hitam cukur kasar wanita

Berbeza dengan empat amalan di atas yang mempunyai sejarah panjang - amalan mencukur bulu kaki dan ketiak di kalangan wanita sebenarnya masih baru diamalkan.

Tatacara pakaian wanita moden di barat yang semakin lama semakin terbuka menampakkan kulit berbeza dengan dekad-dekad sebelumnya, memerlukan wanita memberikan perhatian khusus kepada kulit mereka yang kini terdedah pada pandangan umum.

Persepsi terhadap kekemasan seorang wanita juga berubah khasnya apabila melibatkan bahagian bawah lengan dan kaki yang sebelum itu tertutup.

Propaganda mula menular di kalangan wanita bahawa bulu ketiak dan bulu kaki yang kelihatan, adalah simbol kepada wanita yang tidak mempedulikan kecantikan dirinya.

gillette pisau pencukur wanita

Melihat bagaimana trend mula berubah, syarikat Gillette turut melompat sama berkempen bagi mempopularkan penggunaan pisau cukur  di kalangan wanita untuk mencukur bulu ketiak.

Kempen ini dilihat sangat membantu mempertingkatkan penjualan pisau cukur keluaran mereka, yang sebelum itu hanya digunakan kaum lelaki.

Gillette mula mengeluarkan siri-siri iklan pada tahun 1917 bertemakan kebersihan bawah lengan, mengutarakan mesej wanita hendaklah memastikan ketiak mereka licin dan bersih jika mahu dilihat sebagai wanita contoh.

Syarikat itu juga turut sama memainkan propaganda bahawa wanita moden perlu mencukur bawah lengan jika tidak mahu ketinggalan.

Mesej sama yang diulang-ulang akhirnya meninggalkan kesan mendalam yang efektif disokong oleh pengaruh majalah seperti Harper's Bazaar yang popular di kalangan wanita era tersebut.

Tidak lama selepas kejayaan besar itu, kulit kaki mula menjadi sasaran disebabkan keperluan kaum wanita untuk menggayakan pakaian yang menampakkan kaki semasa musim panas.

Taktik sama diulang bila majalah berfokuskan wanita mula mempopularkan idea perlunya kaki licin untuk ke pantai dan Gillette pula bergerak seiring, mengeluarkan kit pencukur khas untuk 'wanita moden.'

Dalam tempoh 5 dekad, lebih 90% wanita Amerika Syarikat mula mencukur bawah lengan dan kaki berikutan perasaan malu yang akhirnya kini sudah menjadi satu kebiasaan.

Sehinggakan wanita yang tidak mencukur bulu ketiak dan bulu kaki mereka pula akan dipandang serong oleh sebilangan orang yang memerhati.




Hakcipta iluminasi.com (2017)