Syura merupakan bintang terakhir disingkirkan daripada program realiti Gegar Vaganza 4 (GV4), selepas Elyana, Haida, Raja Azura, Ferhad dan Aqasha.

Mempertaruhkan lagu Dokter Cinta (Dewi Dewi) dan Cinta Antara Benua (Arni Nazira), Syura, 31, tidak menolak punca penyingkirannya baru-baru ini kerana kelemahan persembahan berbanding peserta lain.

“Sedih jugalah namun akur dengan keputusan juri disebabkan persaingan memang sengit. Saya akui peserta lain memberikan yang lebih baik tapi saya tetap gembira dengan persembahan sendiri," luahnya kepada portal Harian Metro

Syura berkata, dia tidak berasa penyertaannya itu satu kerugian kerana berjaya sampai ke peringkat separuh akhir.

“Biasanya, selepas habis konsert setiap minggu, anak saya akan menyambut di rumah dengan girang. Minggu ini nampaknya tak dapat lagi rasa suasana itu,” katanya.

Rezeki tidak berpihak kepada Syura yang terpaksa akur dengan markah tercorot yang diperoleh sebanyak 58.10% sekaligus menjadi bintang keenam disingkirkan dalam rancangan realiti itu.

tersingkir gegar vaganza ini luahan hati syura 2

Enam finalis akhir yang bakal berentap merebut trofi juara minggu hadapan ialah Liza Hanim, Hazami, Aishah, Tia Jinbara, Lan Solo dan Firman Siagian.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam industri seni selepas ini, Syura berkata, dia tidak mempunyai sebarang perancangan, namun akan menggunakan pengalaman yang diraih dalam pertandingan itu untuk memperbaiki kekurangan nyanyiannya.

“Untuk melakukan perancangan perlu menitikberatkan banyak aspek seperti label dan lagu itu sendiri. Sekarang ini saya cuma mahu mencari lagu terbaik dan boleh diterima dalam pasaran sekarang,” katanya.

Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza

Sumber berita: Harian Metro 




Hakcipta iluminasi.com (2017)