elyana tersingkir gegar vaganza dedah hidap kanser tahap 4

Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza

Penyanyi Elyana terpaksa akur apabila diumumkan sebagai peserta keempat tersingkir daripada rancangan realiti Gegar Vaganza 4 (GV4).

Keputusan didedahkan di hujung konsert kelima GV4 yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam tadi.

Elyana mempertaruhkan lagu Sepi, nyanyian asal Yuni Shara dalam konsert bertemakan 'Kaum Kerabat', namun meraih markah tercorot daripada juri tetap, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang bersama juri undangan, Datuk M.Nasir.

"Agak mencabar lagu yang diberikan buat kamu. Semasa menyanyikan nada tinggi kamu sangat bagus, tapi bila nada rendah pula agak flat dan mendatar," ulas Hetty dalam kritikannya.

Pemarkahan diadili sepenuhnya oleh juri profesional.

Dalam pada itu, Elyana juga dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Gelora Vida Vaganza.

Ketika memberikan ucapan, Elyana mengejutkan ramai apabila mengumumkan dia adalah penghidap kanser limfoma pada tahap empat. Di kesempatan yang sama, beliau meminta pesakit kanser yang lain terus kuat melawan penyakit itu.

Sebelum ini, menerusi laman Instagram pada tiga hari lalu, Elyana ada memuat naik gambar set lengkap pengurusan jenazah yang mengandungi kain kapan di dalamnya, seterusnya mencetuskan tanda tanya di kalangan peminat.

Sementara itu, lapan peserta yang mara ke persaingan konsert minggu keenam ialah Aqasha, Firman, Hazami, Lan, Tia (Jinbara), Aishah, Liza Hanim dan Syura.

Konsert GV4 yang dihoskan pasangan Nabil Ahmad dan Jihan Muse ke udara secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Juara musim ini bakal mendapat ganjaran wang tunai RM100,000 berserta trofi, diikuti RM50,000 untuk naib juara. Manakala RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi untuk tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam.

Sumber berita: Mstar

tags : , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)