Kredit foto: Instagram Gegar Vaganza

Akhirnya perjuangan Syura di musim keempat Gegar Vaganza (GV4) berakhir apabila menjadi mangsa penyingkiran di peringkat separuh akhir yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam tadi.

Ia sekaligus memberi ruang buat Aishah, Liza Hanim, Hazami, Lan, Firman dan Tia Jinbara untuk beraksi di pusingan akhir yang bakal ke udara secara langsung dari Pinewood Iskandar Malaysia Studios, Johor, Ahad ini.

Keputusan minggu bertemakan 'Goyang Kaki dan Runut Bunyi (OST)' ini dibuat berdasarkan penilaian dua juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang, bersama Datuk Tarmimi Siregar dan Datuk Wah Idris selaku juri undangan.

Dihoskan oleh pasangan popular Nabil Ahmad dan Jihan Muse, konsert malam tadi dibuka dengan persembahan penuh nostalgia oleh Datuk Seri Shah Rezza, Ebby Saiful dan Isma Aliff.

Untuk info, juara musim ini bakal mendapat ganjaran wang tunai RM100,000 berserta trofi, diikuti RM50,000 untuk naib juara. Manakala RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 berserta trofi untuk tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam.

Dalam pada itu, Astro turut menawarkan pengalaman menonton Konsert GV4 akhir secara langsung dalam sudut tontonan VR360.

VR360 memberikan kelebihan kepada penonton yang mempunyai gajet menyokong sistem ini untuk merasai pengalaman menyaksikan program televisyen dalam versi lebih jelas dan nyata.

Konsert GV4 ke udara secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)