hh

Sejak 50 tahun yang lalu, teori "Big Bang" telah menjadi salah satu daripada teori mengenai kewujudan alam semesta yang kita diami ini. Ada komuniti saintifik pada hari ini yang menyokong idea bahawa alam semesta ini sebenarnya berkembang.

Dengan kata lain, ia bermula dengan perkembangan pesat keunikan primordial (satu jisim yang wujud sejak permulaan dunia) yang panas dan padat. Alam semesta yang kita ketahui sekarang dikatakan dibentuk sejak 13.8 billion tahun yang lalu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kebanyakan orang percaya bahawa seorang ahli astronomi iaitu Edwin Hubble, adalah perintis dalam penyelidikan awal mengenai penemuan teori Big Bang ini.

edwin hubble

Edwin Hubble

Pada tahun 1929, kajian Hubble mengenai jarak yang semakin meningkat antara galaksi telah menunjukkan bahawa alam semesta ini sebenarnya berkembang dan fakta inilah yang menjadi asas kepada teori Big Bang.

Walaupun Hubble memainkan peranan pentiang dalam membuktikan tanggapan bahawa alam semesta ini berkembang, tetapi dia bukanlah saintis pertama yang mencadangkan teori itu. Idea ini sebenarnya dikemukakan oleh Georges Lemaitre, seorang ahli astronomi dan ahli fizik Belgium yang prolifik. Selain itu, Lemaitre juga merupakan seorang paderi Katolik Roman.

Lemaitre yang dilahirkan pada tahun 1894 itu telah mendapat pendidikan di sekolah kejuruteraan di Universiti Katolik Louvain. Namun, pendidikannya telah terganggu akibat Perang Dunia Pertama. Dia kemudian memilih untuk menjadi paderi selepas mengalami pengalaman ngeri sebagai pegawai altileri semasa bertugas dalam pasukan tentera Belgium.

lemaitre dan einstein

Lemaitre dan Einstein

Selepas perang tamat, Lemaitre meneruskan kerjayanya dalam bidang fizik dan astronomi. Pada awal tahun 1920-an, dia telah memperoleh ijazah sarjana dalam bidang astronomi daripada University of Cambridge dan kedoktoran di Massachusetts Institute of Technology.

Sepanjang tahun 1920-an, Lemaitre menghabiskan masanya menyelidik teori relativiti umum yang dicadangkan oleh Einstein pada tahun 1917. Pada masa itu, hipotesis Einstein tentang alam semesta statik yang bersaiz terbatas tanpa permulaan adalah teori kosmologi yang paling diterima secara meluas.

Pada tahun 1929, Lemaitre telah menerbitkan sebuah kertas kajian di mana dia berhujah bahawa perhitungan Einstein sebenarnya membuktikan bahawa alam semesta ini berkembang bukannya statik.

teori big bang

Lemaitre kemudian mengembangkan lagi penyelidikannya pada awal tahun 1930-an dan menyatakan bahawa perhitungan Einstein ini membayangkan pelbagai kemungkinan. Kemungkinan itu adalah mengenai perkara sebelum kelahiran alam semesta, tenaga dan jisim  sebenarnya terkandung dalam satu titik tidak terbatas yang dinamakan sebagai "atom primeval".

Ramai yang menjangkakan bahawa pihak berkuasa Gereja Katolik akan bertindak balas secara negatif terhadap seorang paderi mereka yang banyak terlibat dalam penyelidikan saintifik mengenai asal-usul alam semesta. Walau bagaimanapun, perkara sebaliknya yang berlaku.

Hipotesis Einstein tentang alam semesta statik dan terbatas tidak sesuai dengan pandangan Gereja Katolik mengenai kosmologi kerana ia menyatakan bahawa alam semestia ini tidak mempunyai permulaan.

pope pius xii

Pope Pius XII

Sebaliknya, teori yang dikemukakan oleh Lemaitre lebih mendapat sokongan gereja. Teorinya itu menunjukkan ada sesuatu yang wujud sebelum terciptanya alam semesta ini dan satu kuasa telah membantu mengembangkan alam semesta ini daripada bentuk atom primeval.

Gereja Katolik telah mendukung teori Lemaire sebagai bukti bahawa kewujudan alam semesti ini adalah kerja Tuhan. Pada awal tahun 1950-an apabila teori Big Bang menjadi terkenal dalam komuniti saintifik, Pope Pius XII secara umum telah menyokong teori itu.

Pope Pius XII adalah Pope yang dilantik sebagai ketua Gereja Katolik sejak 2 Mac 1939 hingga kematiannya pada 9 Oktober 1958. Dia adalah Pope yang dikaitkan dengan skandal menyokong gerakan Nazi Jerman ketika Perang Dunia Kedua.

lemaitre dan pope pius xii

Lemaitre dan Pope Pius XII

Pope Pius XII menyatakan teori Big Bang itu merupakan penemuan sains terkini yang melenyapkan segala kepercayaan lain tentang kewujudan alam semesta selama berabad-abad lamanya.

Dengan teori itu juga, Pope Pius XII mengesahkan bahawa jutaan galaksi yang meletus daripada satu atom tunggal itu merupakan kuasa Tuhan pencipta alam. Secara tidak langsung ia membuktikan bahawa Tuhan itu wujud.

Akan tetapi, ramai ahli astronomi dan ahli fizik Katolik termasuk Lemaitre yang menentang kenyataan Pope itu. Kenyataan itu terlalu bergantung kepada teori saintifik yang belum dapat disahkan hanya untuk memuji kewujudan Tuhan. Walaupun Pope Pius XII terus menyokong teori Big Bang itu, namun dia cuba untuk tidak terlalu memujinya di hadapan khalayak umum.

georges lemaitre 343

Lemaitre kekal sebagai seorang penganut Katolik yang taat sepanjang hayatnya tetapi menyatakan bahawa teori Big Bang itu hanyalah sebahagian daripada kajian dan pencarian ilmiah untuk kebenaran kosmologi.

Dia mendakwa bahawa teori itu tidak boleh dijadikan sebagai bukti kewujudan Tuhan seperti yang dinyatakan oleh Pope Pius XII. Lemaitre berkata dia akan terus mempercayai kewujudan Tuhan walaupun teorinya itu mungkin terbukti salah.

Walau bagaimanapun, umat Islam percaya bahawa alam semesta ini dicipta oleh Allah SWT seperti yang disebutkan dalam beberapa potong ayat yang terkandung dalam al-Quran. Antaranya ialah surah As-Sajadah ayat 4, Al-Kahfi ayat 51 dan Al-Baqarah ayat 29.

Rujukan:

1. Physics of the Universe

2. AMNH

3. Independent




Hakcipta iluminasi.com (2017)