albert einstein ahli fizik jerman paling hebat

Jika anda memberikan nasihat kepada seseorang, berapa bayaran yang anda terima? Percuma? Anda mungkin dibayar jika anda merupakan seorang pakar dalam sesuatu.

Namun bagi pakar fizik Jerman, Albert Einstein, nasihat yang ditulisnya di atas sekeping kertas pada tahun 1922 telah dijual dengan harga setinggi RM6.6 juta. Apa sebenarnya yang ditulis oleh beliau dan kenapa ia sangat berharga?

Di atas kertas tersebut, Einstein menulis teorinya tentang kebahagiaan.

Hadiah Nobel dan lawatan kuliah ke Jepun

Tahun 1922 merupakan tahun yang sangat sibuk bagi Einstein di mana dia telah menghabiskan satu kertas kajian tentang teori bidang bersatu.

Beliau juga telah pergi ke Paris untuk membantu menormalisasikan hubungan Perancis-Jerman dan menyertai jawatankuasa intelektual di Liga Bangsa-Bangsa.

albert einstein dalam satu lawatan kuliah ke jepun

Tidak lama sebelum berangkat ke Asia untuk lawatan kuliah, Einstein mengetahui bahawa beliau telah memenangi Hadiah Nobel 1921 dalam bidang fizik.

Namun beliau tidak menghadiri upacara anugerah itu yang berlangsung di Stockholm, Sweden.

Sebaliknya, Einstein memutuskan untuk mengekalkan rancangannya dan terus berangkat ke Jepun.

Apabila tiba di Tokyo, beribu-ribu orang menyambutnya di Istana Imperial untuk menyaksikan pertemuannya dengan maharaja dan permaisuri Jepun.

Hampir 2,500 membayar yuran untuk melihat kuliah pertama Einstein di bandar tersebut, yang berlangsung hampir 4 jam dengan terjemahan.

Ketika berada di biliknya di hotel berkenaan, seorang bellboy hotel datang untuk membuat penghantaran kepada Einstein.

Sama ada kurier tersebut enggan menerima upah atau Einstein tiada wang kecil tak dapat dipastikan, namun beliau tetap ingin memberikan sesuatu sebagai tanda terima kasih.

teori kebahagian albert einstein dijual dengan harga rm6 6 juta

Einstein kemudiannya mencapai sekeping kertas yang tersedia di dalam biliknya dan menulis satu nasihat dalam bahasa Jerman, yang berbunyi:

"Stilles bescheidenes Leben gibt mehr Glueck als erfolgreiches Streben, verbunden mit bestaendiger Unruhe".

Ayat ini membawa maksud:

"Kehidupan yang tenang dan sederhana memberi lebih kebahagiaan berbanding mengejar kejayaan yang datang dengan kegelisahan yang berterusan"

Di atas kertas kedua, beliau menulis "Wo ein Wille ist, da ist auch ein Weg" yang bermaksud "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".

Menurut rumah lelongan yang melelong kertas berharga ini, Einstein kemudiannya memberitu bellboy tersebut untuk menyimpan nota itu yang mungkin akan menjadi bernilai lebih daripada upah biasa satu hari nanti. 

Dan benar apa yang diramalkan oleh pakar fizik itu apabila pada Oktober 2017, teori kebahagian Albert Einstein telah dijual oleh Winner’s Auctions and Exhibition yang berpangkalan di Baitulmaqdis, dengan harga RM6.6 juta.

teori kebahagian albert einstein dijual dengan harga rm6 6 juta 2

Identiti pembeli tersebut yang merupakan orang Eropah tidak didedahkan. Nota kedua yang ditulis Einstein dijual pada harga RM1.03 juta.

Meni Chadad, jurucakap rumah lelongan tersebut berkata bahawa mereka telah dihubungi oleh cucu kepada saudara bellboy Jepun tersebut yang tinggal di Jerman, beberapa bulan sebelum itu.

Selepas mengesahkan dokumen itu, rumah lelong tersebut meramalkan nota itu mungkin mencecah RM20,000 hingga RM40,000.

Bidaan bermula dengan RM8,000, namun melonjak kepada 7 angka dengan begitu pantas dan berakhir dengan RM6.6 juta.

Rujukan:

1. NY Times

2. NPR

3. NSH

4. Japan Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)