Fobia adalah sejenis gangguan yang boleh menyebabkan seseorang mengalami perasaan cemas yang ekstrim, ketakutan yang tidak rasional mengenai sesuatu keadaan, makhluk hidup, tempat atau objek.

Apabila seseorang itu mempunyai fobia, mereka sering cenderung untuk membentuk kehidupan mereka agar dapat mengelakkan apa yang mereka anggap berbahaya. Ancaman yang dibayangkan mereka adalah lebih besar daripada ancaman sebenar yang mungkin timbul. Fobia juga telah didiagnos sebagai salah satu gangguan mental.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini kami ingin kongsikan bersama anda salah satu fobia yang dinamakan Cherofobia iaitu ketakutan untuk berasa gembira dan juga tanda-tanda sekiranya anda menghidapinya.

Apakah itu Cherofobia dan bagaimana ia berlaku?

takut kepada kegembiraan

Terdapat sesetengah orang yang takut kepada kegembiraan dan kebahagian. Namun, ia bukanlah bermakna mereka ini golongan yang berasa sedih setiap masa tetapi mereka akan lebih memilih untuk mengelak daripada sebarang aktiviti dan pergaulan sosial.

Mereka yang mempunyai keengganan yang tidak rasional untuk bahagia menderita sesuatu yang dipanggil Cherofobia. Nama ketakutan ini berasal dari perkataan Yunani "chairo" yang bermaksud "saya gembira". Pada dasarnya mereka berasa takut untuk terlibat dengan apa-apa hal yang menyeronokkan.

Biasanya, ia adalah satu mekanisma pertahanan yang berpunca daripada trauma atau konflik yang pernah dialami. Sebenarnya terdapat kaedah terapi yang boleh membantu mereka yang menderita fobia ini untuk menangani masa lampau dan melihat kepada masa depan tanpa rasa takut.

buku dsm 5 964

Terma Cherofobia ini tidaklah digunakan secara meluas atau jelas. Ia juga tidak terkandung dalam edisi terbaru Manual Gangguan Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5) yang merupakan sumber dan rujukan utama untuk mendiagnosis keadaan kesihatan mental.

Ciri - ciri simptom Cherofobia

Namun begitu, menurut Healtline beberapa pakar dalam bidang perubatan telah mengklasifikasikan cherofobia ini sebagai salah satu bentuk kebimbangan atau kerisauan.

Menurut Healthline lagi, beberapa simptom bagi gangguan ini adalah:

  • Timbul kebimbangan apabila dijemput untuk menyertai sesuatu perjumpaan sosial
  • Mengabaikan peluang yang boleh membawa kepada perubahan positif kerana membuat tanggapan awal yang negatif
  • Tidak mahu mengambil bahagian dalam aktiviti yang menyeronokkan
  • Berfikir bahawa gembira akan membawa kepada sesuatu yang buruk atau malang
  • Percaya bahawa menunjukkan kebahagian kepada orang lain adalah tidak perlu
  • Merasakan mencuba untuk bahagia adalah membazir masa dan usaha

carrie barron

Pakar psikiatri Carrie Barron

Pakar psikiatri Carrie Barron memberitahu Psychology Today, terdapat beberapa punca mengapa orang memiliki simptom Chernofobia ini. Ia mungkin sesuatu yang luar biasa bagi seseorang untuk takut kepada emosi positif ini. 

Namun begitu, sekiranya ia dibentuk sejak dari zaman kanak-kanak melalui pengalaman gembira atau takut, maka ia adalah sesuatu yang normal daripada apa yang kita fikirkan.

Ia boleh berpunca daripada pengalaman menakutkan mengenai orang yang kita sayangi, atau pengalaman buruk yang anda kaitkan dengan sesuatu peristiwa tertentu yang kekal dalam memori anda.

Seperti contoh, anda mempunyai seorang rakan yang selalu mengejek atau membuli anda sekiranya anda pandai dalam pembelajaran dan dipuji guru, maka anda akan mendapati bahawa menjadi pandai dan dipuji itu akan diakhiri dengan sesuatu yang buruk. Anda juga mungkin akan terbawa-bawa tanggapan ini dalam karier sekiranya bekerja dalam sesuatu organisasi.

Disebabkan hal ini anda akan cenderung untuk tidak melakukan hal yang menjurus kepada kebahagian atau kegembiraan kerana takut kepada kemungkinan yang akan anda hadapi berdasarkan pengalaman atau trauma lepas.

blogger stephanie yeboah

Blogger Stephanie Yeboah

Pengalaman menghidapi Cherofobia

Dalam satu temubual yang dilakukan di laman sesawang The Metro, seorang blogger bernama Stephanie Yeboah menerangkan bagaimana keadaannya hidup dengan Chernofobia ini.

Yeboah memberitahu bahawa dia merasakan segalanya seakan tiada harapan dan ini menyebabkan dia sering berasa cemas atau waspada untuk mengambil langkah dalam melakukan sesuatu. Dia selalu berasa kegembiraan tidak akan kekal untuk masa yang lama.

Namun, dia bersetuju bahawa perasaan takut untuk gembira itu tidak bermakna seseorang itu hidup dalam kesedihan. Dalam kesnya, Cherofobia yang dialaminya dicetuskan atau diburukkan lagi oleh peristiwa trauma yang dialaminya pada masa lampau. Bahkan, sesuatu perkara seperti meraikan kejayaan, menyelesaikan tugasan sukar atau mendapat pelanggan dalam jualan membuatkannya berasa tidak selesa.

cherofobia

Rawatan Chernophobia kadangkala sering disalah tafsirkan dengan merawat perasaan akibat tekanan, di mana ia tidak membantu sebenarnya, ujar Yeboah lagi.

Dia berkata tiada apa yang benar-benar dapat dilakukannya kerana tidak banyak sumber yang memberi tunjuk ajar tentang cara untuk merawat Chernofobia ini. Buat masa ini, dia hanya menerima seadanya dan cuba untuk tidak memikirkan mengenai perkara itu seboleh mungkin.

Carrie Barron berkata cara terbaik untuk memulakannya adalah dengan mengimbau kembali masa lampau anda. Anda boleh mencuba dan belajar untuk lebih bertoleransi dan memperbaiki perasaan anda supaya dapat merasa bahagia tanpa berasa takut akan kesan negatifnya.

sesi rawatan psikiatri

Barron juga memberitahu bahawa rawatan seperti psikoterapi adalah berguna untuk memahami sebab-sebab mengapa Chernofobia tercetus dan menimbulkan perasaan negatif yang dikaitkan dengan keseronokan atau kesedihan.

Kaedah-kaedah menangani Chernofobia ini akan mengubah cara anda berfikir. Jika anda fikir anda mungkin mengalami simptom sedemikian, anda perlulah mengambil peluang untuk mencuba dengan melaluinya. Adalah lebih baik lagi dengan melakukan rawatan agar anda dapat menikmati kebahagian dan mula menghargai hidup anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)