fobia mikrofon takut berdiri atas pentas

Beberapa belas tahun lalu semasa di dalam kelas, penulis diminta oleh cikgu untuk berdiri di depan melakukan pembentangan. Demi mematuhi arahan cikgu, penulis pun berjalan ke depan kelas, menampalkan kad manila ke papan putih seterusnya berpusing ke belakang.

Apa yang berlaku seterusnya agak memalukan. Penulis hanya mampu berdiri, tersengih selama beberapa saat sambil mata memandang ke lantai. Tidak lama selepas itu mungkin kerana letih menunggu - cikgu penulis pun meminta penulis memulakan pembentangan. Langsung tak ada satu pun perkataan berjaya keluar daripada mulut penulis.

Akhirnya, apa yang mampu penulis buat adalah kembali berpusing menghadap papan putih membelakangi kelas, membaca satu per satu ayat yang tertera pada kad manila. Harus diakui, ramai yang terlelap pada waktu itu.

Kebimbangan yang boleh diatasi

bagaimana nak berucap

Apa yang berlaku pada penulis ketika itu merupakan rasa takut yang menyerang disebabkan perlunya penulis bercakap di khalayak ramai. Rasa kaget atau hilang punca yang dihadapi itu mempunyai nama saintifiknya sendiri iaitu 'glossophobia' atau 'fobia berucap di khalayak ramai.'

Apa yang melegakan penulis - fobia tersebut adalah antara fobia paling banyak dihadapi oleh sesiapa pun dan bukan penulis seorang saja. Bagaimanapun, sebelum membincangkan lebih mendalam tentang fobia ini, kita harus faham satu perkara terlebih dahulu;

Dalam kajian saintifik, glossphobia akan dikategorikan sebagai salah satu masalah sosial yang mungkin akan dihadapi oleh anda. Bagaimanapun, janganlah ingat anda mempunyai penyakit pula ya.

Apabila sesuatu bentuk fobia seperti 'glossphobia' dikategorikan sebagai salah satu masalah sosial individu, ini tidak menunjukkan mempunyai fobia tersebut sebagai sesuatu yang buruk. Apa yang cuba disampaikan adalah mempunyai glossphobia bukan merupakan sesuatu yang baik atau ideal - jadi kita sepatutnya mencari jalan mengatasinya.

Yang jelas, kita boleh mengatasi glossphobia.

Takutnya berdiri di khalayak ramai

glossophobia ucapan

Ramai di antara kita takut berdiri untuk berucap di khalayak ramai, kerana merasakan apabila kita diletakkan dalam keadaan sedemikian rupa - kita akan bertindak membodohkan diri sendiri.

Mental kita juga akan turut sama melemahkan diri kita dengan bermacam lagi andaian ketakutan lain seperti takut terlupa skrip, takut lidah kelu, takut dimalukan, takut dikritik kembali, takut dipersoalkan dan bermacam lagi ketakutan yang akan muncul setiap kali kita perlu berucap di khalayak ramai.

Apabila kita mula memahami bahawa ketakutan yang menyerang kita sebenarnya boleh dikawal, ini akan membantu kita mengatasi glossphobia dengan lebih efektif.

Tahukah anda, berdasarkan kajian yang telah dijalankan - kebolehan untuk berucap di khalayak ramai boleh meningkatkan kadar kenaikan gaji anda sebanyak 10%. Mereka yang mempunyai kebolehan berucap ini juga didapati mempunyai peratusan kenaikan pangkat melebihi 15% berbanding mereka yang malu berucap di depan orang.

Adakah itu insentif yang cukup untuk membuatkan anda mula memberanikan diri anda? Cukup.

Bagaimana nak jadi orator yang bagus?

martin luther king ucapan lejen

Tidak ada jalan mudah untuk jadi orator yang bagus di depan khalayak, melainkan dengan latihan demi latihan yang akan membentuk kekuatan diri. Langkah paling awal yang perlu dilakukan adalah memastikan bahawa teks atau skrip ucapan anda sudah disediakan lebih awal dalam merangka apa yang perlu anda ucapkan.

Buat permulaan, lakukan latihan. Ini kerana sudah dibuktikan mana-mana speaker yang tidak langsung berlatih, jelas kelihatan kurang bersedia sementara mereka yang berlatih akan kelihatan mampu berucap secara semula jadi. Rajinkan diri anda melihat bagaimana speaker atau orator yang anda gemari berucap.

Sekiranya persediaan kita tidak cukup, penonton akan nampak setiap kelemahan kita. Ini kerana dalam setiap situasi di mana seseorang itu gagal mengawai keadaan, semakin lama dia berucap - semakin meningkat tinggi kadar ketakutan atau kebimbangan dia.

Apa yang memburukkan lagi keadaan, majoriti mereka yang mengalami fobia ini akan meneruskan rasa takut itu selepas ucapannya selesai - kerana dalam kepala mereka akan membincangkan secara sendiri tahap penilaian ucapannya.

Tips untuk membantu anda meningkatkan keyakinan anda berucap

kanak kanak kaget public speaking

Ketakutan atau fobia itu akan sentiasa ada. Perkara sekecil membentangkan idea dalam kumpulan Whatsapp pun sebenarnya boleh menimbulkan rasa bimbang pada kita bukan? Apatah lagi berucap di khalayak ramai.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan dalam membantu membuka keyakinan orang ramai untuk berucap di depan orang lain - kita perlu buang pemahaman lama yang kita anggap betul. Sekiranya anda rasa menenangkan diri akan membantu, ini tidak benar. Keadaan psikologi terbaik yang dapat membantu anda berucap lebih baik adalah apabila anda membuatkan diri anda rasa bersemangat.

Biasakan diri anda berlatih bukan sendirian, tetapi di hadapan orang. Tak perlu ramai, seorang pun memadai kerana kehadiran orang lain akan memberikan suasana yang berbeza.

Pernahkah anda melihat bagaimana pelawak 'stand-up' memulakan persembahan mereka? Kebanyakan daripada mereka memulakan ucapan dengan bercerita tentang sesuatu yang berkait dengan mereka. Tak kiralah pengalaman lalu atau apa yang dilalui mereka setengah jam sebelum itu. Cerita itu sebenarnya digunakan bagi menyediakan penonton untuk lebih fokus kepada apa yang anda ingin sampaikan.

Selain daripada cerita, anda juga boleh mulakan ucapan anda dengan soalan atau nak lebih mencabar, teka-teki. Apabila anda mengalihkan perhatian penonton kepada satu perkara atau topik lain, anda sebenarnya sedang membuatkan penonton berhenti 'mengadili' atau 'menilai' anda.

Penulis harap tulisan ringkas ini dapat membantu anda sekiranya anda pun salah seorang yang menghadapi masalah glossphobia ini. Syukurlah, penulis ketika ini sudah tidak ada lagi masalah nak bercakap depan orang.

Bagaiamanpun masalahnya sekarang ini, susah benar nak jumpa orang yang nak dengar penulis bercakap. Tak apalah. Gaji naik pun cukuplah.

Rujukan

Is public speaking fear limiting your career?



Hakcipta iluminasi.com (2017)