Kepesatan pengenalan teknologi baru merupakan sesuatu yang tak dapat kita kejar, kan? Terlalu pantas sesuatu teknologi itu berubah hari ke hari disebabkan oleh besarnya usaha orang ramai cuba membangunkan sesuatu yang baru.

Teknologi nyata mampu memudahkan urusan seharian kita, apatah lagi dengan bermacam sistem automasi kini telah berjaya diperkenalkan - menjimatkan masa dan juga tenaga kita. Malangnya, dengan pengenalan teknologi yang terlalu hebat dan pesat - kepesatan ini turut mencipta pelbagai jenis kebimbangan bentuk baru pada kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kebimbangan atau fobia yang tercetus akibat berlakunya sesuatu situasi tertentu, memang sudah direkodkan lama berlaku. Tetapi bagaimana pula dengan bentuk-bentuk fobia baru disebabkan oleh kewujudan teknologi? Jom kita pelajari serba sedikit berkenaan fobia-fobia ini yang mungkin anda sedar atau tidak sedari, terjadi pada anda.

1. Takut memeriksa baki akaun bank

fobia media sosial semak bank akaun

Jangan terkejut pula bentuk kebimbangan ini benar-benar ada. Ini kerana masalah serupa memang dialami oleh ramai orang lain, apatah lagi dengan kemudahan internet di hujung jari membuatkan kita boleh memeriksa bila-bila masa baki akaun kita.

Dengan penggunaan matawang berbentuk digital melalui penggunaan kad debit dan kad kredit yang mampu membuatkan kita memejamkan saja mata bila berbelanja, rasa takut ini semakin kerap berlaku di mana-mana. Setakat ini belum ada istilah khas bagi merangkumi fobia ini diwujudkan, jadi buat masa sekarang rasa takut untuk memeriksa baki akaun bank digelarkan sebagai 'the ostrich effect'; sempena burung unta yang gemar menyembunyikan kepala daripada berani melihat sekeliling.

2. Gementar mahu membaca komen di media sosial

fobia takut terima komen

Pernah tak anda memuat naik satu bentuk tulisan, gambar atau video di media sosial yang kemudiannya anda takut untuk menyemak maklum balas terhadap kandungannya - kerana anda takut wujud reaksi negatif terhadap perkongsian anda?

Fobia takut dengan pandangan dan reaksi yang bercanggah atau berlawanan dengan kita, dinamakan sebagai 'allodoxaphobia'; diambil daripada perkataan Greek 'allo' atau 'berbeza' dan 'doxa' yang membawa makna pandangan.

Orang yang mengalami fobia ini amat takut untuk mengetahui pandangan orang lain, khasnya pandangan yang bersifat kritikal atau negatif. Ketakutan ini bukan saja merangkumi interaksi media sosial, malahan turut sama terpakai dalam interaksi dalam dunia nyata. Tetapi dalam media sosial - kesannya boleh dirasai berkali-kali ganda.

3. Discomgoogolation dan FOBO

fobia takut tak ada internet

Pernahkah anda merasa resah sekiranya anda tidak mempunyai akses kepada internet? Tahniah. Anda adalah antara individu yang mempunyai sindrom 'discomgoogolation' atau turut sama dikenali sebagai FOBO - 'fear of being offline' terjemahannya 'takut tidak berhubung dengan internet.'

Dalam dunia di mana isyarat Wi-Fi dikatakan menjadi salah satu perkara asas dan talian internet sama ada 3G, 4G atau 5G wajib ada - tidak berhubung memang akan mencipta kebimbangan ketara pada orang ramai pada tahap ekstrim.

Antara situasi yang kerap berlakunya fobia ini adalah apabila kita berada di bawah tanah di mana saluran internet tiada, dalam lif ataupun perlu menaiki kapal terbang dalam tempoh panjang - sehingga ada yang sanggup membayar untuk data yang sangat mahal, asalkan dia dapat berhubung dalam perjalanan.

4. Takut nak komen status orang lain

fobia takut nak balas komen

Berlawanan dengan rasa takut nak semak komen orang lain terhadap kita - ada juga dikalangan kita yang mengalami rasa takut nak kongsikan pandangan kita apabila kita membaca pandangan pihak lain.

Dinamakan secara tidak rasmi sebagai 'threadaphobia', rasa takut ini pula datang daripada kebimbangan seandainya komen kita tu tak menepati citarasa tuan punya status, sebagai contoh atau dalam bahasa pasarnya kita labelkan sebagai 'tuan tanah.'

Pernahkah anda mengalami situasi ini dalam ruangan laman media sosial kami? Adakah anda nampak ada kekurangan yang kami lakukan dan sebenarnya berhasrat nak menegur kami, tetapi bimbang kami tak dapat terima saranan anda atau lebih teruk - diserang mereka yang kurang setuju dengan anda?

Kami tidak boleh menghalang kumpulan yang gemar menyerang orang lain tetapi anda boleh yakini, sebarang bentuk kritikan atau cadangan kepada kami - akan kami terima dengan hati terbuka. Harap jangan takut nak berikan maklum balas pada kami.

5. Takut nak muat naik apa-apa

fobia takut nak kongsi media sosial

Pernah tak anda menelaah sesuatu yang tular di media sosial, sama ada dilakukan oleh individu atau perniagaan - yang anda rasa tak masuk akal? Contohnya, semakin banyak pihak yang berani memalukan diri sendiri hanya kerana berharapkan akan dapat sedikit publisiti. Dari mana mereka dapat keyakinan itu? Entahlah.

Di satu hujung spektrum satu lagi, wujud pula individu atau perniagaan yang senantiasa takut untuk memuat naik apa-apa bentuk perkongsian kerana terlalu bimbangkan imej akan tercemar. Situasi ini yang diistilahkan sebagai 'fear of posting', seringkali dibincangkan secara profesional bagi perniagaan-perniagaan yang dilihat takut untuk memanfaatkan media sosial - tidak yakin etika penggunaan mereka dapat diterima.

Kajian menunjukkan banyak perniagaan menghadapi masalah dalam mengenalpasti kandungan perkongsian yang sesuai, jenis dan format perkongsian yang betul serta bagaimana perkongsian itu membantu perniagaan mereka. Dibelenggu dengan rasa kurang yakin ini menyebabkan kebanyakan perniagaan mengambil jalan, sama ada mengupah khidmat media sosial ataupun lebih malang - tidak menggunakannya langsung kerana takut kesannya pada perniagaan.

Menyerang individu dan kumpulan komuniti tertentu, rasa bimbang ini diistilahkan sebagai 'visiobibliophobia', ketakutan yang datang kerana kita terlalu risau memikirkan betul atau tidak perkongsian kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)