Menurut laman Bharian, ahli UMNO yang berdaftar sehingga hujung tahun 2018 adalah seramai 3,644,925 dan memiliki 21,851 cawangan politik di seluruh Malaysia. Angka itu adalah amat besar sekali bagi jumlah total penduduk Malaysia iaitu 32 juta semuanya. Namun adakah ramai yang tahu mengenai maksud dan sejarah logo parti politik yang besar ini?
Ikuti artikel ini untuk mengetahui penjelasan lanjut mengenai maksud logo umno dan penciptanya. Penulisan ini asalnya ditulis oleh Wan Fayhsal di The Patriots namun pihak iluminasi.com mendapatkan kebenaran dari team ThePatriots untuk mengolah dan mengulangsiar untuk manfaat bersama.
BESARKAN TEKS A- A+
Siapa yang mencipta logo UMNO?
Bendera dan logo UMNO ini dihasilkan oleh Yang Mulia Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas di rumah Dato' Onn bin Jaafar yang merupakan bapa saudara beliau sendiri. Prof. Al-Attas memiliki ilmu "shiʿārāt al-nabālah" (heraldry) yang merupakan satu ilmu mereka cipta jata-jata bangsawan (noble coat of arms) bagi menggambarkan ke-'izzahan dan makna sesebuah keluarga, pasukan seperti yang banyak kita lihat dalam cerita-cerita Medieval Barat, Islam.
Antara logo-logo dan jata-jata yang telah dicipta Profesor Al-Attas termasuklah logo asal Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1970, jata kor tentera Diraja Malaysia yang mana beliau sendiri merupakan bekas tentera divisyen artileri dalam menentang komunis dan juga alumni Akademi Tentera Diraja Sandhurst yang masyhur.
Sudah tentu logo terindah ciptaan beliau iaitu logo universiti Islam terulung International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) yang kini sudah hilang kemegahan dan fungsi melahirkan ulama dan umara wibawa kerana Prof. Al-Attas sudah tidak lagi berkhidmat di situ.
ISTAC sudah tidak lagi seperti dulu disebabkan kelemahan "Iltizam Siyasi" (Political Will) di kalangan pemimpin politik Muslim dalam mendukung semula wawasan penubuhan institusi pemikir Islam. Dahulunya ISTAC berdiri tersergam atas Bukit Tunku tetapi kini telah kontang makna dan terlucut izzah-nya.
Beliau diberi anugerah tokoh terbilang oleh UMNO kerana banyaknya jasa beliau kepada negara dan UMNO. Namun beliau ada juga memberi teguran yang amat kritis kepada UMNO mengenai kelemahan, keculasan UMNO yang kini semua tahu dipandang serong oleh ramai pihak dan ada segelintir pimpinan UMNO yang masih mengalami sindrom"self denial".
Antara nasihat beliau yang utama dan sering diulang-ulang (istiqamah) sejak beliau muda sehinggalah sudah menjangkau umur 90 tahun ini ialah "serahkan amanah hanya pada yang layak, jalankan amanah dengan benar".
Penjelasan maksud logo UMNO
Logo UMNO penuh dengan nilai islamik dan dan nilai budaya seni Melayu yang tinggi. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan penjelasan dalam penulisan ini kerana masing-masing ada penilaian dan tafsiran tersendiri. Namun Prof Al-Attas sendiri tidak pernah menjelaskan dengan terperinci maksud lain (tersembunyi) di dalam logo UMNO ini. Mungkin ada, dan mungkin tidak ada langsung maksud tersembunyi, Wallahua'lam.
Simbolik logo simetri ini juga boleh disebut sebagai "timbal balik" atau dalam pengajian lain disebut sebagai refleksi atau cerminan diri. Logo UMNO merupakan imej simetri yang jika dilihat dari atas ke bawah akan terlihat huruf Fa (Pa dalam jawi moden), Kaf, Mim dan Ba yang membawa maksud Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu.
Dan sekiranya dilihat dari bawah ke atas pula, boleh dilihat susunan huruf Alif, Mim, Nun dan Wau yang membawa maksud UMNO (United Malay Nation Organization). Unik kan?
Maksud dan penjelasan mengenai logo UMNO adalah setakat itu sahaja. Biasanya parti politik tidak akan mencipta logo yang terlalu complex kerana ada alasan yanng tersendiri. Logo UMNO jelas menampilkan simbol Islam dan Melayu dengan baik sekali. Sekiranya ada kedengaran maksud tersirat atau tersembunyi mungkin itu hanyalah rekaan semata-mata.
Hoax mengenai logo UMNO
Penulis juga ada terbaca mengenai simbolik Merong dan Wangsa dalam penghasilan logo UMNO ini, namun penulis merasakan ini adalah suatu kisah rekaan yang tidak berasas dari artikel yang dikeluarkan oleh sebuah blog pada tahun 2010. Kononnya logo umno dihasilkan dari simbolik Merong dan Wangsa pada masa sama mengaitkan dengan ucapan Dato Onn Jaafar iaitu "Raja itulah rakyat, rakyat itulah Raja". Mungkin dengan niat tertentu, siapa tahu?
Berdasarkan pencarian penulis, Merong itu berasal dari bahasa Siam yang membawa maksud "Naga yang hebat" (Pee Marong) manakala wangsa itu sendiri bermaksud jurai keturunan raja-raja (pemerintah) dr keturunan atau dr keluarga yg sama. Jadi perkaitan Merong dan Wangsa dalam penciptaan logo UMNO adalah tidak masuk dek akal sama sekali.