Oleh pada 02 Aug 2018 kategori

Keputusan pilihanraya ke 14 negara kita sukar untuk ditafsirkan, tidak seperti pilihanraya-pilihanraya sebelum itu di mana kita dapat membaca pergerakan undi mengikut kaum.

Pasti ramai tidak menjangkakan Pakatan berjaya membentuk kerajaan dengan selesa selain mampu merampas beberapa negeri yang dikenali sebagai kubu kuat BN, khasnya negeri Johor Darul Takzim.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kemenangan selesa PAS di negeri Terengganu dan Kelantan juga tidak dapat diagak. Apatah lagi pola pengundi-pengundi di negeri-negeri pantai timur yang terbukti menolak sepenuhnya PH dalam pilihanraya lalu.

Tsunami Melayu yang terbelah dua

janji pakatan harapan

Melihat perubahan tampuk kerajaan buat kali pertama berlaku dalam sejarah Malaysia, jelas berlaku perbezaan ketara di antara corak undian kaum Melayu beragama Islam dengan pengundi bukan Melayu. Dengan anggaran statistik menjangkakan hampir 71 ke 75 peratus pengundi Melayu memilih PAS atau BN, ini bermakna kelompok orang Melayu yang mengundi PH adalah dalam kelompok minoriti sekitar 25 ke 29 peratus.

Terdapat perbezaan besar bagaimana pengundi mengundi, dengan pengundi di kawasan bandar dilihat jauh condong memangkah PH sementara pengundi di kawasan desa majoritinya memilih BN atau PAS. Secara kasarnya, penulis berpendapat salah satu faktor paling besar memberikan kemenangan kepada PH dalam pilihanraya tempohari selain daripada kempen yang efektif, adalah faktor terpecahnya undian pengundi Melayu kepada dua parti utama iaitu BN dan PAS.

Melihat semakin rancak usaha menggerakkan sebarang bentuk kerjasama di antara kedua-dua parti itu jelas membuktikan kebenaran dalam hujah ini. Secara hipotesisnya sekiranya PAS dan BN bergabung dalam pilihanraya lalu, adakah keputusan pilihanraya yang akan kita terima berbeza?

Bagaimana keputusan pilihanraya ke 14 sekiranya BN dan PAS disatukan?

pakatan harapan menang pilihanraya

Penulis sedar hipotesis yang akan disampaikan oleh adalah satu tanggapan ringkas serta bergantung kepada andaian. Wujud satu persoalan pada penulis - sekiranya PAS dan BN bergabung dalam pilihanraya lalu, dengan menggunakan keputusan pilihanraya ke 14 sebagai hujah apakah keputusannya di Semenanjung Malaysia?

Mengambil kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PH yang menyaksikan pertembungan 3 penjuru dan corak pengundian tidak berubah dan kekal sama, penulis mendapati 27 kerusi memenuhi syarat ini. Sekali lagi kami ulang, ini hipotesis semata-mata.

Analisa ringkas pecahan undi di negeri utara Semenanjung Malaysia

nurul izzah permatang pauh

Di Kedah, kerusi seperti P.005 Jerlun yang dimenangi oleh DS Mukhriz Mahathir, P.008 Pokok Sena yang dimenangi oleh Mahfuz Omar serta P.018 yang dimenangi orang kuat PKR, Saifuddin Nasution menampakkan kekuatan yang ada pada jumlah pengundi PAS dan BN sekiranya undian mereka tidak dipecahkan.

Kedudukan Nurul Izzah di Permatang Pauh juga mampu dicabar sekiranya pengundi PAS dan UMNO bekerjasama. Berdasarkan keputusan pilihanraya, Nurul Izzah Anwar memenangi kerusi Parlimen tersebut dengan jumlah undi 33534, berdepan PAS yang mendapat jumlah undian 14428 dan BN dengan jumlah 19866.

Apa yang mengejutkan di Perak, dua kerusi yang dimenangi PH dalam pertembungan tiga penjuru - melibatkan dua nama besar ketika ini, iaitu Mujahid Yusof Rawa yang kini memegang jawatan Menteri dan Ahmad Faizal Dato' Azumu yang dilantik menjadi Menteri Besar Perak.

Analisa ringkas pecahan undi di kawasan tengah Semenanjung Malaysia

dr dzulkefly ahmad menteri

Bagi Selangor, ada lima kerusi yang boleh dikatakan dimenangi PH kerana pertembungan tiga penjuru. Kerusi P.096 Kuala Selangor kini dipegang Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad namun beliau pasti mahu memperbaiki kedudukannya pada pilihanraya akan datang seandainya berdepan pertembungan satu lawan satu.

Dalam WP Kuala Lumpur pula, kerusi parlimen P.119 Titiwangsa menyaksikan calon PH Rina Harun yang kini dilantik sebagai Menteri Kabinet perlu bekerja keras mengekalkan kedudukan beliau kerana jumlah undian kepada PAS dan BN mampu menggugat beliau kelak, sekiranya jumlah undian kepada kedua-duanya disatukan.

Analisa ringkas pecahan undi di negeri selatan Semenanjung Malaysia

pakatan harapan johor

Penulis menjangkakan lebih banyak kerusi yang dimenangi PH di negeri-negeri bahagian selatan Semenanjung Malaysia memenuhi syarat hipotesis disebabkan pengaruh parti UMNO di negeri tersebut, namun jangkaan penulis meleset.

Di Negeri Sembilan, hanya ada dua kerusi boleh dimenangi PAS dan BN sekiranya mereka bergabung dalam pilihanraya lepas iaitu P. 129 Kuala Pilah dan P. 133 Tampin.

Dalam kedua-dua kerusi itu, kedua-dua calon PH hanya berjaya memenangi kerusi parlimen tersebut hanya dengan perbezaan undi yang sangat rendah berbanding calon BN dan calon PAS, membuktikan taktik bertanding berasingan PAS dan BN memakan diri sementara keputusan PH untuk bergabung dalam satu logo sangat-sangat efektif.

Di Melaka, satu kerusi sahaja memenuhi syarat hipotesis iaitu kerusi P.136 Tangga Batu yang dimenangi PH, namun jumlah undian yang diterima calon PAS dan BN melebihi jumlah yang dimenangi pemenang kerusi.

Agak mengejutkan di Johor yang terkenal sebagai tulang belakang UMNO, hanya dua kerusi saja yang memenuhi syarat hipotesis penulis. Kerusi P.149 Seri Gading dan P.165 Tanjung Piai berjaya dimenangi PH dengan majoriti kecil dalam pertembungan tiga penjuru dengan calon PAS dilihat menjadi pemecah undi menyumbangkan kemenangan pada PH.

Kesimpulan dari isu politik ini

gabungan umno pas

Berdasarkan keputusan undian 27 kerusi Parlimen yang memenuhi syarat pertembungan tiga penjuru dan jumlah undi gabungan PAS dengan BN melebihi jumlah undi calon PH, dapat dihujahkan bahawa pertembungan tiga penjuru lebih merugikan BN dan PAS, berbanding Pakatan Harapan yang berjaya membentuk kerajaan pusat.

Semua kerusi yang dimenangi oleh PH disebabkan pertembungan tiga penjuru adalah seperti berikut;

  • Perlis - P.002 Kangar.
  • Kedah - P.005 Jerlun, P.008 Pokok Sena, P.010 Kuala Kedah, P.014 Merbok, P.015 Sg. Petani, P.017 Padang Serai, P.018 Kulim Bdr. Baharu.
  • Pulau Pinang - P.044 Permatang Pauh.
  • Perak - P.057 Parit Buntar, P.063 Tambun.
  • Pahang - P.080 Raub, P.082 Indera Mahkota, P.083 Kuantan, P.088 Temerloh, P.089 Bentong.
  • Selangor - P.093 Sg. Besar, P.094 Hulu Selangor, P.096 Kuala Selangor, P.109 Kapar, P.112 Kuala Langat.
  • WP Kuala Lumpur - P.119 Titiwangsa.
  • Negeri Sembilan - P.129 Kuala Pilah, P.133 Tampin.
  • Melaka - P.136 Tangga Batu.
  • Johor - P.149 Sri Gading, P.165 Tanjung Piai.

Model penggabungan dengan penggunaan satu logo serta kerjasama yang diterapkan Pakatan Harapan terbukti memberikan impak positif yang sangat besar pada jumlah undian yang mereka terima, berbanding keputusan PAS dan BN yang memilih untuk bertanding secara bersendirian.

Bagi pihak kerajaan Pakatan Harapan, kami berharap agar hipotesis ini dapat mendorong anda supaya lebih kuat menarik sokongan masyarakat serta tidak mensia-siakan mandat yang telah diberikan kepada anda. Sangat jelas, sekiranya pilihanraya ke 15 kelak diadakan dalam model satu lawan satu, memang cukup sukar untuk meramal apakah keputusannya nanti serta gabungan mana yang dapat membentuk kerajaan.

bendera malaysia gergasi di pasang

Melihat keputusan pilihanraya 2018, dapat dikatakan rakyat kini akan semakin berani menukar kerajaan sekiranya mana-mana parti atau gabungan dilihat gagal untuk membawa aspirasi seperti mana yang dimahukan majoriti rakyat Malaysia.

Penulis percaya politik kita sedang berevolusi berubah kepada pertembungan satu lawan satu dalam pilihanraya. Perkara itu pada pandangan penulis, akan dapat menyeimbangkan lagi perkongsian kuasa di antara pihak kerajaan dengan pihak pembangkang seterusnya mengelakkan pemesatan kuasa yang terlalu besar pada pihak kerajaan pusat.

Adakah 27 kerusi yang dikatakan cukup untuk memberi perubahan pada gabungan yang berjaya membentuk kerajaan? Berdasarkan keputusan asal pilihanraya lepas, Barisan Nasional mendapat 79 kerusi, berbanding Pakatan Harapan yang memenangi 109 kerusi dengan PAS 18 kerusi.

Menggunakan keputusan pilihanraya ke 14 sebagai sumber, sekiranya PAS dan BN bekerjasama dalam pilihanraya lalu, berkemungkinan gabungan kedua-duanya mampu mendapat 124 kerusi Parlimen mengambil kira 27 kerusi Parlimen di mana BN atau PAS tewas dalam persaingan 3 penjuru. Hipotesisnya - jumlah itu sudah melayakkan gabungan BN dan PAS membentuk kerajaan.

Terbukti taktik penggabungan yang diterapkan Pakatan Harapan sangat berkesan membantu kemenangan pihak mereka berbanding taktik perlawanan berasingan yang dibawa PAS dan Barisan Nasional.




Hakcipta iluminasi.com (2017)