Oleh pada 07 Apr 2018 kategori

Parti politik di Malaysia merupakan satu pertubuhan politik yang mempunyai ideologi dan agenda tersendiri dikalangan ahlinya. Setiap parti politik mempunyai matlamat utama iaitu untuk menjadi serta membentuk kerajaan supaya ideologi mereka boleh dijadikan sebagai dasar kerajaan yang akan diamalkan oleh setiap rakyat.

Untuk membentuk kerajaan, setiap ahli politik mesti mewakili parti politik tersebut bertanding di dalam pilihan raya umum. Kebiasaannya, sebahagian dari parti yang lemah dan kurang berpengaruh ini akan memilih untuk bergabung dengan parti kerajaan atau parti yang lebih kuat untuk menjadi sebuah barisan dalam parti politik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Disini penulis ingin berkongsi mengenai sejarah ringkas pertubuhan parti politik yang berada di Malaysia. Berikut adalah sebahagian daripada parti politik yang berdaftar di Malaysia.

United Malays National Organisation (UMNO)

logo umno

UMNO yang dikenali sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu telah ditubuhkan pada tahun 1946. Ia ditubuhkan pada 11 Mei 1946 secara rasmi setelah perhimpunan Kongres Melayu Se-Malaya kali ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu di Johor Bahru.

Dato' Onn Jaafar dilantik sebagai Presiden UMNO yang pertama. Pada tahun 1955, Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Presiden kedua UMNO dan membentuk Parti Perikatan bersama MIC dan MCA. Tunku Abdul Rahman mengetuai delegasi Rundingan Kemerdekaan ke London pada tahun 1956.

Pada tahun 1973 Tun Abdul Razak telah menubuhkan Barisan Nasional (BN) bersama beberapa parti. UMNO pernah diharamkan pada tahun 1988 selepas berlakunya krisis kempimpinan UMNO pada tahun 1987.

Tun Mahathir telah mendaftar satu pertubuhan baru iaitu dengan nama UMNO Baru dan Tengku Razaleigh Hamzah membentuk Semangat 46 pada tahun 1988. Sekarang UMNO dipimpin oleh Dato Seri Najib bin Tun Abdul Razak iaitu Perdana Menteri Malaysia yang ke 6.

Parti Islam Semalaysia (PAS)

logo pas

PAS merupakan singkatan kepada Parti Islam Malaysia merupakan sebuah parti komponen yang ditubuhkan semenjak 23 Ogos 1951 sempena persidangan para ulamak di Kuala Lumpur bersetuju untuk menubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya.

Pada 24 November 1951, nama persatuan ini telah diubah menjadi Parti Islam Se-Malaya di dalam satu persidangan membabitkan ulamak Malaya bertempat di Bagan Tuan Kecil iaitu Butterworth, Seberang Perai, Pulau Pinang. Disitu permulaan sejarah pertubuhan PAS yang diasaskan oleh para ulama yang kemudiannya berkembang pesat menjadi sebuah pertubuhan politik dakwah yang amat penting dalam negara Malaysia.

Penglibatan dan sumbangan PAS di dalam politik negara bermula sebaik sahaja ia ditubuhkan walaupun ramai pengkaji yang mengatakan bahawa PAS mula menyertai politik menjelang pilihan raya tahun 1995. PAS sekarang dipimpin di bawah pemerintahan Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang iaitu Presiden PAS yang ke 8.

Malaysia Chinese Association (MCA)

logo mca

Persatuan Cina Malaya (MCA) ditubuhkan pada tahun 1949 hasil daripada perjumpaan dengan sejumlah 300 orang perwakilan Cina dari seluruh Persekutuan Tanah Melayu. Tan Cheng Lock telah dipilih sebagai Presiden Pertama dan terdapat seramai 100 orang ahli jawatankuasa Pusat dan wakil setiap negeri dipilih ketika persidangan tersebut.

Tujuan penubuhan MCA ialah sebagai sebuah badan perwakilan kaum Cina dan mengeratkan hubungan di antara masyarakat Cina dengan masyarakat lain di Tanah Melayu untuk menentang Komunis. Pada peringkat awal penubuhannya, MCA lebih menjurus sebagai Pertubuhan Kebajikan tetapi pada tahun 1952 ia telah menjadi sebuah parti politik yang menyertai Perikatan.

Malaysian Indian Congress (MIC)

logo mic

Kongres India Se-Malaysia atau dikenali sebagai MIC merupakan sebuah parti minoriti India yang diasaskan pada Ogos 1946 oleh John A. Thivy dan Janaky Athi Nahappan. MIC ditubuhkan setelah satu persidangan berlangsung di Dewan Orang Ramai Chettiar, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Presiden pertamanya ialah John A.

Thivy yang merupakan seorang pengamal undang-undang. Presiden paling lama yang berada di dalam MIC adalah Tun Sammy Vellu, manakala Presiden MIC sekarang adalah Datuk Seri Subramaniam Sathasivam.

Parti Keadilan Rakyat (PKR)

logo pkr

Sewaktu krisis dan kegawatan ekonomi 1997, Anwar Ibrahim telah melakukan beberapa perubahan dan langkah penjimatan bagi menyelamatkan negara dari krisis tersebut. Tun Dr. Mahathir yang tidak bersetuju dengan tindakan Anwar telah memecat Anwar daripada semua jawatannya pada 2 September 1998.

Pemecatan beliau membawa kepada terbentuknya gerakan Reformasi yang turut mengakibatkan penangkapan beliau. Rakyat bangkit menuntut pengunduran Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad pada 20 September 1998 akibat tuduhan-tuduhan fitnah yang dicipta terhadap Anwar Ibrahim.

Parti Keadilan Rakyat merupakan hasil gabungan Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Presiden PKR pada ketika ini ialah Yang Berbahagia Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan)

logo gerakan

Parti Gerakan Rakyat Malaysia dikenali sebagai Gerakan telah ditubuhkan pada tahun 1968 daripada gabungan Parti Bersatu Demokratik dan Parti Buruh dan kesatuan sekerja. Pengasas Gerakan ialah Prof. Dr. Syed Hussein al-Attas yang merupakan ahli sosiologi dan politik.

Gerakan wujud sebagai salah satu pembangkang pada waktu itu dan menang pada pilihanraya 1969 seterusnya mentadbir kerajaan Pulau Pinang. Gerakan menyertai Perikatan bersama beberapa parti lain untuk membentuk Barisan Nasional pada tahun 1973.

Democratic Action Party (DAP)

logo dap 199

DAP diasaskan pada Oktober 1965, Parti Tindakan Demokratik (DAP) didaftarkan secara rasmi enam bulan kemudian iaitu pada 18 Mac 1966 sebagai sebuah parti demokratik sosial. Parti DAP adalah serpihan kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang merupakan parti politik Singapura.

Lee Kuan Yew adalah pengasas PAP tidak bersetuju atas sebab Perikatan-UMNO bertanding dalam pilihan raya di Singapura dan dia telah membuka cawangan PAP di Semenanjung Malaysia. Disebabkan negeri Singapura berpisah dari Malaysia pada 9 Ogos 1965 maka pendaftaran parti PAP telah dibatalkan pada 9 September 1965.

Pada ketika ini, Lim Kit Siang merupakan Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), manakala anaknya Lim Guan Eng merupakan Setiausaha Agung DAP.

Parti Bersatu Sabah (PBS)

logo pbs

Parti Bersatu Sabah merupakan sebuah parti politik Malaysia yang ditubuhkan oleh Datuk Joseph Pairin Kitingan pada tahun 1985 di Sabah. PBS pernah menguasai Dewan Undangan Negeri negeri Sabah pada tahun 1985 sehingga 1994. PBS juga pernah menguasai 14 kerusi Parlimen dalam PRU Malaysia 1990.

PBS menjadi anggota Barisan Nasional sejak dari penubuhannya sehingga pengundurannya pada 1990 dan kembali bergabung dengan Barisan Nasional pada tahun 2002. Presiden parti PBS ialah Datuk Joseph Pairin Kitingan sejak tertubuhnya parti itu sehingga masa kini.

Sarawak United People Party (SUPP)

logo supp

Parti Rakyat Bersatu Sarawak merupakan sebuah parti bercorak pelbagai kaum yang majoriti keahliannya adalah terdiri daripada kaum Cina. Parti ini ditubuhkan pada tahun 1959 di Sarawak. SUPP berubah dari haluan kiri ke sebuah parti politik komponen yang kukuh di bawah Barisan Nasional tanpa melepaskan sokongan kaum Cina Sarawak. SUPP adalah parti politik komponen yang kedua terbesar Barisan Nasional di Sarawak.

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)

logo pbb

Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak adalah parti politik Malaysia tempatan di Sarawak. PBB ditubuhkan pada 30 April 1973 daripada penggabungan tiga buah parti politik di Sarawak, iaitu Parti Negara Sarawak (PANAS), Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) dan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA).

Gabungan parti-parti ini adalah berdasarkan perjuangan untuk meningkatkan taraf kehidupan dan membela nasib kaum Bumiputera dalam pelbagai cabang termasuk ekonomi, politik dan sosial. Temenggung Jugah merupakan presiden pertama PBB dan diwarisi oleh Pehin Sri Hj. Abdul Taib Mahmud pada tahun 1981.

Presiden PBB yang terkini adalah Abang Johari Tun Openg yang memegang jawatan presiden mulai 13 Januari 2017.

Parti Sosialis Malaysia (PSM)

logo psm

Pada tahun 1998, PSM telah ditubuhkan tetapi pendaftaran parti ini selalu ditolak dengan alasan "mengancam keselamatan negara". Namun demikian, parti ini masih menghantar calon bertanding dalam Pilihan Raya Umum dengan tiket parti pembangkang lain. PSM telah berjaya berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan(ROS) iaitu pada tahun 2008.

Lambang parti PSM adalah genggaman tangan kiri yang melambangkan perpaduan dan perjuangan untuk suatu masyarakat yang adil dan demokratik. Ibu pejabat parti PSM terletak di Brickfields, Kuala Lumpur.

Liberal Democratic Party (LDP)

logo ldp

Parti Liberal Demokratik Sabah adalah salah satu parti politik Malaysia yang merupakan sebahagian komponen Barisan Nasional di Sabah. Majoriti keahlian parti ini didominasi oleh kaum Cina. Parti politik ini tewas ke atas satu-satunya kerusi parlimen yang ditandingi di Sandakan pada PRU Malaysia 2004.

Parti Pribumi Bersatu (Bersatu)

logo bersatu

Parti Pribumi Bersatu Malaysia merupakan sebuah parti politik di Malaysia yang dipimpin oleh Pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PPBM ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin. PPBM merupakan sebuah parti politik Malaysia yang lahir selepas pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato' Seri Paduka Mukhriz Mahathir serta pergantungan Dato' Seri Mohd Shafie Apdal daripada UMNO pada 24 Jun 2016.

Borang permohonan untuk mendaftarkan PPBM telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 9 Ogos 2016 oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin serta AJK penaja parti. Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah meluluskan penubuhan Parti PPBM pada 08 September 2016. PPBM telah dibubarkan secara sementara pada 5 April 2018.

United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO)

logo upko

Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu merupakan sebuah parti politik yang ditubuhkan semula daripada Pertubuhan Bersatu Pasok-Momogun Kadazan (1964-1967) dengan perubahan pada nama iaitu sebagai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Mei 1964-Disember 1967) tetapi tetap mengekalkan singkatan yang nama yang sama iaitu UPKO di Sabah, Malaysia pada 30 Oktober 1999 untuk membela hak-hak serta memperjuangkan pembangunan kaum Kadazandusun Murut.

Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP)

logo spdp

Pada 9 November 2002, Parti Demokratik Progresif Sarawak atau Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) telah ditubuhkan. SPDP merupakan parti serpihan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang disebabkan berpunca dari perbalahan pucuk pimpinan dalam Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang telah melahirkan parti yang dipimpin oleh Presiden SPDP iaitu Dato' Sri William Mawan Ikom atas nasihat ketua menteri Sarawak.

Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA)

logo berjasa

BERJASA merupakan serpihan daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang diasaskan oleh Dato' Haji Muhamed bin Nasir, bekas Menteri Besar Kelantan, pada tahun 1977 setelah beliau disingkirkan dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Pemecatan Mohamed Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan sebahagiannya disebabkan oleh krisis dalam Barisan Nasional. Ketika itu PAS adalah sebuah parti komponen dalam BN. Apabila PAS menarik diri daripada Barisan Nasional serta hilang penguasaan negeri Kelantan, BERJASA yang baru ditubuhkan pula membentuk kerajaan gabungan dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Dalam PRU Malaysia 13, BERJASA telah bertanding semula dengan sokongan NGO Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Kini BERJASA telah menyertai Gagasan Sejahtera pada 23 September 2016 bersama dengan PAS.

Parti Rakyat Malaysia (PRM)

logo prm

Parti Rakyat Malaysia merupakan salah satu parti politik tertua di Malaysia yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam, Ishak Hj Muhammad (Pak Sako), Dr. Burhanuddin Al Helmy dan pejuang-pejuang kemerdekaan yang lain pada 11 November 1955.

PRM diinspirasikan menerusi perjuangan kemerdekaan di Indonesia yang diketuai oleh Sukarno. PRM sesuai untuk semangat patriotisme ke atas Malaysia/Indonesia. Parti Rakyat Malaysia mendesak untuk mendapatkan kemerdekaan sepenuhnya daripada penjajahan British.

Parti Cinta Malaysia (PCM)

logo parti cinta malaysia

Parti Cinta Malaysia ditubuhkan pada 6 Ogos 2009, berpangkalan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. PCM dikatakan sebuah parti pelbagai kaum yang mesra BN. PCM ditubuhkan bagi tujuan alternatif kepada ahli-ahli politik pro BN yang tidak berpuas hati dengan pemimpin parti masing-masing seperti Chua Soi Lek daripada MCA, Tiong King Sing daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Huan Cheng Guan daripada Gerakan ketika itu.

Buat pertama kalinya, mereka bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011, dengan mengemukakan lima calon. Kini Parti Cinta Malaysia telah bergabung bersama Gagasan Sejahtera.

Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan)

logo ikatan

Parti Ikatan Bangsa Malaysia yang lebih dikenali sebagai Ikatan ditubuhkan pada 7 Jun 2012 oleh beberapa bekas pemimpin nasional Malaysia. Presiden sementaranya ialah bekas Menteri Penerangan iaitu Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Ikatan menyasarkan 500,000 ahli dari seluruh negara dalam tempoh setahun. Borang telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 5 Jun 2012. Tan Sri Abdul Kadir keluar dari UMNO pada Mac 2012 dan berucap di atas pentas PAS. Kini Ikatan turut bersama dengan Gagasan Sejahtera pada Pilihan Raya Umum ke 14 ini.

Parti Amanah Negara (Amanah)

logo pan

Parti Amanah Negara adalah sebuah parti politik di Malaysia. Parti Amanah diasaskan oleh Mohamad Sabu yang telah keluar dari PAS. Parti ini didaftarkan sebagai Malaysia Workers' Party (Parti Pekerja-Pekerja Malaysia) iaitu parti politik berhaluan kiri di Malaysia.

Parti ini ditubuhkan pada tahun 1978 oleh Puan Ganga Nayar, yang gagal memenangi kerusi yang ditandinginya iaitu kawasan Parlimen Sungai Besi dan DUN Sungai Way pada Pilihan Raya Umum Malaysia 1978. Parti ini kemudiannya dijenamakan semula sebagai Parti Amanah Negara dan dilancarkan pada 16 September 2015.

Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA)

logo kimma

KIMMA sebuah parti politik di Malaysia yang ditubuhkan pada 1977 untuk menwakili kaum minoriti India Muslim. KIMMA pernah dibatalkan pendaftarannya sebanyak dua kali pada tahun 1978 & 1998 sebelum didaftar balik semula. KIMMA telah menyatakan hasrat untuk menyertai Barisan Nasional semenjak tahun 1984.

KIMMA merupakan satu pertubuhan yang khusus untuk India Muslim yang bersuara lantang memperjuangkan kepentingan masyarakat India Muslim dalam bidang politik, agama, sosial, ekonomi dan pendidikan. Sejak penubuhannya, KIMMA telah membuka banyak cawangan di setiap negeri di seluruh Malaysia dan terkini, KIMMA mempunyai 12 buah pejabat di 12 buah negeri di Malaysia.

Parti Progresif Penduduk (MyPPP)

logo myppp

MyPPP ditubuhkan pada tahun 1953 oleh adik-beradik Seenivasagam dan presiden pertamanya D.R. Seenivasagam. Parti ini amat terkenal sebaik sahaja ditubuhkan atas sebab populariti adik-beradik ini yang bersuara tentang keadilan dan kesamaan untuk orang-orang biasa. MyPPP pada masa sekarang dipimpin oleh Presiden, Dato' Seri M. Kayveas. MyPPP juga merupakan parti komponen bagi Barisan Nasional yang merupakan parti pemerintah bagi kerajaan Persekutuan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)