Terletak di luar Kunming, ibu kota Wilayah Yunnan di barat daya China, terdapat sebuah taman tema yang sering dikaitkan dengan kontroversi. Taman tema yang dikenali sebagai Kerajaan Manusia Kecil atau lebih dikenali sebagai Empayar Kerdil itu dipenuhi dengan kakitangan yang mempunyai ketinggian tidak lebih daripada 4 kaki 3 inci tinggi.

Sejak taman tema ini dibuka pada tahun 2009, kakitangan yang bekerja di sini telah berkembang dari 60 hingga 140 orang penghibur dan hampir semuanya mempunyai kecacatan sejak lahir iaitu kerdil atau bantut. Setiap hari, para penghibur ini akan mengenakan pakaian khas atau purbawara untuk pertunjukan rutin harian mereka seperti melakonkan kisah dongeng hinggalah kepada tarian Hip Hop.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di Empayar Kerdil ini, para pekerjanya ditawarkan dengan gaji tetap yang berpatutan untuk melakukan banyak lagi tugasan seperti menyanyi, pertunjukan kung fu dan menari. Namun, apa yang menjadi persoalan ialah adakah taman tema ini dianggap sebagai zoo yang mengeksploitasikan manusia atau tempat untuk memberi peluang kepada golongan orang kurang upaya ini?

Kehidupan di Empayar Kerdil

rumah cendawan di taman tema ini

Jika anda mengunjungi Empayar Kerdil ini, anda berasa seperti sedang memasuki dunia fantasi atau dongeng dengan rumah-rumah di situ berbentuk cendawan dan mempunyai cerobong asap yang unik. Penduduknya pula mengenakan pelbagai jenis pakaian purbawara, siap dengan pedang dan perisai. Sementara ada juga antara mereka yang mengenakan tutu, sayap rama-rama atau mahkota. Rata-rata penghibur yang tinggal di sini berumur antara 18 hingga 40 tahun.

Sebanyak dua kali setiap hari, para pekerja di sini akan membuat persembahan, menjual makanan dan cenderahati serta menyediakan perkhidmatan mengambil foto. Selepas para pengunjung beredar dari situ, mereka akan menyusun kembali kerusi dan meja, membersihkan dan kembali ke asrama mereka menggunakan kereta golf.

para pekerja di empayar kerdil

Asrama yang disediakan oleh pihak pengurusan boleh menampung sehingga empat orang dan direka bersesuaian dengan keadaan mereka yang kerdil. Sama seperti asrama pekerja kilang yang berhampiran, asrama untuk golongan penghibur kerdil ini nampak sederhana tetapi ceria, lebih baik berbanding sekiranya mereka tinggal di jalanan.

Namun, taman tema yang dipenuhi manusia kerdil ini menjadi kritikan hebat daripada banyak organisasi di seluruh dunia dan juga tokoh terkenal. Salah seorang yang kuat mengkritik taman tema ini ialah bintang filem kerdil barat, Warwick Davis.

Bagaimana ia bermula

empayar kerdil

Seorang usahawan industri elektronik dan mogul bidang hartanah iaitu Chen Mingjing, telah melabur sebanyak jutaan ringgit untuk membangunkan taman tema ini dan merekrut manusia kerdil dari seluruh China. Idea untuk membangunkan taman tema yang unik ini datang apabila Minjing telah berbual dengan dua orang kerdil di salah sebuah stesen kereta api di China.

Dia mendengar sendiri tentang penderitaan yang dialami oleh individu dari golongan kerdil yang berada di negara China ini. Mingjing mendapati golongan istimewa ini kebanyakannya ditolak oleh keluarga mereka sendiri, hidup sebagai miskin tegar dan tinggal di jalanan.

Setelah itu, Mingjing berniat untuk membangunkan tempat khas untuk orang-orang kerdil ini. Malah, jutawan itu juga inginkan mereka ini mempunyai peluang menjalani hidup seperti orang biasa. Penubuhan taman tema ini membolehkan orang-orang kerdil ini mendapat perlindungan sekaligus berpeluang untuk bekerja dan menjana pendapatan sendiri.

ahli persatuan little people of america

Ahli persatuan Little People of America

Walaupun sesetengah kumpulan atau penubuhan seperti Little People of Amerika yang berpangkalan di California menuduh Empayar Kerdil ini sebagai zoo manusia, para penghibur di taman tema ini mendakwa mereka menikmati kerjaya ini dalam kehidupan baru mereka. Kebanyakan daripada mereka berasa sangat senang hati apabila terhindar dari stigma yang dikaitkan dengan orang kerdil di China.

Walau bagaimanapun, orang-orang kerdil di sini tetap menghadapi cabaran apabila terpaksa menjadi pameran dan penghibur sebagai pertukaran kepada kehidupan baru mereka ini.

Kepercayaan purba Cina

peminta sedekah kerdil

Malangnya, kepercayaan purba masyarakat Cina menyebabkan populasi orang kerdil ini ketinggalan di belakang. Satu kepercayaan popular yang masih tersebar luas di kalangan penduduk ialah apabila seseorang itu dilahirkan dengan kecacatan, ia adalah akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan mereka pada kehidupan lepas. Akibatnya, golongan istimewa atau orang kurang upaya ini sering mengalami layanan kejam daripada keluarga dan juga masyarakat.

Dianggarkan, sebanyak 83 juta orang kurang upaya tinggal di China, 40 peratus daripada mereka terbukti buta huruf. Walaupun berpelajaran atau tidak, boleh dikatakan kesemua mereka ini sering menjadi mangsa prejudis. Mereka dinafikan pekerjaan, penjagaan kesihatan dan juga peranan dalam masyarakat.

penghibur empayar kerdil

Walaupun Empayar Kerdil ini dilihat sebagai eksploitatif dari dunia luar, namun ia adalah tempat di mana golongan orang kerdil ini dapat memulakan semula hidup mereka. Sudah tentu, dengan kira-kira lapan juta orang kerdil yang berada di China, Empayar Kerdil ini dilihat sebagai peratusan kecil sahaja yang mewakili mereka.

Walau bagaimanapun, penduduk dan pekerja di taman tema ini bersyukur kerana diberi peluang bekerja dan mendapat gaji tetap. Selain itu, taman tema ini jauh daripada stigma, layanan kejam dan pengabaian yang berlaku di luar sana. Di sini mereka dilihat sebagai penghibur, jauh lebih beruntung daripada orang kerdil yang terpaksa hidup melarat dengan meminta sedekah di jalanan.

raja kerdil bersama pengawalnya 403

Di Empayar Kerdil ini, gaji yang ditawarkan adalah serendah RM 484 sebulan, sedikit melebihi daripada gaji minimum di daerah ini. Manakala pakej gaji purata untuk pekerja di sini ialah sebanyak RM 900 sebulan, setara dengan apa yang diperolehi oleh graduan kolej. Bagi sesetengah pekerja seperti Raja Kerdil di taman tema ini, mereka memperolehi gaji yang lebih, sekitar RM 1800 sebulan.

Selain dibayar gaji, pekerja di sini juga boleh menyertai aktiviti sampingan dan kaunseling. Tidak hairanlah taman tema Empayar Kerdil ini telah menarik minat golongan orang kerdil dari seluruh China untuk datang memohon bekerja di sini.

pengunjung mengambil gambar bersama penghibur

Tambahan pula, Mingjing mempunyai cita-cita untuk memperluaskan lagi empayar yang dibina untuk orang kerdil ini. Bukan sahaja orang kerdil dari China, malah dari seluruh dunia datang bekerja dan tinggal di sini. DIa bercadang untuk meningkatkan jumlah penduduk di sini kepada 1000 orang.

Rujukan:

1. Atlas Obscura

2. The Guardian

3. The Daily Beast




Hakcipta iluminasi.com (2017)