Oleh pada 22 Jun 2021 kategori

Satu ketika dulu, jualan barangan cetak rompak di lokasi popular seperti Petaling Street memberikan produk yang jelas sekali berkualiti rendah disamping rekaan juga yang tak berapa sama dengan produk asli.

Ekoran perkembangan kemudahan beli-belah dalam talian yang  menghubungkan kita dengan peniaga dari China terus khasnya, kita mula didedahkan dengan banyak produk yang mempunyai rekaan dan spesifikasi sama sehingga layak dikatakan 100% sama dengan produk asli, pada harga yang kadangkala 70% harga asalnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dari mana datangnya produk yang nak kata asli bukan, nak kata tak asli bukan ini? Pernah anda tertanya-tanya siapa yang menghasilkannya dan adakah produk copy ori ini sebenarnya produk asli?

Perubahan kilang dunia ke China

produk beg tangan third shift china

Berikutan peningkatan kos serta tekanan pihak pengeluar dalam menurunkan kos, industri pembuatan mula menuju ke China untuk menghasilkan majoriti produk yang kita gunakan setiap hari sejak dekad 1980-an.

Fenomena perubahan ini meletakkan kepentingan pembuatan dan perkilangan di bahu China, menjadikan negara itu bergelar kilang dunia.

Teknologi yang dahulunya eksklusif di kuasai negara barat, Eropah, Taiwan dan Jepun mula dikongsikan kepada pengeluar China, membolehkan syarikat China mendalami pelbagai aspek pengeluaran seperti rekaan, penghasilan acuan, spesifikasi, hak cipta serta rahsia pengeluaran syarikat tanpa perlu melakukan pembangunan.

Bagi syarikat barat yang melakukan kajian dan penyelidikan sendiri, ini adalah satu pengorbanan yang perlu diterima bagi membolehkan enama-jenama besar dapat mengambil peluang kos pengeluaran yang rendah di China, seterusnya meningkatkan keuntungan diperolehi.

Peralihan sektor pengeluaran dan pembuatan ini ke China memerlukan kumpulan pekerja di situ berkorban, perlu bekerja keras dalam memastikan kuota pengeluaran dapat dicapai.

Kami sudah menceritakan berkenaan budaya kerja 996 yang diamalkan majoriti syarikat besar China.

Kami juga sudah menjelaskan bagaimana kumpulan pekerja syarikat elektronik pembuat Apple iPhone ditindas dari segi jadual kerja mereka. Mungkin bagi mereka, semua itu ok. Terpulang kepada merekalah.

Perubahan cara kerja yang berlaku di China akibat permintaan yang meningkat saban tahun ini, akhirnya membuka peluang kepada banyak 'usahawan segera' di China menjana pendapatan sampingan dalam skala besar bermodalkan kos lebih rendah - disebabkan oleh budaya kerja keras yang mereka amalkan, mampu memaksa pekerja bekerja tak kira masa.

'Syif ketiga' - waktu paling sesuai mencetak rompak produk luar

pekerja kilang china d0a3

Tahukah anda berapa besar sektor ekonomi hanya melibatkan produk palsu, tiruan atau cetak rompak?

Dalam kajian yang dijalankan pada tahun 2016, jumlah anggaran nilai keseluruhan produk palsu dalam pasaran antarabangsa mencecah lebih RM2.1 trillion setahun. Angka ini pula meningkat saban tahun dengan majoriti barangan palsu yang dijual, datangnya dari mana lagi China.

Seperti yang kami sebutkan di atas, budaya kerja mereka menjadi penyumbang utama masalah ini.

Dari segi aspek undang-undang, pengeluaran barangan cetak rompak di China merupakan satu kesalahan serta dianggap satu jenayah. Namun kegagalan pihak berkuasa China benar-benar menyelia aktiviti ini khasnya apabila melibatkan syarikat luar, adalah disebabkan oleh beberapa faktor luar kawalan mereka.

Faktor sentimen masyarakat tempatan yang melihat peniruan produk luar bukan sebagai satu kesalahan besar menjadi pendorong utama, selain daripada keperluan menghasilkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat yang banyak bergantung dengan kilang-kilang ini.

Bagi memenuhi kuota pekerja serta menjana pendapatan lebih, banyak syarikat perkilangan di China mula menambah jadual kerja tambahan secara sulit - dinamakan sebagai 'syif ketiga.'

Syif ketiga turut dikenali sebagai third-shift atau ghost-shift menjadi waktu di mana produk-produk di luar kuota pengeluaran dihasilkan, tanpa pengetahuan pihak yang terlibat seperti pemilik jenama atau syarikat antarabangsa yang telahpun melabur di situ - atas persetujuan pengurusan kilang itu sendiri.

Ada beberapa cara popular digunakan. Ada syarikat yang secara tidak rasmi menjalankan operasi mereka lewat malam, bagi menghasilkan produk syif ketiga. Ada juga syarikat yang mengupah sindiket tertentu tidak berdaftar yang akan hadir ke kilang pada lewat malam, bagi menjalankan operasi lewat malam menggunakan tenaga kerja berbeza.

Produk yang terhasil daripada shif tambahan ini pula tidak direkodkan secara rasmi, sebaliknya akan dijual kepada sindiket-sindiket jualan yang dilantik secara sembunyi.

Bergantung kepada kaedah penghasilan produk syif ketiga yang diamalkan, kualiti produk yang terhasil juga akan mempunyai perbezaan ketara. Seandainya pengilang asal menghasilkan produk syif ketiga tersebut, kualitinya akan jadi jauh lebih baik malahan setaraf dengan produk asli.

Manakalan bagi pengilang yang mengupah sub-kontraktor lewat malam pula sudah tentulah akan menghasilkan produk lebih kurang kualitinya, disebabkan ketiadaan penyeliaan dan supervisi daripada mereka yang benar-benar terlibat.

Motorsikal pun boleh dipalsukan!

motorsikal yamaya

Satu contoh kes produk syif ketiga paling terkenal melibatkan syarikat pengeluar motorsikal Jepun iaitu Yamaha, yang melantik 3 buah syarikat usahasama bersama di China. Apa berlaku selepas itu? Cuba anda teka.

Semua rahsia kejuruteraan Yamaha akhirnya dijual oleh salah satu syarikat terlibat kepada syarikat lain milik warga tempatan. 4 bulan selepas penjualan itu, motorsikal cetak rompak yang mempunyai rekaan dan teknologi sama mula dikeluarkan syarikat-syarikat tidak ternama ini menggunakan nama sebenar Yamaha atau nama berbeza.

Pada satu peringkat, 5 daripada 6 buah motor yang dijual menggunakan jenama terkenal Jepun itu adalah motorsikal palsu. Insiden ini mengakibatkan kerugian besar kepada Yamaha serta menjejaskan reputasi mereka. 

Begitulah mentaliti yang perlu kita fahami apabila bercakap tentang usaha pengilang China nak menjalankan proses cetak rompak ni. 

motor moxiao china tiru ducati panigale

Berikutan penggunaan kaedah dan peralatan yang serupa dalam proses penghasilan sesuatu produk syif ketiga, apa yang mampu dihasilkanpengeluar syif malam tidak rasmi ini ada kalanya 100% sama dengan produk asal, sehingga mampu menyukarkan pemilik asal jenama tersebut mengenalpasti perbezaannya.

Kebanyakan syarikat syif ketiga bagaimanapun lebih gemar menurunkan kos pengeluaran dengan menggunakan komponen kurang berkualiti khasnya apabila melibatkan produk kejutureaan, elektronik dan elektrik, walaupun menggunakan tanda dagangan asal.

Sebab itulah ada kalanya barangan cetak rompak yang mudah dipalsukan seperti pakaian dan kasut mempunyai persamaan 100% dengan produk asli, tetapi mampu dijual pada harga jauh lebih murah disebabkan oleh tiadanya keperluan untuk pengeluar membayar kos pelesenan dan penyelidikan.

Sebagai pengguna, anda mungkin melihat isu ini sebagai satu kemenangan kepada anda dari segi harga dan kualiti - namun bukan semua produk shif ketiga ini selamat untuk digunakan.

Kontroversi akibat penjualan produk syif ketiga

produk pengecaj palsu abble apple

Satu kes berkaitan produk palsu paling menggegarkan masyarakat antarabangsa berlaku sekitar tahun 2005, apabila sebuah jenama terkenal formula susu bayi yang produknya dipalsukan telah menyebabkan kematian lebih 50 orang bayi di China, dengan lebih 100 orang bayi mengalami masalah keracunan.

Kisah ini tular sehingga menyebabkan banyak komuniti luar China mula berhati-hati dalam membeli dan memberikan susu formula, sehingga menjejaskan banyak jualan produk formula ketika itu.

Beberapa kes letupan pengecaj telefon keluaran syif ketiga turut dilaporkan di China, telah mengakibatkan kematian beberapa orang individu yang tidak mengetahui mereka sebenarnya telah terbeli pengecaj palsu ekoran tertarik dengan harga jualan 'produk asli' yang rendah.

Berbeza dengan masalah cetak rompak satu masa dahulu di mana pengeluar cetak rompak hanya menggunapakai jenama tanpa kebenaran, masalah produk syif ketiga ini sukar dibendung disebabkan oleh persamaan produk yang mampu dihasilkan.

perbandingan kasut new balance dan new barlun

Kes rumit melibatkan syarikat pengeluar kasut larian New Balance dan pekilangnya yang beroperasi di bandar Yang Jiang sejak tahun 2009, harus dijadikan pedoman.

Selepas tamat kontrak pengeluaran antara jenama tersebut dengan pengilangnya, semua urusan antara kedua-duanya dianggap selesai.

Namun pengilang kasut tersebut bukan saja tidak menghentikan pengeluaran malah enggan memulangkan kembali semua spesifikasi dan rahsia teknologi yang telah dipinjamkan bagi membolehkan pengeluaran dijalankan sebelum itu.

Selepas laporan dibuat oleh New Balance, serbuan pihak berkuasa China bukan saja menemui longgokan kasut jenama New Balance masih dihasilkan di kilang tersebut dalam skala besar.

Apa yang lebih memeranjatkan, kilang tersebut juga didapati sudah mula menghasilkan kasut berjenama sendiri yang logonya mirip logo New Balance, menggunakan spesifikasi sama dengan yang produk asal dengan tanda dagangan yang didaftarkan serta sah di sisi undang-undang China.

Nama jenama yang digunakan pengilang itu adalah 'New Barlun.'

butik new barlun di china

Kes saman ini dibawa ke mahkamah tinggi Guangdong untuk dibicarakan, malangnya keputusan mahkamah memihak kepada pengilang tersebut sejak peringkat awal perbicaraan lagi. New Balance melakukan beberapa kali rayuan serta permohonan pertukaran hakim bagi membolehkan perbicaraan lebih adil dijalankan.

Selepas pelbagai proses bicara, rayuan serta pertukaran kes daripada satu mahkamah ke mahkamah lain - New Balance akhirnya memenangi tuntutan saman ke atas pengilang kasut tiruan itu pada bulan Februari tahun 2021.

Kes seperti ini memang banyak berlaku melibatkan pengilang-pengilang di China.

Gesaan kerajaan China serta nama-nama besar seperti Jack Ma yang sering berkempen agar pengilang-pengilang ini bertindak membangunkan jenama serta rekaan sendiri berbanding mencuri jenama dan produk sedia ada yang sudah kukuh tapaknya, tampak tidak dihiraukan pengilang.

Mungkin selama ini anda tertanya kenapa China 'berani' mengeluarkan produk copy ori. Mungkin juga anda salah seorang pembeli tegar produk copy ori ini. Kami harap artikel ini menjawab soalan anda.

Produk copy ori dari China ini realitinya bukanlah semua tiruan. Ada banyak sebenarnya produk yang 100% sama dengan yang asal, cuma dijual melalui saluran yang salah.  Jika anda salah seorang pembeli produk sebegitu, kami ucapkan tahniah. 

Jika anda pembeli New Barlun yang menyangkakan anda membeli produk asli, kami ucapkan takziah.

Rujukan 

Not exactly counterfeit

China Builds and Sells Fake Yamaha Scooters

How New Balance Won One of the Largest Trademark Settlements in China to Date




Hakcipta iluminasi.com (2017)