Awal tahun lalu, ketikaa peringkat awal bermulanya jangkitan Covid-19 di Wuhan, China - banyak pihak melaporkan bahawa tidak ada sebarang bukti menunjukkan haiwan peliharaan mampu menjadi hos kepada virus tersebut.

Malangnya, selepas hampir 4 bulan kita semua berdepan penyakit ini, wujud pula bukti-bukti yang menunjukkan jangkitan bukan hanya berlaku daripada manusia ke manusia, malahan boleh juga berpindah daripada manusia ke haiwan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Fenomena ini yang diistilahkan sebagai 'zoonosis songsang' (reverse zoonoses) merupakan sesuatu yang memang sudah diketahui berlaku melibatkan virus, tetapi agak mengejutkan kerana pengkaji tidak menyangka virus SARS-CoV-2 mempunyai kemampuan sedemikian.

Berikut adalah empat kes jangkitan terawal melibatkan haiwan, yang telah didapati berlaku di seluruh dunia membuatkan penyelidik di seluruh dunia menggaru kepala.

Kes pertama jangkitan haiwan di dunia

anjing meninggal dunia covid 19

Pada 5 haribulan Mac 2020, pihak berkuasa Hong Kong melaporkan tentang penemuan jangkitan Covid-19 tidak kuat pada seekor anjing daripada baka pomeranian, dipercayai dijangkiti daripada tuannya seorang wanita berusia 60 tahun.

Kes itu merupakan kes pertama jangkitan Covid-19 ditemui pada haiwan, khasnya anjing. Anjing itu pula dilaporkan tidak menampakkan sebarang tanda sakit, sebaliknya kelihatan sihat seperti biasa. Disebabkan positif jangkitan, anjing itu terpaksa dikurung di pusat kuarantin sejak 26 Februari - memisahkan anjing itu dengan tuannya.

Selepas dibenarkan pulang ke pangkuan tuannya, anjing itu yang sudah pun berusia 17 tahun meninggal dunia. Setakat ini kematiannya dipercayai disebabkan oleh kemurungan terkurung sendirian tanpa tuan.

Pihak perubatan Hong Kong gagal mendapatkan kebenaran wanita itu yang telahpun pulih, untuk menjalankan autopsi bagi mengenalpasti punca kematian.

Anjing turut menjadi kes kedua

german shepard haiwan kedua dijangkiti covid 19

Selepas kes pertama melibatkan anjing yang positif jangkitan Covid-19, kes kedua melibatkan haiwan sama dilaporkan pada 20 Mac 2020.

Kali ini melibatkan seekor anjing dari baka German Shepherd selepas anjing itu dipercayai dijangkiti virus dari tuannya. Disebabkan penemuan itu, kedua-dua anjing yang ada di rumah tersebut di hantar ke pusat kuarantin termasuk seekor lagi anjing kacukan yang berusia 4 tahun.

Hanya anjing German Sherpherd yang berusia 2 tahun itu positif Covid-19 tetapi tetap tidak menampakkan sebarang simptom jangkitan.

Kucing pula jadi mangsa kerakusan virus

haiwan dijangkiti covid 19 daripada manusia

Dalam kes jangkitan Covid-19 pertama melibatkan makhluk comel kucing di Belgium, kucing itu dilaporkan pada penghujung bulan Mac mengalami masalah pernafasan dan cirit-birit.

Kajian yang dijalankan ke atas sampel najis kucing itu mendapati wujudnya genome virus SARS-CoV-2 pada najisnya, menunjukkan ada kemungkinan virus itu mula mempunyai kemampuan menjangkiti kucing.

Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas tuan punya kucing itu pulang daripada melancong di Itali dan disahkan menghidap Covid-19. Bimbang dengan situasi yang dihadapi, tuan punya kucing itu (yang dilaporkan telah sembuh) memberikan kerjasama menghantar sampel kajian kepada Fakulti Perubatan Veterinar di Liege.

Hasil kajian mendapati najis kucing itu mempunyai kandungan genome virus yang tingg. Nasib baiklah kucing itu pulih selepas 9 hari jangkitan direkodkan bermula.

Harimau Malaya mendapat jangkitan dipercayai daripada manusia

harimau malaya nadia covid 19

Jangkitan terbaru setakat ini melibatkan harimau bernama Nadia, seekor harimau Malaya yang ditempatkan di Zoo Bronx New York.

Kes ini mencatat rekod sebagai kes pertama jangkitan Covid-19 ditemui bukan pada haiwan domestik dan yang pertama di Amerika Syarikat melibatkan haiwan.

Sama seperti kucing yang dijangkiti di Belgium, Nadia mula menampakkan tanda jangkitan, mengalami batuk kering dan masalah pernafasan. Jangkitan yang berlaku dipercayai bermula daripada salah seorang pekerja zoo yang dijangkiti tetapi tidak menampakkan sebarang simptom wujud jangkitan.

Selain Nadia, dua lagi harimau Siberia dan tiga ekor singa Afrika sudah mula menunjukkan simptom awal jangkitan Covid-19 tetapi setakat ini, hanya Nadia saja disahkan positif jangkitan.

Perubahan pandangan WHO

kucing dikurung jangkitan penyakit

Selaku badan utama kesihatan dunia, WHO sejak mula direkodkan menyebut risiko untuk berlakunya jangkitan kepada haiwan khasnya haiwan domestik, seperti kucing, anjing dan haiwan peliharaan lain tidak boleh berlaku - disebabkan oleh ketiadaan bukti ia benar-benar boleh berlaku.

Bagaimanapun, pendapat itu didapati telah ditarik balik WHO sendiri selepas World Organisation for Animal Health atau OIE mengeluarkan kenyataan, membenarkan kemungkinan berlakunya penyebaran virus daripada manusia kepada haiwan - berdasarkan kepada kes-kes yang telah berlaku di Hong Kong.

Laman web WHO yang pada awalnya memaparkan penjelasan tiada risiko jangkitan melibatkan haiwan didapati telah dikemaskini. Kenyataan awal telah dipadamkan seiring dengan penemuan-penemuan dan insiden baru yang berlaku.

kenyataan who yang ditarik balik

Setakat apa yang kami tahu, empat kes ini merupakan kes terawal berlakunya jangkitan Covid-19 kepada haiwan.

Apa yang kita tidak tahu secara sahih adalah punca jangkitannya, sama ada datang daripada tuan punya haiwan peliharaan seperti tiga kes terawal atau pekerja zoo yang menjangkiti harimau.

Masih banyak soalan yang belum dapat kita jawab dalam isu ini. Kita sudah mengetahui secara kasar Covid-19 mampu menyerang haiwan.

Dua persoalan penting yang perlu kita perjelaskan segera sebelum terlewat - adakah haiwan yang dijangkiti mampu menjangkitkan virus kepada haiwan lain dan yang lebih penting, adakah haiwan domestik atau haiwan liar, mampu menjangkitkan virus kembali kepada manusia lain?

Rujukan

OIE Questions and Answers on the 2019 Coronavirus Disease (COVID-19)




Hakcipta iluminasi.com (2017)