Kredit foto: Instagram Bob

Berkecimpung dalam dunia hiburan selama 13 tahun bukan bermakna penyanyi Bob mampu mengendalikan tugasannya sebagai peserta AF Megastar dengan mudah.

Bob atau nama penuhnya Yusrizan Usop mendedahkan rutin harian jadual mereka yang begitu padat.

"Jadual sebagai bintang AF Megastar sangat padat kerana boleh dikatakan setiap hari kami mempunyai komitmen dengan program tersebut.

"Isnin hingga Rabu kami terikat dengan komitmen dari pihak AF Megastar termasuk terlibat dengan rangka promosi serta sesi penggambaran.

"Khamis baru kami sempat hendak berlatih dan Jumaat sudah mula membuat rehearsal di pentas sebenar iaitu di Dewan Teater Shah Alam," katanya memetik laporan portal Astro Gempak.

Gara-gara itu penyanyi yang pernah meletup dengan lagu Cinta Seorang Teman itu mengakui persediaan yang singkat turut mengganggu waktu tidurnya.

tak tidur lena bob dedah jadual padat af megastar 2

Kredit foto: Instagram Bob

"Jadi bayangkan, dari proses pemilihan lagu hingga perancangan untuk susuanan muzik dan persembahan semua dilakukan dalam masa yang singkat.

"Saya sampai tidak tidur malam memikirkan segalanya dalam satu masa.

"Tapi alhamdulilah, semuanya berjalan dengan lancar dan saya dapat melaluinya dengan baik," katanya lagi.

Konsert kemuncak rancangan realiti itu yang akan berlangsung Ahad ini bakal menyaksikan para peserta membawakan dua buah lagu iaitu lagu pilihan bersama single baru.

Sementara itu, Bob memberitahu dia mengalami kesukaran dalam memilih single yang bersesuaian sebagai kesinambungan kerjayanya.

"Sebenarnya sukar untuk memilih lagu baru ini kerana saya perlu benar-benar cari melodi yang sesuai dengan identiti saya.

"Dalam masa yang sama saya juga mahu mencari lagu yang menjadi trending dan kesukaan pendengar masa kini.

"Saya bercita-cita untuk menzahirkan serta mempersembahkan muzik saya sendiri di atas pentas nanti," luahnya.

Selain Bob, Konsert AF Megastar Akhir antara lain menampilkan Marsha, Idayu, Syamel dan Shahir sebagai calon juara.

Ke udara Ahad ini, jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)