Kredit foto: Instagram Akademi Fantasia

Seperti yang diramalkan ramai, penyanyi Idayu memegang trofi juara Konsert Akhir AF Megastar di Teater Shah Alam, malam tadi (Ahad).

Susulan kemenangannya itu, Idayu atau nama penuhnya Nur Farah Idayu Yaakob menerima ganjaran berupa wang tunai RM100,000, trofi daripada Astro, pakej percutian 10 hari 7 malam ke Turkey tajaan SelamatBercuti.com untuk dua orang dan ecard gift bernilai RM6,000 sumbangan Go Shop.

Mencipta kelainan, tiada pengumuman tempat kedua dan ketiga dilakukan pada pertandingan itu.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Naib Presiden Bahagian Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh.

Selain itu, Anugerah Ultimate Performer AF Megastar hasil undian penonton melalui laman sesawang menjadi milik Syamel yang sekaligus melayakkannya membawa pulang ecard gift bernilai RM3,000 tajaan Go Shop dan trofi daripada Astro.

Tidak ketinggalan, Marsha dinobatkan Anugerah Terlajak Megastar dengan ganjaran wang tunai RM10,000 tajaan D’Herbs. Anugerah ini ditentukan hasil undian pelayar media sosial di Instagram Datuk Seri Alif Syukri selaku penaja.

Pada malam konsert kemuncak, para finalis dikehendaki membawa dua buah lagu dalam tema berbeza iaitu lagu pilihan bebas dan single baru yang diperdengarkan buat pertama kali.

Dua lagi finalis yang bertanding, namun tidak menerima sebarang trofi ialah Bob dan Shahir.

Manakala tujuh bintang AF Megastar yang tersingkir dalam konsert mingguan terdahulu ialah Azhar, Adira, Ewal, Sufi, Indah, Amir dan Amir Jahari.




Hakcipta iluminasi.com (2017)