Apabila anda meluangkan masa menelusuri platform media sosial, anda pasti akan terlihat pelbagai berita mengenai bencana dan masalah yang tidak berkesudahan. Semakin banyak anda baca, semakin laju degupan jantung anda.

Namun, anda tidak dapat berhenti daripada membaca berita seterusnya seolah-olah ia diluar kawalan anda. Fenomena ini dinamakan sebagai "Doomscrolling". Istilah ini telah dicipta pada tahun 2018 tetapi semakin menjadi perhatian sejak pandemik COVID-19 melanda dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa itu Doomscrolling?

Doomscrolling atau Doomsurfing bermaksud "Menghabiskan masa dengan membaca sejumlah besar berita negatif walaupun tahu keburukannya dan terus menelusuri berita seumpama itu".

Tabiat buruk ini semakin menjadi-jadi pada tahun 2020. Ramai yang tenggelam dalam pelbagai berita negatif sama ada mengenai pandemik, bencana alam, politik atau masalah umum lain.

kesan negatif media sosial

Walaupun Kamus Oxford telah menamakan 'Doomscrolling' sebagai "Word of the Year 2020" tetapi ia bukanlah tabiat yang baru dikesan berlaku pada manusia.

Salah satu punca mengapa orang ramai terjerumus melakukan Doomscrolling adalah disebabkan sifat manusia yang "tidak dapat bertoleransi dengan ketidakpastian".

Mengapa kita melakukannya

Ketika waktu bergolak ini, berita-berita tragis dan negatif seolah-olah tiada penghujungnya. Ia membuatkan sebahagian besar orang mengalami ketidakpastian mengenai kehidupan harian.

Kebanyakan orang berpendapat bahawa jika mereka mendapat informasi mengenai sesuatu yang tidak mereka ketahui maka mereka akan berasa lebih selesa. Oleh itu, mereka obses untuk mengemaskini 'feed' dengan harapan menemui jawapan penting yang boleh menghilangkan kerisauan.

media sosial 24

Manusia juga mempunyai sesuatu yang dikenali sebagai "bias negatif" iaitu lebih cenderung untuk fokus kepada berita negatif. Saluran media memanfaatkan tingkah laku ini dengan menyediakan lebih banyak tajuk berita negatif yang menarik perhatian berbanding berita baik atau menyenangkan.

Sebagai contoh, kebanyakan orang akan lebih cenderung dengan tajuk berita "Tiga gadis ditipu sindiket pelacuran" berbanding tajuk berita "Pelajar hasilkan minyak yang lebih mesra alam".

Kesan tabiat Doomscrolling

Ahli psikologi telah mengaitkan tabiat Doomscrolling ini mampu memberi kesan terhadap kesihatan mental. Selepas kejadian Pengeboman Maraton Boston 2013, satu kajian telah dilakukan terhadap 4,500 orang di Amerika mengenai kesan Doomscrolling.

Kajian mendapati bahawa mereka yang menggunakan media sosial lebih dari enam jam sehari adalah 9 kali ganda berisiko mengalami tekanan berbanding mereka yang tidak kerap membaca berita.

Mereka yang mempunyai tabiat Doomscrolling ini juga sering merasakan perlunya untuk mengumpul sebanyak mungkin maklumat bagi mendapatkan penjelasan yang meyakinkan. Ia untuk mengatasi ketakutan yang disebabkan oleh ketidakpastian.

rungsing

Walau bagaimanapun, mereka tidak akan berasa lebih tenang dengan membaca lebih banyak berita negatif dan mencemaskan sebaliknya menjadi bertambah risau.

Ia seperti fenomena yang dikenali sebagai "knock-on effect" atau "dominos effect". Tabiat Doomscrolling akan mendominasi pemikiran negatif seseorang sekaligus memicu kegelisahan, menyebabkan tekanan tinggi dan mengubah mood.

Seseorang yang mengalami tabiat Doomscrolling ini juga akan cenderung untuk meninggalkan komen mengenai perkara yang dia sendiri tidak arif, marah atas sesuatu sebab yang tidak diketahui sepenuhnya dan membenci seseorang tanpa mendengar penjelasan dari kedua-dua pihak.

Boleh menjurus kepada PTSD

Bahkan, mengkonsumsi berita negatif berlebihan boleh menyebabkan gejala gangguan tekanan pasca-trauma (PTSD) pada sesetengah individu. PTSD adalah gangguan psikiatri yang berlaku sebagai tindak balas kepada peristiwa yang menghancurkan dalam kehidupan seseorang.

doomscrolling social media

Mereka yang menghidapi PTSD akan mengalami tahap tekanan dan kegelisahan yang sangat tinggi disebabkan oleh ingatan atau hubungan dengan trauma mereka.

Satu kajian telah dilakukan ke atas 1,770 rakyat Amerika selepas serangan 9/11 mengenai trauma berita negatif. Kajian yang berlangsung selama tiga tahun itu mendapati mereka lebih banyak terdedah kepada berita serangan itu mengalami simptom-simptom PTSD walaupun tinggal jauh dari tempat kejadian.

Tangani dengan lebih baik

Memang mustahil untuk mengelak daripada membaca sebarang bentuk berita apabila melayari telefon pintar atau komputer. Berita juga sebenarnya memberikan informasi mengenai apa yang berlaku di sekeliling kita.

Walau bagaimanapun, terlalu banyak berita boleh meningkatkan tahap stress dan membuatkan kita menyangka bahawa keadaan lebih buruk berbanding perkara sebenar.

berita baik

Media sosial pula sememangnya direka untuk menyebabkan ketagihan dan membuatkan kita melayarinya selama berjam-jam tanpa sedar. Apabila rekaan ini digabungkan dengan berita negatif, maka wujudlah Doomscrolling.

Hanya anda sahaja yang mampu mengawal diri sendiri daripada terjerumus ke dalam tabiat buruk ini. Berikan tumpuan kepada masalah yang berada di hadapan anda berbanding di dalam media sosial. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)