Kebanyakan daripada kita pasti pernah merasai pengalaman 'mild disassociation', yakni perpisahan ringan, yang merujuk kepada perasaan mengelamun ketika sedang bekerja atau berbuat sesuatu.
Walaubagaimanapun, Dissociative Identity Disorder (DID) pula adalah sejenis bentuk 'perpisahan' yang lebih teruk, sejenis proses mental yang memisahkan pemikiran, memori, perasaan, tindakan atau perasaan identiti seseorang kepada beberapa personaliti.
BESARKAN TEKS A- A+
Dalam bahasa mudahnya, DID bermaksud kecelaruan personaliti, yakni apabila seseorang itu mempunyai lebih daripada satu personaliti dalam dirinya, yang sangat berbeza antara satu sama lain. Kadang kala mereka kelihatan ceria dan bahagia, pada saat lain apabila personaliti mereka berubah, mereka boleh menjadi lebih agresif, negatif dan lain-lain, bergantung kepada personaliti yang berbeza yang ada dalam diri mereka.
Menurut National Alliance on Mental Illness daripada Amerika Syarikat, kecelaruan identiti dialami sekurang-kurangnya 2 peratus daripada populasi dunia, di mana perempuan lebih terkesan berbanding lelaki.
Apakah Punca Seseorang Mengalami Kecelaruan Identiti?
Sebenarnya terdapat banyak punca yang dikaitkan dengan penyakit kecelaruan identiti ini. Antara yang paling berkait rapat dengan DID adalah trauma yang dialami oleh individu tersebut semasa mereka masih kanak-kanak. Kanak-kanak yang trauma kerap kali akan membayangkan situasi yang berbeza daripada situasi semasa sebagai mekanisme untuk mengatasi trauma yang dialami.
Trauma seperti dipukul, kemalangan atau kematian ahli keluarga akan menyumbang kepada trauma psikologi yang tidak mudah hilang daripada ingatan. Tekanan hidup misalnya berupaya menyebabkan trauma pada masa lampau untuk timbul semula. Trauma seperti ini sekiranya tidak dirawat daripada awal boleh menyebabkan ianya berkembang menjadi kecelaruan identiti.
Selain daripada trauma pada masa kecil, DID boleh berlaku disebabkan oleh faktor biologi, yakni disebabkan masalah genetik yang diwarisi daripada ibu bapa, ketidakseimbangan hormon dalam badan, dan corak pemakanan mereka sendiri.
Apakah Simptom-Simptom Kecelaruan Identiti?
DID boleh jelas dilihat melalui kehadiran 2 atau lebih identiti yang sangat berbeza dalam diri seseorang. Seseorang yang menghidapi penyakit ini kerap kali mempunyai masalah mudah lupa, sukar untuk mereka mengingati semula maklumat diri yang penting.
Mereka yang mempunyai masalah kecelaruan identiti juga mempunyai variasi memori yang sangat berbeza, yang berubah-ubah bersama dengan personaliti yang berbeza. 'Alters' merujuk kepada identiti yang berbeza yang ada dalam diri penghidap DID. Alters ini boleh mempunyai umur, jantina, bangsa atau warganegara yang berbeza dengan hos badan.
Setiap daripada mereka ini mempunyai postur, gerak badan dan cara percakapan yang berbeza. Kadang kala alters ini boleh hadir dalam bentuk manusia, kadang kala dalam bentuk haiwan. Untuk mengubah identiti daripada satu kepada yang lain boleh mengambil masa beberapa saat ke minit dan ke beberapa hari.
Jessica Mayer Berkongsi Cerita Tentang Identitinya Yang Berbeza-Beza
Jessica Mayer adalah antara penghidap DID. Menurutnya, dia berkongsi badan dan mindanya dengan 4 orang lain. Kesemua mereka adalah lelaki. Apabila berbicara, Jess akan bercakap dalam bentuk 'kami'. Contohnya, "Kami ingin berkongsi dengan anda.", "Kami ingin tunjukkan kepada anda.".
Dia bukannya merujuk kepada suami atau anak-anaknya, sebaliknya dia berbicara tentang 'keluarga yang ada di dalam mindanya'. Jess berharap untuk mengubah persepsi masyarakat tentang penyakit mental, perasaan takut dan ketidakpastian yang biasanya dicetuskan oleh penyalahgunaan frasa 'kecelaruan identiti'.
Realitinya, Jess adalah seorang wanita berusia 26 tahun dari United Kingdom. Dia mempunyai 4 identiti lain. Ollie, seorang pelajar berusia 14 tahun yang berasal daripada bandar yang sama. Menurut Jess, Ollie ingin membesar menjadi seekor dinosaur.
Identiti kedua adalah Jamie, seorang doktor yang berusia 27 tahun. Jamie berpewatakan menarik dan seorang yang bijak, serta mempunyai dialek pertuturan yang berbeza. Identiti ketiga menurut Jess adalah Eddie, seorang pendandan rambut yang berusia 28 tahun. Dia adalah seorang yang sangat berseni, dan kreatif.
Dan yang terakhir adalah Jake, seorang bintang pop California yang berusia 24 tahun yang tinggal di Hollywood. Menurut Jess dari segi fizikal, Jake berketinggian 5'6'' (bersamaan 1.68 meter), seorang yang tegap dan berotot. Dia mempunyai senyuman yang manis dan sangat tampan.
Alters ini, berinteraksi dengannya seperti keluarga. Di dalam dunia Jess, Jamie dan Jake adalah adik beradik, manakala Eddie dan Jamie adalah pasangan bercinta, dan Ollie adalah anak mereka.
Hubungan seperti ini bukan wujud dalam minda Jess sahaja. Jess dan suaminya telah bersama sejak 10 tahun lalu. Menurut suaminya, lagi ramai lagi bagus, merujuk kepada identiti Jess yang berbeza-beza, dan dia mempunyai hubungan biseksual dengan kedua-dua Jess dan Eddie.
"Lupakan tentang pembunuh berkapak yang menunggu di bucu bilik, tiada siapa yang akan mencederakan anda," kata Jess, merujuk kepada bagaimana persepsi orang ramai terhadap kecelaruan identiti.
Menurut Jess, alters boleh terperangkap pada umur-umur tertentu. Mereka boleh wujud dalam jantina berbeza, haiwan dan objek tidak bernyawa. Lama kelamaan, mereka ini akan membentuk personaliti 3 dimensi. Mereka mempunyai pengalaman mereka sendiri, dan akhirnya menjadi diri mereka sendiri.
Jess ingin mengubah naratif tentang DID. Dia ingin meningkatkan kesedaran tentang penyakit tersebut yang kerap kali disalah faham sebagai sesuatu yang perlu digeruni. "Alters tidak akan mencederakan anda, dan seperti masalah kesihatan mental yang lain, penghidapnya adalah mangsa berbanding pelaku," kata Jess lagi.
Kesimpulan
Pada pandangan penulis, kecelaruan identiti ini perlu diubati. Orang ramai mempunyai hak untuk berasa risau dengan keadaan penghidap penyakit mental ini memandangkan terdapat banyak kes jenayah melibatkan pesakit mental di negara kita.
Seseorang boleh menjadi pesakit mental disebabkan oleh pelbagai faktor, sama ada genetik, insiden traumatik, pengambilan dadah dan lain-lain. Sudah pasti sukar untuk mengetahui faktor yang mana yang menyumbang kepada penyakit mental seseorang sekiranya kita tidak mengenali individu tersebut.
Oleh itu, langkah terbaik adalah sentiasa berjaga-jaga dengan orang sekeliling, terutamanya yang disyaki menghidapi penyakit seperti ini kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Kita harus berhati-hati daripada menyesal di kemudian hari. Sekian.
Sumber & Bacaan Tambahan: