Setiap hari berjuta rakyat Malaysia gemar memuatnaik perkongsian di laman popular Facebook, mempamerkan idea, pendapat, kisah atau anekdot yang kita rasa bermanfaat untuk dikongsikan.
Walaupun perkongsian kita itu biasanya dibuat dalam niat baik, setiap individu yang memuat naik status pasti akan merasai satu bentuk tekanan yang akan hadir bila saja kita menekan butang kongsi.
BESARKAN TEKS A- A+
Mulut kita mungkin akan kata 'haters gonna hate', tetapi realitinya setiap perkongsian kita sebenarnya menggigit jiwa kita sama ada kita sedar atau kita sengaja menidakkannya. Berikut adalah lima kesan yang kerap kita rasa.
1. Bimbang penerimaan orang terhadap hantaran kita
Dalam Facebook khasnya, semurni mana tulisan kita yang dikarang - kita perlu untuk bersedia berhadapan kritikan atau lebih teruk kutukan. Tidak ada individu yang selamat dalam bab ini.
Ramai sebenarnya yang sebelum menekan butang kongsi, dalam kepalanya serabut memikirkan apa komentar dan reaksi kawan-kawan hasil perkongsian itu sehingga mengakibatkan ramai yang tulis, padam, tulis, padam statusnya. Jangan tipulah ini tidak berlaku.
Kebimbangan ini adalah sesuatu yang normal. Bila kita memasak atau membentangkan sesuatu idea dalam dunia nyata, kita akan diserang rasa gugup dengan penerimaan mereka terhadap masakan atau idea kita. Tetapi gugup itu datang jarang-jarang, seminggu sekali, sebulan sekali.
Apabila rasa gugup itu perlu dihadap setiap hari, minda kita bukannya akan jadi semakin kuat malahan sebenarnya menjadi semakin lemah. Ini kerana kita mula membiasakan diri melakukan sesuatu yang 'menyesakkan' diri kita sebagai rutin, yang sebenarnya merosakkan tahap mental kita.
2. Perlu berhadapan kecaman ramai
Dalam Facebook, sesiapa saja yang enggan berlawan tulisan atau terlalu mudah menyerah sehingga menutup akaun akan mula dilabelkan sebagai hati tisu. Lemah. Penakut.
Kecaman, kritikan atau kutukan sudah menjadi satu makanan ruji bagi pengguna Facebook dan masalahnya, isu ini diperbesarkan lagi ekoran terlalu ramai yang bajet hati mereka kental boleh berhadapan kecaman akibat status sendiri. Kononnya jiwa dia kuat.
Realitinya, tak ada orang boleh tahan 100% dengan kecaman atau kutukan yang perlu dilayan setiap hari. Sekuat mana pun dia kata dirinya, mesti ada sikit demi sikit hatinya terusik dengan kecaman yang datang - apatah lagi ramai netizen ni jenis tak ada penapis tulisannya.
Anda boleh berlakon macam anda kebal kutukan, kecaman, semua ini bila diserang ekoran status yang dimuat naik kerap. Cuba sekali saja anda berhenti menulis. Jika anda mula rasa tenang, mula rasa aman - itu tandanya hati anda sebenarnya sakit sebelum itu nak tahan kutukan.
3. Sedih bila post status di Facebook, tidak tular
Salah satu golongan paling menyedihkan dalam Facebook adalah golongan yang kita nampak try hard sangat nak viral, nak tular. Jadi ramai yang cuba mencari jalan setiap hari untuk tular dengan harapan dapat perkongsian tinggi.
Apa hadiah yang dia dapat entahlah. Ramai yang menghadapi tekanan mahu mencipta perkongsian tular, sehingga sanggup menulis perkara atau memuatnaik video di Facebook yang jelas hanya untuk mencipta gimik.
Masalah utama yang memperbanyakkan bilangan akaun sebegini - orang kita ni suka dengan perkongsian-perkongsian berbentuk gimik dan clickbait sehinggakan ada orang yang pernah tular berusaha keras untuk tular semula setiap hari.
Ini adalah satu masalah mental yang agak teruk, kerana tekanan untuk tular itu akan menyebabkan seseorang itu boleh berhadapan dengan masalah kebimbangan, kesunyian dan mula mengalami masalah gangguan tidur hanya kerana otaknya 24 jam memikirkan apa topik atau subjek yang 'pasti tular.'
4. Nak sangat diri dia KEKAL tular
Jika ramai pengguna Facebook tahap kecilan berusaha untuk tular, ada segelintir yang sudah terkenal kerana kerap tular pula berdepan tekanan untuk terus kekal relevan.
Selebriti-selebriti Facebook ini akhirnya mengalami desakan secara peribadi setiap hari untuk terus memastikan perkongsiannya berlaku dan lebih penting, viral habis. Atas desakan itulah ramai 'selebriti-selebriti' ini akhirnya memilih jalan mudah untuk terus disebut-sebut dan dikongsikan...
Semua perkongsian yang dilakukan mestilah kontroversi, semua isu dia nak ulas, semua perkara dia nak masuk campur beri pandangan.
Secara peribadi mereka ini juga akan saling berlawan dengan diri mereka yang semalam. Semalam dapat 1500 share, hari ni dah dekat 12 jam baru dapat 200 share. "Ada masalah kah dengan perkongsian ini? Ayat tak betul kah? Kenapa tak hits?" tanya mereka dalam hati.
Akhirnya 6 jam dari hidup sehari mereka dihabiskan untuk kekal tular, berlumba dengan diri sendiri untuk mengalahkan diri sendiri yang semalam dalam perlumbaan yang tak pernah berkesudahan.
5. Terlalu percaya kepada jumlah LIKE
Kami tidak tahu kenapa banyak sangat pihak baik individu mahupun organisasi profesional seperti media, terlalu meletakkan jumlah LIKE, FOLLOWERS dan SHARING sebagai satu metrik yang cukup penting.
Tahap relevan seseorang dalam internet diukur menggunakan ukuran metrik tersebut, sehingga mengakibatkan ramai di antara kita akan mengalami turun naik psikologi hanya disebabkan jumlah LIKE yang kita dapat.
Malahan ramai di antara kita saban hari yang kerap berkongsikan status di Facebook, akan membuka Facebook hanya semata-mata untuk memeriksa jumlah LIKE yang kita terima bukan?
Jika anda menjawab ya kepada masalah ini, ketahuilah - anda ada masalah. Ubatnya sama ada anda mendisiplinkan penggunaan Facebook anda, tanam sikap tidak peduli jumlah suka yang anda terima atau lebih baik - ambil cuti daripada menggunakan Facebook buat sementara.
Seperti biasa, jika anda rasa tenang selepas anda menghindarkan diri anda daripada terus mengambil peduli tentang LIKE, FOLLOWERS dan SHARING anda, itu tandanya anda mengalami gangguan mental akibat penggunaan media sosial anda.