iluminasi budaya pendidikan

Kita belajar, daripada umur 6 tahun hingga ke umur 22-24 tahun jika berjaya melepasi semua halangan.

Sepanjang proses pendidikan itu, tanpa kita sedar, kita sebenarnya sedang melalui proses saringan. Mereka yang kurang berjaya dalam pendidikan akan ditinggalkan untuk ambil kursus-kursus lain yang ditawarkan dalam bentuk kemahiran, selalunya itulah yang berlaku.

Mereka yang sudah berjaya menamatkan pengajian di sekolah pula akan disaring sekali lagi bagi menentukan yang terbaik dalam kelompok terbaik. Bagi mereka yang tinggi potensinya ini, akan dibekalkan segala-galanya untuk berjaya. Biasiswa, elaun hidup, potensi untuk belajar di tempat-tempat berprestij di luar negara.

Mereka hanya perlu fokuskan pada pelajaran. Senario itu kerap berlaku di kalangan negara-negara membangun.

Ini isu yang hendak dibangkitkan - setiap tahun negara kita akan menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang ini dan kemudian mereka akan dihantar ke luar negara. Tindakan itu mengundang beberapa risiko jika kita terus melakukan perkara sedemikian. Kita sudah tahu kesan positifnya tetapi hari ke hari, tahun ke tahun, tak dapat dinafikan yang kesan negatifnya mula dirasai di negara kita, khasnya.

iluminasi budaya pendidikan2

Pertama sekali, kita sedang menghantar mereka yang terpilih dalam masyarakat kita ke luar sana dengan harapan mereka jadi lebih cemerlang. Ada kemungkinan mereka ini tidak mahu balik lagi untuk membawa faedah kepandaian mereka dalam negara. Ini kerap berlaku.

Kedua, oleh kerana mereka ini golongan cemerlang, mereka akan lebih berpeluang diangkat menjadi pemimpin dalam organisasi jika pulang ke tanahair. Apa pula budaya baik atau buruk yang mereka bawa dari luar sana semasa mereka belajar, yang akan mempengaruhi masyarakat kita?

Ketiga, proses 'whitewashing' masyarakat akan terus berjalan apabila majoriti pelajar cemerlang terus dihantar ke luar negara dengan beberapa negara tertentu menjadi impian masyarakat kita. Ini sedikit sebanyak akan mendidik masyarakat kita, apa saja yang disediakan di luar sana adalah lebih baik dari apa yang kita ada dalam negara sendiri dan hakikatnya, kita negara membangun, mereka negara maju.

Ini satu perlumbaan yang kita tak akan menang.

Keempat, masyarakat sendiri tanpa sedar meletakkan kasta pada graduan luar negara dan dalam negara. Memang jelas graduan luar negara lebih mudah mendapat peluang dengan gaji yang lebih tinggi berbanding seorang graduan tempatan yang mempunyai kelulusan sama dalam bidang sama.

Perkara ini memang berlaku kerana masyarakat kita seolah-olah ditanam dengan persepsi sebegitu sejak dari mula belajar lagi.

Kelima, amat jelas ketika ini masyarakat kita sangat terbuka menerima kemasukan universiti-universiti luar ke dalam negara kita dan agak sinikal dengan usaha sesetengah pihak untuk membawa pendidikan Malaysia ke luar negara.

iluminasi budaya pendidikan3

Yang menakutkan, perkara ini bukan hanya berlaku pada peringkat pendidikan tertiari malahan sudahpun menular pada peringkat rendah dan menengah.

Ketika ini sudah wujud banyak kelompok masyarakat yang seakan hilang rasa kepercayaan pada sistem sekolah yang dahulunya melahirkan dia, sehinggakan orang kita sendiri lebih mempercayai sistem sekolah berasaskan luar negara yang semakin bercambah di serata bandar-bandar besar kita.

Kita bukannya sekadar membuka pintu kita kepada sistem pendidikan mereka tetapi pada masa yang sama, sebenarnya sedang melalui penggantian budaya pendidikan yang dahulunya lebih mirip dengan masyarakat setempat kepada satu bentuk yang hilang identitinya dengan masyarakat kita.

Faktor paling kuat mendokong semua peralihan budaya ini adalah faktor keperluan kewangan.

Jika anda lihat isu ini dalam skop yang lebih luas - kita tidak punya tahap kewangan yang cukup untuk mengekalkan graduan-graduan berkualiti tinggi untuk terus bekerja di negara kita atas faktor nilai tukaran matawang. Mereka ada hak untuk cari gaji besar.

Graduan luar negara hanya boleh diminta kekal di tanah air atas dasar permainan sentimen menyumbang untuk negara atau dipaksa pulang melalui kontrak biasiswa seperti JPA, yang ramai tidak menurut, kerana individu-individu cemerlang ini percaya nasib mereka lebih baik di negara orang.

Kita juga pada masa yang sama menjadi sumber dana kepada sistem pendidikan luar untuk terus mendahului kita kerana masyarakat kita sanggup menghabiskan ribuan wang ringgit untuk memastikan anak-anak mereka dapat pendidikan terbaik kelolaan luar negara.

Buat apa pun kita kalah dan akan terkebelakang jika kita teruskan begini.

Saban tahun negara kita kehilangan kebolehan individu-individu yang berkebolehan, sementara manusia-manusia yang bakal jadi orang berkebolehan ini pula, membesar dalam satu sistem yang mendidik dia percaya apa yang datang dari luar adalah lebih baik.

Sedikit demi sedikit budaya asal kita akan dihakis dan digantikan dengan penerimaan penuh kepada pendidikan bercorak luar yang seterusnya akan membentuk satu budaya baru yang hilang identiti Melayu dan Malaysia.

Masalah paling besar jika nak dihentikan, pasti akan wujud penentang dan pendokong yang percaya dalam era globalisasi, hilang budaya Melayu dan Malaysia adalah sesuatu yang perlu kita semua terima dengan hati terbuka.


tags : , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)