Oleh pada 19 May 2021 kategori

Dunia kini sedang hangat dengan isu penindasan negara haram Israel ke atas penduduk Palestin yang seolah-olah tiada penghujungnya. Banyak nyawa tidak berdosa menjadi mangsa akibat kerakusan Zionis menjarah Bumi Palestin.

Pihak Zionis pula semakin berani kerana sokongan kuasa besar seperti Amerika Syarikat. Walaupun negara-negara Arab lain bersatu dalam mengutuk perbuatan Israel tetapi sangat sedikit tindakan yang diambil untuk menghentikan kekejaman itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin mereka takut kehilangan kedudukan, kuasa atau sokongan dari barat, apatah lagi bermusuhan dengan kuasa besar. Sangat sedikit pemimpin hari ini yang mempunyai jiwa dan keberanian seperti Sultan Abdul Hamid II.

Siapakah Sultan Abdul Hamid II?

Abdul Hamid II adalah Sultan Empayar Uthmaniyyah ke-33 yang memerintah dari tahun 1876 hingga 1909. Beliau merupakan putera kepada Abdulmejid I, Sultan Empayar Uthmaniyyah ke-31.

sultan abdul hamid 2

Berpangkalan di Istanbul, Turki, Sultan Abdul Hamid II yang pakar dalam politik luar mengikuti perkembangan politik di seluruh dunia untuk menjamin keamanan empayarnya. Beliau berusaha mengukuhkan hubungan Empayar Uthmaniyyah dengan negara Islam lain.

Malah, beliau turut menghantar agamawan ke negara-negara sejauh Afrika Selatan dan Jepun dalam usaha menyebarkan Islam dan menentang negara-negara penjajah.

Dari segi dasar ekonomi pula, beliau mengutamakan pembayaran hutang yang ditinggalkan pemimpin-pemimpin sebelumnya. Beliau menandatangani perjanjian dengan pemiutang Eropah pada 1881 untuk melunaskan sebahagian besar hutang-hutang itu. 

Usaha membentuk negara Israel

Orang-orang Yahudi telah tersebar ke seluruh dunia setelah Rom membakar Baitulmaqdis (Jerusalem) pada tahun 70 Masihi. Mereka terpaksa menderita di mana sahaja mereka pergi. Sejak itu, mereka menanti seorang 'penyelamat' atau messiah untuk membebaskan dan mengumpul mereka di satu tempat (negara) sendiri.

perjumpaan zionist pertama

Persidangan Zionis pertama

Sebelum tibanya messiah mereka, beberapa idealis Yahudi telah berusaha membentuk negara Israel. Kumpulan itu berkumpul di Basel, Switzerland pada tahun 1897 dan digelar sebagai "Zionis", sempena Gunung Zion (kini Haram al-Sharif atau Temple Mount) di mana Masjid Al-Aqsa dibina.

Zionis meminta pertolongan Empayar Inggeris yang merupakan negara paling berkuasa pada masa itu tetapi tuntutan mereka tidak dipandang serius.

Apabila menyedari gerakan Zionis ini semakin kuat, Empayar Inggeris menawarkan wilayah seperti Uganda, Siberia dan Cyprus tetapi mereka menolak. Mereka inginkan Palestin dengan alasan ia merupakan 'tanah yang dijanjikan' seperti disebutkan kitab Taurat.

Mempertahankan Bumi Palestin

Lama sebelum Zionis memulakan gerakan mereka, Empayar Uthmaniyyah sudahpun mengambil langkah berjaga-jaga. Pada tahun 1871, mereka mengisyiharkan bahawa 80 peratus Palestin adalah milik Empayar Uthmaniyyah.

tentera uthmaniyyah yang mengawal baitulmaqdis

Tentera Uthmaniyyah yang mengawal Baitumaqdis

Apabila Sultan Abdul Hamid II memerintah pula, beliau sendiri memutuskan untuk menjadi pemilik tunggal kepada Bumi Palestin pada tahun 1883. Ini sekaligus menghalang pendatang Yahudi memiliki wilayah strategik itu.

Pada tahun 1900, Sultan Abdul Hamid II memperkenalkan pula undang-undang yang tidak membenarkan orang Yahudi berada di wilayah Palestin melebihi 30 hari.

Beliau juga menyatakan bahawa mana-mana negara di bawah Kerajaan Uthmaniyyah bukanlah kawasan penempatan bagi orang-orang yang diusir keluar daripada Eropah itu.

Tiada tolak ansur

Pemimpin gerakan Zionis, Theodor Herzl, meminta untuk menghadap Sultan Abdul Hamid II tetapi ditolak. Herzl kemudian menghantar Philipp Newlinsky pada Mei 1901 untuk menyampaikan tawarannya kepada Sultan.

theodor herzl

Theodor Herzl

Gerakan itu menawarkan untuk membayar semua hutang Kerajaan Uthmaniyyah di luar negara dan membantu menaikkan pengaruh empayar itu di Eropah.

Sebagai pertukaran, mereka meminta kebenaran untuk membuka penempatan di Palestin dan mahu negara itu diperintah oleh orang Yahudi.

Sultan Abdul Hamid II tetap menolak dengan mengatakan:

Saya tidak akan menjual walaupun satu inci wilayah ini kerana ia bukanlah milik saya tetapi semua Uthmaniyyah. Rakyat saya memenangi tanah ini dengan darah mereka dan dengan darah jugalah kami akan mempertahankannya.

Herzl mengulangi tawarannya pada tahun berikutnya tetapi jawapan yang diterima masih sama.

Sultan Abdul Hamid II bukanlah anti-Semit (anti-Yahudi) seperti Nazi. Apa yang beliau lakukan adalah demi integriti. Pada waktu itu, orang Yahudi hidup bebas di bawah pimpinannya dan Thessaloniki di Greece adalah bandar Yahudi terbesar dunia di bawah kekuasaan Empayar Uthmaniyyah.

Sultan Abdul Hamid II digulingkan

Pada tahun 1909, Gerakan Pemuda Turki cuba untuk menggulingkan Sultan Abdul Hamid II dengan menghalau pemimpin itu ke Thessaloniki dan beliau dikurung di sebuah rumah milik ahli bank Yahudi bernama Allatini.

pemimpin gerakan pemuda turki

Antara pemimpin Gerakan Pemuda Turki

Sebelum itu, Pemuda Turki menawarkan 150 juta keping emas British kepada Sultan Abdul Hamid II bagi membeli Palestin tetapi ditolak. Bukan sahaja itu, beliau mendakwa akan menolak walaupun ditawarkan semua emas di dunia.

Sultan Abdul Hamid menegaskan bahawa dia berkhidmat untuk masyarakat Islam dan tidak akan mengecewakan nenek moyangnya yang telah mempertahankan Palestin untuk sekian lama. Dia juga tidak menerima penubuhan negara baru di tanah Palestin.

Dengan bantuan Yahudi dan gerakan Zionis, Pemuda Turki menggunakan segala propaganda untuk melemahkan pemimpin Uthmaniyyah itu. Akhirnya, mereka berjaya menggulingkan Sultan Abdul Hamid II dan menasionalisasikan semua wilayah milik pemimpin itu. Yahudi kemudian dibenarkan menetap di Palestin.

Penempatan haram 

Pada 1917, gerakan Zionis membuat perjanjian dengan Menteri Luar Britain ketika itu, Arthur Balfour. Melalui Deklarasi Balfour, Empayar British memberi lampu hijau kepada penempatan Yahudi di tanah Palestin.

Dengan bantuan tentera British, penempatan Yahudi semakin membesar. Mereka juga boleh membeli tanah di Palestin apabila penduduk tempatan terpaksa menjualnya di bawah tekanan ekonomi dan penindasan.

pembentukan negara israel

Pembentukan negara Israel pada 1948

Pada 1947, lebih dari separuh penduduk Palestin adalah orang Yahudi. Beberapa kumpulan berpengaruh Yahudi memaksa Inggeris membantu menubuhkan negara Yahudi. Setahun kemudian, satu referendum dikeluarkan dan dipersetujui oleh PBB.

Negara baru itu dinamakan sebagai Israel sempena gelaran Nabi Yaakub a.s. Sebahagian besar orang Arab di Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka dan berpindah ke penempatan sementara apabila tanah mereka dirampas Yahudi.

Sehingga hari ini, penduduk Palestin terus ditekan, ditindas dan dianiaya oleh negara haram Israel. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)