suami ziana zain berdepan hukuman dua kali ganda

Kredit foto: Utusan Online

Selepas dakwaan merotan anak lelakinya hingga mengakibatkan kecederaan, suami Ziana Zain, Armin Zaharin, 53 tahun, berdepan hukuman lebih berat apabila pihak pendakwaan meminda pertuduhan yang dikemukakan ketika prosiding di Mahkamah Majistret di Shah Alam, hari ini.

Kali ini, beliau didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Mengikut Seksyen 326A, Armin berdepan dengan dua kali ganda tempoh hukuman jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan bagi seksyen 324, bekas ketua pramugara itu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Berdasarkan pertuduhan, Armin didakwa dengan sengaja menggunakan rotan hingga menyebabkan luka dan lebam terhadap seorang anak lelakinya dalam sebuah kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam, antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari lalu.

Begitupun, Armin mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Selain itu, identiti anak yang cedera itu juga tidak dapat dinyatakan.

Raja Noor Adilla mengekalkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharif Afendi.

Armin yang dibawa masuk ke mahkamah jam 9 pagi, dengan tangan bergari kelihatan tenang, namun ketika di kandang tertuduh, beliau kerap menoleh ke belakang bilik mahkamah seolah-olah mencari individu yang ingin menjaminnya.

Mahkamah menetapkan 6 April ini untuk tarikh pengurusan kes.

Terdahulu, Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari sebelum Armin ditangkap pada 2 Mac lalu.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 9 Mei 1998 dan sehingga kini memperoleh empat orang anak iaitu Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.


tags : , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)