Kredit foto: Instagram Ziana Zain

Penyanyi Ziana Zain menegaskan dirinya tidak pernah dikasari secara fizikal oleh suaminya, Armin.

Sebaliknya, apa yang berlaku selama 20 tahun usia perkahwinan mereka terlalu banyak untuk diungkapkan hingga dia akhirnya nekad menoktahkan hubungan itu.

Demi maruah keluarga dan suami, penyanyi bersuara lantang ini mengambil pendekatan mengunci mulut daripada membuat sebarang pendedahan lanjut.

"Tidak pernah berlaku kekasaran fizikal, tetapi penderaan mental itu ada. Saya mungkin boleh bertahan, tetapi tidak untuk anak-anak.

"Namun biarlah segala apa yang berlaku selama ini tersimpan menjadi rahsia antara kami. Cukup hanya saya dan anak-anak yang mengetahuinya. Sebab perlu diingat, masing-masing ada maruah yang perlu dijaga. Walaupun sudah tidak bersama lagi, ada beberapa rahsia yang perlu disimpan," katanya memetik laporan Kosmo Online.

Ziana membuat ulasan tersebut sewaktu ditemubual secara langsung dalam program hiburan Melodi pada Ahad.

pendedahan terbaru ziana zain armin tidak pernah mengasarinya tetapi 2

Kredit foto: Instagram Ziana Zain

Susulan nasib yang menimpa rumah tangga mereka, Ziana, 50, berharap dirinya dan suami akan menemui kebahagiaan dalam haluan hidup yang dibawa masing-masing. 

"Sebagai isteri, kalau boleh saya mahu selamatkan rumah tangga tetapi kalau Tuhan berkata Kun Faya Kun terhadap sesuatu perkara, maka jadilah ia. Ia ditambah pula dengan insiden yang berlaku terhadap anak saya.

"Jadi mungkin inilah jalan keluar daripada masalah yang membelenggu saya selama berpuluh tahun lalu. Sekarang saya sudah boleh tarik nafas lega kerana tiada lagi perkara yang menyesakkan dada," katanya yang mengharapkan doa peminat untuk kebahagiaan beliau dan anak-anak.

Terdahulu, Ziana yang berdepan krisis rumah tangga apabila Armin dihadapkan ke mahkamah pada Mac lalu atas tuduhan mencederakan anak, nekad memfailkan permohonan cerai.

Namun Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor menangguhkan kes itu ke 28 Jun ini selepas Armin enggan menceraikan Ziana.




Hakcipta iluminasi.com (2017)