personaliti berdasarkan jenis darah

Sesetengah individu gemar melihat kepada horoskop untuk melihat mengenai personaliti dan ramalan nasib dirinya. Namun, bagi orang Islam, mempercayai ramalan sebegini jelas haram hukumnya dan perkara ini boleh dirujuk pada laman web Mufti Wilayah Persekutuan sendiri.

Berlainan pula dengan orang Jepun. Mereka melihat jenis darah seseorang untuk menentukan personaliti seseorang individu tersebut. Malah, jangan terkejut ketika proses merekrut pekerja, syarikat mungkin akan menyemak jenis darah seseorang individu itu dahulu untuk menentukan calon tersebut layak atau tidak diterima bekerja. 

Jenis darah seseorang individu ditentukan oleh antigen yang menempel pada permukaan sel darah merah dan tiada kajian kajian saintifik yang dapat mengaitkannya dengan personalit dan watak seseorang. Untuk memahami lebih lanjut mengenai jenis-jenis darah, boleh baca artikel kami Mengapakah Jenis Darah Berbeza Tidak Boleh Bercampur?.

Obsesi orang Jepun terhadap jenis darah

jenis darah manusia

Satu ketika dahulu, kami pernah menulis mengenai golongan Hafu, golongan darah campuran yang dianggap hina di Jepun. Namun, pada kali ini kami ingin memfokuskan pada jenis-jenis darah pula antaranya A, B, AB dan O.

Menentukan keperibadian mengikut golongan darah telah menjadi tradisi Jepun sekurang-kurangnya sejak Perang Dunia Kedua, iaitu ketika pasukan-pasukan tentera Jepun juga dibahagi-bahagikan mengikut jenis darah mereka. Konsep ini diberi perhatian umum setelah seorang penulis Masahiko Nomi menerbitkan bukunya Ketsueki-gata de Wakaru Aisho (Memahami Perkaitan dengan Jenis Darah) pada tahun 1971.

Pada zaman kini, buku-buku mengenai jenis-jenis darah mendominasi senarai buku jualan terlaris di Jepun dengan berjuta-juta naskhah sudah terjual. Buku-buku seperti ini mendapat perhatian golongan muda terutamanya wanita.

Penyelidikan jenis darah yang dilakukan pada tahun 1920-an dan 30-an di Jerman  memfokuskan pada bagaimana mengenali darah yang berasal bukan dari bangsa Aryan ketikt prosedur perubatan untuk proses pemindahan darah baru muncul ketika itu.

Dengan membuang aspek etnik dan bangsa seseorang, Masahiko Nomi memusatkan perhatian pada idea bahawa jenis darah dikaitkan dengan jenis watak dan corak tingkah laku tertentu, kemudian menulis sebuah buku mengenai apa yang dia sebut Humanics Type Blood.

Buku ini sangat popular di Jepun dengan idea yang ingin diperkenalkannya adalah "jenis darah = jenis keperibadian" yang begitu kuat dalam budaya popular Jepun dan budaya negara-negara Asia Timur yang lain.

Diskriminasi berdasarkan jenis darah individu

jenis jenis darah

Walaupun budaya obses terhadap jenis darah seseorang individu ini kelihatan pelik dan tidak merbahaya, sebenarnya terdapat banyak kes pekerja Jepun mendapati diri mereka mendapat masalah di tempat kerja yang berpunca daripada jenis darah "salah".

Kes sebegini cukup biasa didengari sehingga munculnya terma "bura-hara", singkatan bagi perkataan yang bermaksud "gangguan disebabkan jenis darah".

Malah, adalah sudah menjadi kebiasaan ketika membuat permohonan kerja, syarikat biasanya akan meminta calon untuk meletakkan informasi mengenai jenis darah mereka. Mereka percaya, individu dengan jenis darah tertentu mungkin tidak sesuai dengan pekerjaan yang ditawarkan. 

Berkaitan mencari jodoh pula, sememangnya wujud laman web temu janji dalam talian yang dikhususkan untuk sesuatu jenis darah sahaja. Malah, makanan, minuman, dan ubat-ubatan bahkan kondom turut dicipta dan "dirancang" untuk berfungsi paling baik dengan jenis tertentu tertentu.

obsesi jenis darah jepun

Dalam aspek pendidikan pula, kurikulum pendidikan di sekolah akan mengenalpasti jenis golongan darah untuk menentukan kaedah pengajaran terbaik. Pada tahun 1990, syarikat Mitsubishi membina seluruh pasukan pekerjanya dengan individu daripada jenis darah AB kerana "kemampuan" mereka untuk membuat perancangan lebih baik.

Pada tahun 2011, Menteri Pembangunan Semula, Ryu Matsumoto telah mengundurkan diri setelah membuat beberapa kenyataan tidak sensitif berikutan gempa bumi dan tsunami Jepun yang dahsyat. Ketika beliau meletakkan jawatannya, beliau menyalahkan darah jenis B-nya kerana sikapnya yang kasar.

Secara umumnya, orang Asia menunjukkan kepelbagaian yang ketara dalam jenis darah jika dibandingkan dengan Barat. Walaupun terdapat lebih dari 30 jenis yang dikenal pasti, kira-kira 70 peratus penduduk Jepun adalah jenis A atau jenis O. Individu dengan jenis yang "kurang popular" besar kemungkinan akan mengalami "bura-hara" atau diskriminasi jenis darah.

Dipercayai sebahagian daripada sebab stereotaip ini adalah "keseragaman" identiti orang Jepun. Kerana negara ini ditutup untuk orang luar sejak sekian lama, seseorang individu cenderung mempunyai rupa, kulit, rambut, dan warna mata yang serupa; jenis darah adalah salah satu daripada beberapa perkara yang menjadikan seseorang individu "berbeza" antara satu sama lain.

Kredit:

  1. Tofugu
  2. Japan Today
  3. BBC News
  4. Atlas Obscura


Hakcipta iluminasi.com (2017)