Rakyat Malaysia walaupun kita ni tidaklah belum sebaik seperti mana yang kita harapkan, tidaklah menandakan kita ni buruk sangat.
Ada banyak benda seronok, unik dan kelakar berkenaan identiti kita sebagai sebuah masyarakat yang positif untuk diceritakan, membuahkan kuntuman senyuman di bibir sesiapa yang mendengarnya.
Khasnya skrip biasa yang kita guna dalam kehidupan seharian kita. Perangai kita yang berlapik menyebabkan kita gemar menggunakan bahasa halus bagi melindungi niat sebenar kita.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut adalah 6 ayat standard popular selalu berkumandang, tapi berdasarkan pengalaman kita sebagai warga Malaysia, lebih baik jangan dipercaya.
1. "Aku on the way ni!"
Gaya sebenar orang on the way
Dah biasa bila kita janji nak berjumpa, mesti ada seorang dua yang terlambat. Bila dimesej atau dipanggil, jawapan selalunya 'aku on the way!'
Walhal dia baru tengah ambil tuala nak masuk mandi.
Budaya 'on the way' ni tak mengira pangkat, darjat ataupun usia. Budak-budak berjanji nak main bola bersama pun dah biasa kena on the way.
Bila dah dewasa, kita pula kalau tak kena on the way dengan kawan-kawan, pasti jadi mangsa on the way tetamu, VIP atau ahli politik yang dijemput nak merasmikan majlis disertai kita.
Daripada kita terus cuba nak mengubah budaya on the way ini kepada budaya yang menepati masa, kita redha sajalah.
Setiap kali ada orang balas on the way dengan kita, kita anggap terus sajalah lagi setengah jam baru dia akan tiba.
2. "Aku bukannya nak mengumpat, tapi.."
Kami yakin ramai ada kawan yang gemar bergosip. Untuk 'menghalalkan' perbuatan dia, dia akan kata :
"Aku bukannya nak mengumpat tapi..." lalu dia sambung dengan bermacam kutukan terhadap subjek perbualan dia.
Wujud beberapa variasi berbeza penggunaan ayat ini seperti 'aku bukannya nak kutuk, tapi...' atau 'aku bukannya nak cakap benda tak elok, tapi..'; mana-mana variasi pun akan berakhir dengan perkara sama.
Ada satu variasi yang agak berbeza maksudnya iaitu 'aku bukannya nak menunjuk (atau berlagak) tapi..'.
Versi ini bila dah disebut si penutur, dia akan buka cerita tentang kejayaan diri dia. Kita yang mendengar perlulah ingat dia bercerita bukan sebab nak menunjuk ya.
Dia dah pesan awal tadi.
3. "Free tak hari ini? Lepak jom?"
Gambaran apa yang berlaku selepas lepak
Jika anda didatangi kawan atau kenalan yang menggunakan ayat di atas secara tiba-tiba, berhati-hatilah.
Biasanya dia ada niat lain disebalik ajak makan-minum dengan dia.
Selalunya pengguna tegar ayat ini adalah mereka yang terlibat sebagai ejen dalam aktiviti penjualan; seperti MLM, insurans dan takaful, skim cepat kaya, main tukaran wang asing, nak jual produk kecantikan atau nak ajak anda masuk keahlian sesuatu.
Jika seseorang itu ikhlas nak ajak anda makan minum tanpa ada niat lain, dia akan terus ajak dengan ayat ringkas 'jom minum!' atau 'jom lunch!'.
Dia tak peduli pun anda free atau tidak.
4. "Abang janji lepas rakam abang delete."
Setakat ini penulis belum nampak ada kaum hawa menggunakan ayat ini, jadi agaknya kaum lelaki yang rajin menggunakannya.
Dengan ayat inilah ramai anak gadis menjadi mangsa kerakusan serakah lelaki buas. Nak kata romantik, tak romantik langsung bunyinya. Kenapalah ada di kalangan wanita yang terpedaya sanggup serah semua?
Penamatnya dah biasa didengari - video yang dirakamkan tak dipadam seperti dijanji. Pasangan itu pula akhirnya tak berkahwin.
Sesetengah kes tragik, wanita yang dirakam diugut akan disebarkan videonya dengan hanya bayaran wang tunai mampu mengelakkan video itu disebar.
Si gadis yang sudah berkahwin dengan jejaka lain, bayarlah demi mendiamkan bekas kekasih yang bijak berkata-kata.
Nasihat kami - elakkanlah sebarang bentuk hubungan di luar ikatan nikah. Jika terjebak juga, rakam lelaki yang rakam anda dan janji dengan dia 'saya pun akan delete juga.'
5. "Kami akan call anda dalam masa 2 minggu."
Kelulusan encik terlalu tinggi untuk jawatan ini
Ini ayat paling popular didengari mereka yang mencari peluang pekerjaan.
Kita dah selesai sesi temuduga, tuan/puan penemuduga biasanya menyedapkan hati kita dengan ayat ini. Kita pun tunggulah 2 minggu.
Langsung tak ada panggilan diterima.
Masuk minggu ke-3, kita telefon pejabat yang menganjurkan sesi temuduga dengan 1001 harapan; pada kita mana tahu mereka terlupa. Mungkin juga mereka cuba hubungi, tapi telefon kita kebetulan waktu panggilan tak ada line pula.
Macam-macamlah kita fikir. Bagi kita, kita dah berjaya mempesonakan penemuduga dan penemuduga pun nampak suka benar dengan kita.
Bila panggilan dibalas barulah kita diberitahu rupanya jawatan yang kita mohon dah diisi. Zyarikat mengucapkan terima kasih kepada kita kerana memohon.
Siap suruh kita cuba lagi kemudian hari kalau ada kekosongan semula.
Tak boleh ke penemuduga terus kata selepas habis sesi temuduga 'kami tak rasa Encik/ Cik sesuai dengan jawatan ini' kalau benar tak suka?
Tak boleh ke syarikat pastikan hubungi calon sama ada melalui emel atau telefon 2 minggu selepas temuduga, maklumkan berita secara rasmi kepada mereka yang tak berjaya?
6. "Aku janji akan bayar hutang kau bila aku ada duit."
Hati kita susah bila tengok kawan, kenalan atau sanak-saudara berdepan kesusahan kewangan.
Bila dia menebalkan muka sanggup berjumpa merayu agar kita menghulurkan bantuan dana, kita pun hulurkanlah sikit yang termampu.
Dengan wajah bersyukur dan penuh rasa terima kasih dia kata 'terima kasih. Aku janji aku akan bayar bila aku ada duit..'
Kita pun balas 'tak apa! Tak apa! Kau bayarlah bila-bila kau mampu.' Sebulan, dua bulan, setahun lepas tu tak ada pun peminjam tadi cuba menguhubungi kita.
Buka akaun media sosial dia, wah dia melancong merata-rata. Dah sampai ke luar negara pun dia sekeluarga. Kita yang bagi pinjam pun terpaksa bencatu berkira-kira, nak bawa anak beranak makan angin dalam negara.
Ayat 'aku janji aku akan bayar bila aku ada duit' ni memang semua dah tahu tak boleh percaya, tapi percaya tak salah kita sebenarnya.
Sebab kita yang kata 'tak apa! Bayarlah bila-bila.'
Salah dia yang tak reti bayar hutang atau salah kita yang sejak mula mengizinkan dia bayar hutang kita bila-bila masa dia suka?
Elok kami letak ayat nombor tujuh dalam senarai ini 'tak apa. Kau bayar hutang ni bila-bila kau rasa mampu bayar semula' agaknya. Hahaha. Kita pun berjanji kosong semata-mata.