Oleh pada 24 Apr 2018 kategori

Zuriat atau anak adalah penyambung generasi kurniaan Tuhan yang sangat dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang sudah berumah tangga. Namun, tidak semua daripada kita memperolehi rezeki tersebut dengan mudah. Kemandulan menjadi penghalang untuk tujuan itu.

Mati pucuk bukanlah satu-satunya punca pasangan tidak mempunyai zuriat. Ketidaksuburan adalah antara sebab lain mengapa suami isteri gagal mendapat anak sejurus mendirikan rumah tangga. Artikel kali ini bertujuan memberi pencerahan kepada kaum lelaki khususnya mengapa anda dikatakan tidak subur, dan bagaimana teknologi terbaru ini boleh menyerikan rumah tangga anda dan pasangan. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Antara Penyebab Ketidaksuburan Dalam Kalangan Kaum Lelaki

sebab ketidaksuburan lelaki

Walaupun mempunyai kuantiti sperma yang banyak dalam air mani, ianya tidak menjanjikan bahawa pasangan anda akan hamil. Salah satu syarat untuk seseorang wanita itu hamil (dengan izin Allah) adalah sperma itu sendiri harus berupaya untuk berenang ke telur (ovum). Antara penyebab seseorang lelaki itu dikatakan tidak subur adalah kerana spermanya tidak mudah alih, yakni tidak dapat berenang ke telur (ovum) walaupun mempunyai kuantiti yang banyak. 

Apa Itu Spermbot?

apa itu spermbot 772

Spermbot adalah hasil kajian oleh penyelidik (saintis) di Jerman, di mana ianya adalah merupakan sebuah 'sut robot' kecil yang berupaya membantu sperma lebih mudah bergerak menuju ke ovum. Sekiranya para saintis ini berjaya menggunakan spermbot yang dihasilkan di makmal untuk dipraktikkan dalam badan manusia, ianya akan menjadi salah satu alternatif baharu bagi pasangan yang bergelut untuk mendapatkan anak. 

Secara teknikalnya, spermbot adalah logam kecil yang berbentuk helix yang akan melekat pada ekor sperma, dan dalam masa yang sama membantu sperma bergerak ke destinasinya. Bot atau sut robot ini dikuasakan (mendapat tenaga) dengan bantuan sebuah medan magnet yang dikawal oleh para saintis. Walaupun buat masa ini sperma yang digunakan dalam penyelidikan tersebut adalah sperma lembu jantan, yang diletakkan di dalam petri dish dengan keadaan terkawal, mereka yakin bahawa ianya turut boleh diaplikasikan kepada manusia.

Bagaimana Spermbot Berfungsi?

Dengan bantuan bot, renangan sperma akan lebih efektif. Apabila sperma sudah sampai ke targetnya dan tertanam ke dalam ovum, ekor logam robotik tersebut akan berpusing arah bagi melepaskan dirinya. 

Hasil kajian menunjukkan bahawa spermbot yang diperbuat daripada mikrofon polimer bersalut logam adalah sangat sesuai untuk melakukan tugas berkenaan kerana mempunyai tingkah laku gerakan 3D yang kuat, terkawal dan tidak berbahaya. 

Walaupun masih terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi bagi mencapai persenyawaan menggunakan spermbot, para saintis percaya dan yakin bahawa pendekatan terhadap reproduksi dengan bantuan ini berpotensi untuk berjaya. 

operasi mekanisma spermbot

Menurut repot yang dikeluarkan oleh New Scientist, spermbot yang halus ini saiznya adalah 50 mikro panjang, 5 hingga 8 mikron diameter, dan diperbuat daripada zarah nano besi dan titanium (1,000 mikron = 1 mm). Selain sebagai bantuan kesuburan lelaki, bot tersebut turut boleh digunakan untuk tujuan medikal yang lain.

Peringkat seterusnya untuk kumpulan penyelidik ini adalah mencari kaedah yang lebih baik bagi mengawal arah pergerakan spermbot, serta menambahbaik pembinaan mikromotor dan mengkaji sebarang masalah penggunaan spermbot dengan sistem imunisasi badan. 

Mengapa Spermbot Adalah Alternatif Terbaik Selain IVF

sebab spermbot lebih baik daripada ivf

Berbanding In Vitro Fertilisation (IVF), spermbot adalah sebuah teknik yang lebih berpatutan dari segi kos, dan mudah untuk dijalankan. Namun, kadar kejayaan teknik spermbot buat masa ini adalah di bawah 30%, menurut Human Fertilisation & Embryology Authority of the United Kingdom. IVF adalah lebih efektif namun prosesnya adalah lebih rumit dan mahal. 

IVF memerlukan pengeluaran ovum daripada ovari wanita menggunakan jarum dan persenyawaan di dalam makmal sebelum dipindahkan embryo ke dalam rahim ibu. Setiap langkah ini hadir dengan risiko kegagalan. 

Spermbot Mungkin Boleh Membuat Merawat Barah Serviks

spermbot merawat barah serviks

Serviks adalah saluran di bawah rahim. Dalam sebuah kajian berlainan namun dilakukan oleh pasukan yang sama, spermbot digunakan bagi menghantar sejenis dadah iaitu doxorubicin hidroklorida untuk merawat sel barah serviks. Secara logistiknya, spermbot berjaya menghantar dadah berkenaan secara khusus kepada sel barah. Ini adalah suatu pencapaian yang hebat, walaupun ianya masih di peringkat makmal. 

Kesimpulan

Walaupun teknologi ini masih jauh untuk dilakukan secara praktikal, namun ianya mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk membantu pasangan yang mengalami kesukaran untuk mendapat zuriat, dan turut bermanfaat untuk pesakit barah serviks. Semoga para saintis yang terlibat dengan kajian ini akan berjaya mencapai kejayaan dalam masa terdekat agar lebih ramai lagi mereka di luar sana dapat menikmati kejayaan tersebut. 

Rujukan & Bacaan Tambahan:

  1. livescience.com
  2. nationalgeographic.com
  3. acs.org
  4. newscientist.com
  5. sciencealert.com
  6. sciencemag.org



Hakcipta iluminasi.com (2017)