Oleh pada 30 Sep 2018 kategori

tonsil larynx uvula

Cuba anda pergi di hadapan cermin sekarang kemudian ngangakan mulut anda seluas-luasnya. Nampak ada daging tergantung di bahagian atas tekak, betul-betul terletak di belakang lidah?

Itu adalah organ yang kita namakan anak tekak. Dalam istilah saintifik, organ tersebut digelarkan sebagai 'uvula,' jadi kami akan gunakan istilah sebenar dalam artikel ini ya?

Istilah 'uvula' adalah perkataan yang berasal daripada bahasa latin lama yang dipinjamkan ke dalam bahasa Inggeris. Perkataan ini berasal daripada perkataan 'uva' yang bermakna 'anggur'. Uvula pula membawa maksud 'anggur kecil' atau 'little grape.'

Ada orang menggelarkannya tonsil. Ada yang memanggilnya larynx. Namun semua istilah itu tidak benar. Istilah yang betul adalah uvula. Nama penuh bagi uvula yang lengkap adalah 'palatine uvula'

Apakah uvula itu sendiri?

kartun uvula anak tekak fungsi

Uvula dibentuk dengan sel-sel otot serta tisu lembut pada setiap orang. Oleh kerana itu, uvula mampu bertindak terhadap rangsangan yang dikenakan ke atasnya, sama ada melalui objek fizikal mahupun rangsangan melalui air liur yang terhasil.

Pada setiap masa uvula akan diselaputi dengan membran yang sama menyelaputi bahagian dalaman mulut kita dan saiz uvula pula dikawal oleh otot yang dilabelkan sebagai 'musculus uvulae.'

Apakah fungsi uvula?

uvula ilustrasi

Walaupun kelihatan seperti tidak membawa sebarang fungsi besar, uvula sebenarnya mempunyai struktur yang agak kompleks terkandung di dalamnya. Setiap uvula yang sihat mengandungi sistem yang mampu mengeluar dan merembeskan air liur dalam kandungan yang besar.

Oleh kerana itu uvula memainkan peranan yang sangat besar dalam membantu kebolehan seseorang berbahasa, kerana kemampuan mulut kita menyebutkan sesuatu bunyi sangat bergantung dengan tahap kelembapan mulut kita. Air liur yang dihasilkan oleh uvula bertindak sebagai bahan pelincir.

Selain itu fungsi uvula yang paling penting adalah untuk bertindak sebagai 'pagar' kepada makanan yang kita telan. Semasa makan, makanan yang telah dikunyah dan ditelan akan melalui bahagian tekak. Uvula akan bertindak menutup saluran nasal yang bersambung ke hidung, dalam membantu mengawal gerakan makanan tadi ke bahagian usus.

Bagaimanapun, ada ketikanya uvula gagal berfungsi dengan baik. Sekiranya anda tergelak semasa minum air sebagai contoh, ada kemungkinan air boleh terpancut keluar melalui hidung disebabkan tekanan dari dalam tekak. Ketika kejadian ini, uvula gagal untuk menutup saluran dengan baik disebabkan tekanan yang wujud.

Bolehkah uvula dibuang?

kartun jerry potong anak tekak

Cuba anda lakukan eksperimen sendiri - sentuh uvula anda dengan jari atau putik kapas (jangan sampai tertelan ya!). Apa berlaku pada anda? Besar kemungkinan anda rasa seperti nak muntah.

Itu adalah tindak balas refleks tubuh anda sekiranya uvula disentuh bendasing. Bagi sesetengah individu yang mengalami masalah sedu yang teruk tanpa henti dan langkah-langkah seperti menahan nafas dan minum air tidak berjaya menghentikannya, cuba sentuh uvula anda. Ramai yang kata mujarab.

Sebelum penemuan-penemuan yang lebih mendalam mendidik masyarakat berkaitan fungsi uvula, uvula banyak dipersalahkan sebagai punca beberapa jenis penyakit pada manusia. Uvula dikatakan penyebab kepada masalah dengkuran, batuk kronik, apnea tidur dan juga punca berlakunya kematian bayi secara mengejut atau 'sudden infant death syndrome.'

uvulopalatopharyngoplasty tiada uvula

Pembedahan membuang uvula juga boleh dilakukan bagi membantu pesakit yang menghadapi masalah dengkuran teruk. Prosedur yang dinamakan 'uvulopalatopharyngoplasty' (susah betul nak menyebutnya!) akan membuang uvula seterusnya membantu membesarkan lagi ruang udara seseorang bagi membantu beliau tidur.

Walau pun begitu, kesan sampingan seperti berlaku perubahan pada suara, cecair kerap mengalir ke hidung serta suara jadi semakin lembut dilaporkan berlaku pada individu yang melakukan prosedur tersebut. Prosedur ini tidaklah membahayakan nyawa kerana belum pernah lagi ada individu yang meninggal dunia disebabkan ketiadaan uvula, namun kesan-kesan sampingan itu tetap harus diambil kira sebelum anda memutuskan untuk membuang uvula anda.

Anda masih ada uvula yang berkeadaan baik? Cuba anda sebut uvulopalatopharyngoplasty dengan lancar laju-laju kalau anda power?

Rujukan

The riddle of the uvula


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)