Oleh pada 07 Sep 2019 kategori

anugerah nobel

Setiap tahun, majlis Anugerah Nobel akan dianjurkan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada para saintis yang telah membuat penemuan mengagumkan dalam 7 bidang berlainan iaitu Kimia, Kesusasteraan, Keamanan, Fizik, Fisiologi atau Perubatan dan Sains Ekonomi.

Anugerah Nobel ini merupakan inspirasi daripada Alfred Nobel, ahli kimia, jurutera dan industrialis dari Sweden yang mencipta anugerah ini pada tahun 1895. Pada peringkat awal, hanya 5 kategori diperkenalkan iaitu Kimia, Sastera, Keamanan, Fizik, dan Fisiologi atau Perubatan.

Antara individu popular yang pernah diberikan Anugerah Nobel adalah Albert Einstein, Marie Curie dan Alexander Fleming. Namun, pernahkan anda mendengar mengenai Anugerah Ig Nobel?

Anugerah Ig Nobel

anugerah ig nobel pelik lucu kelakar lawak

Walaupun namanya seakan-akan sama dengan Anugerah Nobel, kedua-dua anugerah ini diuruskan dan dianugerahkan oleh dua organisasi atau entiti yang berbeza dan tidak mempunyai perkaitan antara satu sama lain.

Anugerah Ig Nobel adalah anugerah alternatif yang diberikan setiap tahun sejak tahun 1991 untuk memberi pengiktirifan kepada pencapaian unik dan lucu dalam bidang kajian saintifik. Dalam kata mudahnya, Anugerah Ig Nobel adalah anugerah yang diberikan kepada kajian atau pencapaian mengagumkan yang bukan sahaja membuatkan orang tertawa, tetapi pada masa yang sama membuatkan orang berfikir.

Nama anugerah ini juga sengaja diberikan nama "Ig Nobel" sebagai parodi kepada Anugerah Nobel yang sebenar. Sementara itu, perkataan "Ig" pada awalan nama anugerah ini berasal daripada perkataan "ignoble" yang boleh diterjemahkan sebagai memalukan atau bodoh.

anugerah ig nobel

Anugerah parodi ini dianjurkan oleh majalah humor saintifik Annals of Improbable Research (AIR). Anugerah Ig Nobel ini biasanya akan disampaikan oleh penerima Anugerah Nobel (Nobel laureates) dalam sebuah majlis anugerah yang biasanya dibuat di Sanders Theater, Harvard University.

Mengikut sejarah, anugerah ini merupakan inspirasi daripada March Abrahams, editor dan juga pengasas bersama majalah Annals of Improbable Research (AIR). Pada awalnya, anugerah diberikan untuk 10 kategori berlainan iaitu 6 kategori sama seperti Anugerah Nobel (kecuali kategori kesusasteraan) dengan penambahan 4 kategori baru iaitu kesihatan awam, kejuruteraan, biologi, dan penyelidikan dalam pelbagai disiplin (interdisciplinary research).

Bukan untuk bersaing dengan Anugerah Nobel

pemenang ig nobel

Antara pemenang anugerah Ig Nobel 2019, pakaian dalam wanita yang boleh bertukar dan berfungsi sebagai penutup muka

Satu perkara yang perlu diketahui adalah anugerah ini tidaklah bermaksud ianya setaraf dengan Anugerah Nobel sebenar sebaliknya dalam laman web rasminya, pihak penganjur menekankan bahawa ianya bertujuan meraikan penciptaan yang luar biasa, menghormati imaginasi dan merangsang minat orang ramai dalam sains, perubatan, dan teknologi.

Dalam kata lainnya, anugerah ini bukan mengenai kajian atau penemuan sains berbahaya atau tentang sains yang aneh atau seolah-olah tidak berguna. Untuk anugerah ini, sesiapa sahaja boleh menghantar pencalonan malah anda juga boleh mencalonkan untuk diri sendiri.

anugerah parodi

Daripada ribuan pencalonan yang diterima, barisan juri daripada Ig Nobel Board of Governors akan menapis kesemua pencalonan ke dalam 10 kategori berlainan. Setelah disenarai pendekkan, finalis akan disiasat mengenai ketulenan kajian atau penemuan mereka sebelum para juri akan membuang undi.

Barisan juri ini daripada pelbagai individu dengan latarbelakang berbeza seperti penulis majalah sains, saintis, pegawai kerajaan dan sebagainya. Menariknya, penerima Anugerah Nobel yang sebenar juga turut dijemput sebagai salah seorang juri untuk memberikan undi mereka.

Sama seperti Anugerah Nobel, penganugerahan Anugerah Ig Nobel juga dilakukan dalam sebuah majlis tertutup. Selain pengumuman secara umum di laman web rasmi mereka, setiap penerima anugerah ini dijemput menghadiri majlis penganugerahan yang diadakan pada bulan Oktober setiap tahun di Harvard University.

Kritikan daripada sesetengah pihak

parodi nobel prize

Rekabentuk anugerah Ig Nobel yang berubah-ubah setiap tahun 

Pihak Improbable Research selaku penganjur majlis anugerah tahunan berulang kali mengatakan bahawa misi anugerah ini adalah untuk memberi pengiktirafan terhadap kajian dan penemuan sains yang mungkin kelihatan lucu, lawak, kelakar dan pelik, tetapi sebenarnya membuat orang ramai berfikir tentang konsep disebaliknya.

Namun, terdapat juga saintis seperti Robert May, dahulunya seorang Penasihat Saintitik bagi kerajaan British pernah menulis surat kepada pihak Improbable Research yang mengatakan anugerah ini seolah-olah mempermain dan merendah-rendahkan kajian sains.

Menurut beliau, anugerah parodi seperti ini seharusnya diberikan kepada pihak anti-sains dan pseudo-sains, bukannya saintis yang benar-benar membuat penemuan bermanfaat. Marc Abrahams selaku editor Improbable Research membalas kritikan tersebut dengan mengatakan pihaknya akan menghubungi terdahulu penerima anugerah Ig Nobel untuk mendapatkan persetujuan mereka sebelum menghebahkannya kepada umum.

Tambahnya lagi, anugerah ini juga berfungsi untuk memberi tahu semua pihak bawah pembelajaran sains merupakan sesuatu yang menyeronokkan untuk dipelajari. Malah, setiap kajian yang diterima untuk penganugerahan juga akan dietliti untuk memastikan ianya mencapai kriteria tertentu.

eksperimen sains pelik 994

Antara penerima anugerah ini adalah Thomas Parnell melalui kajiannya yang diberi nama Pitch Drop Experiment, kajian sains yang diiktiraf sebagai paling lama di dunia dan mungkin akan terus berjalan selama beberapa ratus tahun lagi.

Bagi kebanyakan orang, eksperimen ini mungkin dianggap pelik dan sia-sia. Walau bagaimanapun, Thomas Parnell telah berjaya membuktikan bahawa bahan "pitch" ini sebenarnya adalah cecair yang mempunyai tahap kelikatan yang sangat tinggi. Malah, eksperimennya ini turut membolehkan para saintis membuat pengiraan perbandingan tahap kelikatannya berbanding dengan tahap kelikatan air.

Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai anugerah ini ataupun melihat sendiri senarai kajian dan penemuan sains yang pernah mendapat anugerah ini, sila lihat laman web rasmi Improbable Research dalam pautan di bawah.

Kredit:

  1. Improbable Research
  2. Wikipedia
  3. How Stuff Works
  4. BBC News


Hakcipta iluminasi.com (2017)