Ketika artikel ini ditulis, Malaysia dan satu dunia sedang menghadapi ancaman novel coronavirus yang dikenali dengan nama COVID-19. Digelar "novel" kerana virus seperti ini pertama kali ditemui dan saintis daripada seluruh dunia masih mengkaji lebih lanjut mengenainya.
Dengan lebih 100,000 kes dicatatakan di seluruh dunia dan ribuan lagi yang sudah meninggal dunia, ianya pasti satu perkara yang membimbangkan. Malah, penciptaan vaksin bagi menangani perkara ini juga dijangka mengambil masa lebih setahun.
BESARKAN TEKS A- A+
Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi pula mengenai Spanish Flu, pandemik paling teruk dalam sejarah yang menjangkiti ratusan juta manusia. Sebelum itu, pastikan anda membaca artikel Perbezaan Pandemik, Endemik dan Epidemik untuk memahami mengapa Spanish Flu digelar pandemik.
Pada hari Rabu 11 Mac 2020, pihak WHO telah mengisytiharkan COVID-19 sebagai sebuah pandemik. Diharapkan keadaan menjadi semakin baik setelah kerajaan mengambil langkah-langkah pro-aktif bagi menangani penularan wabak ini,
Sejarah Spanish Flu
Pandemik yang paling berbahaya dalam sejarah dipercayai adalah Spanish Flu (Selsema Sepanyol atau Influenze Sepanyol) yang telah menyerang dunia pada 1918-1919. Ia berlaku ketika mana negara Amerika Syarikat dan beberapa negara terlibat sedang berjuang dalam Perang Dunia Pertama.
Malah, jumlah mangsa yang terkorban akibat serangan pandemik ini adalah sekitar 50 juta manusia. Jumlah ini jauh lebih banyak jika dibandingkan jumlah mangsa yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua digabungkan jumlahnya.
Ketika saat kemuncaknya, dianggarkan kira-kira satu pertiga populasi dunia pada ketika itu dijangkiti penyakit ini. Jumlah ini adalah bersamaan kira-kira 500 juta orang manusia. Melihatkan kepada angka-angka ini sudah cukup menakutkan.
Asal-usul Spanish Flu
Negara asal penyakit ini tidak pernah dikenal pasti, tetapi ada pihak yang percaya ia mungkin berasal dari Asia atau bahkan Amerika Syarikat sendiri. Haskell County, Kansas dipercayai sebagai kemungkinan titik permulaan bagi wabak ini, khususnya kerana wujudnya ladang-ladang babi dan hakikat bahawa ianya merupakan laluan penghirahan 17 spesis burung.
Hunston Camp, juga di Kansas, adalah lokasi lain yang dipercayai tempat asal di mana tentera Amerika pertama kali membawa selesema ini ke Eropah dan seterusnya seluruh dunia ketika mereka tiba di sana sebagai askar Perang Dunia Pertama.
Penyakit ini dikatakan merupakan bawaan burung dan seperti dijangka, kadar kematian tertinggi dicatatkan oleh golongan kanak-kanak berusia bawa 5 tahun dan orang dewasa yang berumur 60 tahun ke atas. Namun, amat mengejutkan sekali apabila golongan berumur 20 hingg 40 tahun yang sihat juga mencatatkan peratusan kematian yang tinggi.
Penyakit yang tiada penawar
Tiada ubat khusus untuk merawat virus ini dan antara ikhtiar pegawai kesihatan ketika itu adalah penggunaan pembasmi kuman, tindakan kuarantin dan mencuci tangan. Malangnya wabak selesema ini terjadi ketika ribuan askar yang pergi ke dan dari Eropah untuk berkhidmat dalam Perang Dunia Pertama.
Antara kes terawal dikatakan berasal dari Funston Camp di Fort Riley, Kansas. Pada awalnya, kira-kira seratus askar jatuh sakit dan jumlah ini meningkat secara mendadak dalam minggu pertama. Ketika itu, bukan sahaja tentera Amerika yang keluar dari rumah untuk berperang, tetapi askar British dan Eropah turut melakukan banyak pergerakan di seluruh dunia.
Influenza ini telah mengganas di Perancis, Afrika, Mexico, Iran, dan Switzerland. Di kampung-kampung kecil, semua penduduknya mati akibat penyakit ini. Selesema ini datang dan tersebar pantas di sekitar Amerika Syarikat dan Eropah antara bulan April dan September 1918 sebelum kembali mengganas di Pangkalan Tentera Camp Devin di Massachusetts.
Gelombang kedua penyebaran Spanish Flu di kem tentera inilah yang dikatakan paling merbahaya, telah membunuh 750 orang manusia di kem ini sahaja dalam beberapa minggu pertama. Pada bulan Oktober, kira-kira 195 ribu orang meninggal dunia akibat influenza ini sehingga memaksa operasi ketenteraan seluruh negara terpaksa digantung seketika.
Dengan kebanyakan jururawat terlibat dalam peperangan, kekurangan jururawat menyebabkan American Red Cross di Chicago, Illinois telah merekrut sukarelawan dalam menangani wabak ini. Semua perhimpunan awam dibatalkan dan semua teater ditutup.
Cubaan kerajaan Amerika menyembunyikan Spanish Flu
Kerajaan juga pernah menyembunyikan berita mengenai penularan wabak ini untuk mengelakkan masyarakat awam panik. Apabila sebuah kapal NAVY dari Boston baru tiba di Philadelphia, Wilmer Krusen, Pengarah Kesihata Awam telah mendakwa tidak ada apa-apa yang perlu dikhuatiri. Ini adalah dasar kerajaan bagi mengelakkan orang ramai menjadi panik.
Realitinya, mereka cuba melindungi kematian dua orang pelaut dengan menafikannya adalah selesema Sepanyol. 14 kes yang mengakibatkan kematian dilaporkan pada hari berikutnya dan lebih banyak lagi pada hari-hari berikutnya. Keadaan menjadi semakin buruk kerana tiada langkah pencegahan diambil.
Perarakan besar-besaran yang dijadualkan di Philadelphia tetap diteruskan. Akhbar enggan mencetak artikel yang ditulis oleh doktor dan perarakan itu diteruskan seolah -olah tiada apa yang terjadi. Dalam masa enam minggu kemudian, lebih 12 ribu orang lagi mati.
Di Salt Lake City, Utah, lebih daripada 2 ribu rumah dikuarantin sehingga akhir November. Januari 1919 menyaksikan peningkatan kes-kes selesema dan kematian yang berlanjutan sehingga musim panas apabila kes pandemik ini akhirnya semakin berkurang.
Setiap gelombang pandemik menyaksikan perubahan dalam virus kerana ia bermutasi dan membunuh lebih ramai orang. Namun kerajaan Amerika Syarikat pada ketika itu cuba menyembunyikan situasai sebenar seolah-olah penyakit ini tidak merbahaya.
Selepas gelombang kedua yang melanda pada akhir 1918, kes-kes baru jatuh mendadak, hampir tiada apa-apa selepas mencapai kemuncak pada gelombang kedua. Di Philadelphia misalnya, 4,597 orang meninggal dunia pada minggu yang berakhir pada 16 Oktober, tetapi pada 11 November, selesema hampir hilang dari bandar.
Satu penjelasan untuk penurunan pesat penyakit ini adalah bahawa para doktor telah menemui cara lebih baik untuk menghalang dan mengubati radang paru-paru yang dihadapi oleh mangsa yang mengidap virus itu, tetapi John Barry menyatakan dalam bukunya bahawa penyelidik tidak menemui bukti untuk menyokongnya.
Terdapat teori lain yang mengatakan bahawa virus pada 1918 bermutasi sangat cepat daripada boleh membunuh kepada kurang merbahaya. Ini adalah kejadian biasa yang terjadi pada virus influenza - terdapat kecenderungan untuk virus patogenik menjadi kurang merbahaya selepas jangka masa tertentu.
Kredit: