Perkataan "mumia" sememangnya begitu sinonim dengan sejarah Mesir purbakala dengan penemuan-penemuan mumia Firaun di piramid yang terdapat di sana. Malah, saintis juga masih belum dapat merungkai bagaimana manusia pada zaman dahulu melakukan proses mengawet mayat ini.

Menariknya, dalam agama Buddha terdapat juga satu proses me"mumia"kan diri sendiri yang dikenali "Sokushinbutsu". Amalan ini kini telah diharamkan sama sekali di Jepun. Amalan Sokushinbutsu ini dipercayai diamalkan di Jepun pada abad ke 11 hingga abad ke 19.

BESARKAN TEKS     A-  A+

sami buddha jepun mumiakan diri sendiri

Pada tahun 1877, Maharaja Meiji yang memerintah Jepun ketika itu telah memerintahkan agar amalan membunuh diri seperti diharamkan. Ya, amalan ini dianggap sebagai membunuh diri kerana seseorang sami itu perlu melakukan pelbagai amalan yang menyeksakan sehinggalah mereka mati.

Maharaja Meiji ketika itu turut memperkenalkan undang-undang baru yang mengharamkan sesiapa sahaja untuk membuka keranda sami yang mati dengan cara ini

Sejarah penciptaan amalan Sokushinbutsu

tokong di jepun

Sesetengah orang mungkin tertanya-tanya, mengapakah seseorang itu sanggup membunuh diri dengan cara ini. Mengikut sejarah, amalan Sokushinbutsu ini telah diinspirasikan oleh seorang sami yang bernama Kukai atau Kobo Daishi.

Kukai merupakan seorang paderi yang lahir kira-kira 1000 tahun dahulu di Jepun. Beliaulah individu yang telah mengasaskan mazhab baru dalam agama Buddha yang dikenali sebagai Shingon, yang membawa maksud "ajaran yang benar".

bertapa

Kukai dan para pengikutnya percaya bahawa tenaga spiritual dan kebebarab dapat dicapai melalui amalan penafian diri dan zuhud. Oleh itu, kebiasaannya sami Shingon akan bertapa selama berjam-jam di kawasan air terjun sebagai upacara merawat dan membersihkan diri.

Amalan Sokushinbutsu ini diinsprasikan daripada amalan pertapaan Buddha yang dikenali sebagai Tantra. Walau bagaimanapun, Kukai dan pengikutnya bertindak lebih ekstrim dengan mewujudkan amalan sokushinbutsu, iaitu proses memumiakan diri sendiri ketika masih hidup.

Proses Sokushinbutsu yang menyakitkan

patung buddha

Amalan Sokushinbutsu ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Kukai dan pengikutnya percaya hanya mereka yang benar-benar berani melakukannya boleh mencapai tingkatan pencapaian tertinggi dalam agama Buddha. Seseorang yang melakukan Sokushinbutsu akan melalui beberapa peringkat dimana setiap peringkat akan mengambil masa 1000 hari.

Pada pertingkat pertama, seorang sami tersebut akan hanya memakan kekacang dan bijiran untuk tempoh 1000 hari. Hanya dua makanan ini sahaja dibenarkan. Tujuannya adalah untuk membuang segala lemak yang ada pada badan.

Pada peringkat kedua, mereka hanya akan memakan akar dan ranting kayu. Pada tahap ini, seseorang sami itu akan kurang melakukan aktiviti fizikal sebaliknya akan meluangkan lebih banyak masa bertapa dan melakukan meditasi. Tahap kedua ini turut diamalkan selama 1000 hari dan bertujuan untuk membuang segala lemak dan otot yang ada pada tubuh.

Setelah selesai 2 tahap ini, sami ini akan meminum pula teh yang diperbuat dari cecair yang dihasilkan oleh pokok urushi. Kebiasaan cecair ini digunakan sebagai bahan pengilat perabot dan mangkuk. Teh ini sangat beracun dan akan membuatkan sami yang meminumnya muntah dengan teruk sekali.

sokushinbutsu

Tujuan proses ini adalah untuk membuang segala cecair dalam badan. Selain itu, meminum teh beracun ini juga bertujuan untuk menghalang mayat tersebut dimakan oleh bakteria dan serangga kelak. Pada tahap ini, sami ini seolah-olah mayat hidup.

Selepas melalui kesemua tahap ini, sami ini akan masuk ke dalam kerangka tembaga yang menyerupai bentuk tubuhnya. Kerangka ini juga berada dalam keadaan duduk bertapa. Terdapat satu lubang kecil yang membolehkan sami ini untuk bernafas dan sami tersebut akan turut memegang sebuah loceng.

Sami yang berada didalamnya akan membunyikan loceng tersebut setiap hari bertujuan untuk memberi tahu orang diluar bahawa sami tersebut masih hidup. Apabila loceng tersebut tidak lagi berbunyi, sami tersebut dianggap sudah mati dan saluran udara akan ditutup kemas bagi memastikan mayat tersebut terpelihara.

Selepas 1000 hari sami tersebut mati, kerangka tersebut akan dibuka untuk diperiksa sama ada ianya sudah berjaya diawet atau tidak. Daripada 1000 sami yang mencuba proses yang menyiksakan ini, kebiasaannya hanya sedikit sahaja berjaya diawet dengan sempurna.

mumia sami 144

Mayat sami yang sudah berjaya menjadi mumia ini kemudiannya akan dibawa ke tokong dan disembah sebagai seorang Sokushinbutsu.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. Gizmodo
  3. Atlas Obscura



Hakcipta iluminasi.com (2017)