Oleh pada 29 Apr 2018 kategori

Semasa kecil, Slinky menjadi antara permainan yang disukai oleh penulis. Melihat pergerakannya yang unik sangat memberikan kepuasan bukan sahaja kepada kanak-kanak, malah semua lapisan masyarakat. Namun, apakah sejarah di sebalik penciptaan alat ini?

Idea Penciptaan Slinky Ditemukan Secara Tidak Sengaja

richard james sebagai jurutera kapal laut

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada tahun 1940an, Amerika Syarikat meletakkan fokus terhadap usaha bagi industri penciptaan dan penghasilan peralatan perang. Kapasiti pengeluaran negara berkenaan yang tinggi ternyata menjadi kunci kejayaan buat mereka, di mana mereka menghantar banyak bahan dan peralatan senjata ke luar negara bagi membantu Britain dan Soviet Union memerangi Hitler dan Nazi.

Disebabkan kebanyakan masa rakyat digunakan untuk menghasilkan senjata perang, mereka tidak mempunyai masa untuk memikirkan tentang alat permainan. Hal itu adalah benar sehinggalah Richard T. James, seorang jututera laut dari Philadelphia menemui suatu idea secara tidak sengaja, yang bakal mengubah industri alat permainan secara keseluruhan. 

slinky permainan ciptaan richard james

Sebagai jurutera laut, Richard ditugaskan untuk menggantung instrumen kapal yang merupakan sebahagian daripada peralatan dalaman yang dibawa oleh kapal tentera laut. Ketegangan spring haruslah sangat elastik, agar penyimpanan instrumen sentiasa berada dalam keadaan selamat terutamanya ketika laut bergelora dan cuaca buruk. 

Ketika sedang mengendalikan spring elastik ini, beliau secara tidak sengaja terlepas spring itu jatuh ke lantai kapal. Disebabkan sifat bahan dan bentuknya yang mudah melantun, spring tersebut terus bergerak selepas ianya bersentuhan dengan lantai, seolah-olah berjalan. Pada waktu itu, Richard mendapat sebuah idea yang bakal mengubah hidup beliau untuk selamanya. Cara spring itu 'berjalan' bakal menarik perhatian seluruh masyarakat dunia dalam masa beberapa tahun berikutnya. 

Richard James Menceburi Bidang Perniagaan dan Keusahawanan

richard james memulakan perniagaan slinky

Richard kemudiannya membuat keputusan untuk menceburi bidang keusahawanan, dengan harapan untuk memasarkan idea produk spring tersebut. Beliau membeli sebuah mesin pembentuk spring dan membuka sebuah perniagaan kecil, yang dinamakan sebagai James Spring & Wire Company. Syarikat berkenaanlah yang bertanggungjawab menghasilkan Slinky secara besar-besaran.

Nama Slinky adalah hasil idea isteri Richard, iaitu Betty, yang menemui perkataan itu di dalam kamus. Betty juga adalah individu terawal yang melakukan pelaburan dalam syarikat suaminya itu, dengan mengeluarkan $USD500 bagi menampung kos perbelanjaan awal. 

Sebelum memasarkan produk berkenaan kepada orang ramai, jurutera laut itu melakukan beberapa siri eksperimen bagi mengkaji kesan panjang spring terhadap lantunan, serta turut mengambil kira formula metalurgi. Beliau meluangkan masa selama 2 tahun untuk menyempurnakan prototaip produknya itu. 

Ternyata tempoh masa tersebut amat berbaloi kerana spring yang dihasilkan berjaya memindahkan tenaga di sepanjang spring seperti sebuah gelombang membujur (longitudinal). Dengan gerakan secara berkala, Slinky akan menyusur dari bahagian hujung, ke bahagian hujung yang lain, menyerupai gerakan manusia berjalan.

Slinky Mula Dijual Di Pasaran

spring slinky permainan 405

slinky mula dijual di pasaran

Sekitar sambutan Hari Krismas 1945, pasangan berkenaan telah menyampaikan idea perniagaan mereka kepada Gimbels Department Store di Philadelphia, yang bersetuju untuk meletakkan produk tersebut di rak mereka. Sebanyak 400 unit Slinky berjaya habis dijual dalam masa kurang daripada satu jam setengah sahaja, pada harga $USD1. Kejayaan ini memberi semangat kepada Richard dan Betty untuk menghasilkan Slinky secara besar-besaran. 

Sejak dari itu, lebih daripada 300 juta unit telah dijual. Kini, dianggarkan sebanyak lebih 25 bilion Slinky akan dijual dalam tempoh setahun ke seluruh dunia. Walaupun syarikat berkenaan berjaya mencapai kejayaan yang sangat hebat, Richard lebih berminat dengan organisasi keagamaan. Beliau akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan perniagaan tersebut dan menyertai Wycliffe Bible Translators pada tahun 1960an. Organisasi tersebut bertapak di Bolivia, di mana mereka menjalani latihan menterjemah Bible ke semua bahasa di seluruh dunia. 

Betty pula kemudiannya mengambil alih jawatan sebagai CEO James Spring & Wire Company, dan memindahkan operasi syarikat daripada Philadelphia ke kampung halamannya di Hollidaysburg, Pennsylvania. Bersama 6 orang anak mereka, Betty turut membawa bersama peralatan asal untuk menghasilkan Slinky, dan ianya digunakan sehingga hari ini. 

Rujukan:

  1. en.wikipedia.org
  2. theatlantic.com
  3. thevintagenews.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)