Pada masa kini, ada pelbagai cara anda boleh memainkan permainan video di PC atau konsol antaranya dengan memuat turun permainan tersebut daripada internet, install daripada cakera padat (CD) atau pun bermain terus secara dalam talian tanpa perlu memuat turunnya terlebih dahulu.

Malah, akses internet yang semakin meluas membolehkan anda bermain permainan video dengan pemain dari seluruh dunia. Segalanya dihujung jari. Jika dilihat daripada sejarah, permainan video sudah melalui banyak revolusi setelah puluhan tahun ia wujud.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda, satu ketika dahulu pada zaman 80-an, anda boleh memuat turun permainan video melalui radio?! Kedengaran pelik bukan? Teruskan bacaan untuk mengetahui bagaimana perkara ini boleh berlaku.

Teknologi komputer era 70-an

kaset apple

Perisian untuk Apple II yang dimuatkan dalam 2 buah kaset

Untuk memahami bagaimana perkara ini boleh berlaku, kita perlu mengetahui keadaan teknologi sewaktu era 70-an. Pada tahun 1977, generasi komputer pertama yang dikuasakan oleh mikro prosessor telah dicipta antaranya Apple II, Commodore PET, dan TRS-80.

Kesemua model PC ini mempunyai 1 persamaan yang ketara - kesemuanya menggunakan kaset audio untuk menyimpan data. Cakera keras pada ketika itu terlalu mahal sementara kaset audio pula lebih murah dan mudah didapati.

Jurutera pada ketika itu memilih menggunakan kaset audio memandangkan saiznya yang kecil dan memudahkan penciptaan komputer peribadi. Kemajuan penciptaan komputer peribadi juga menggalakkan penggunaannya sebaga mesin permainan video.

Menjelang 1980-an, para jurutera di Nederlandse Omroep Stichting (NOS), sebuah organisasi penyiaran Belanda, menyedari sesuatu yang luar biasa. Memandangkan program komputer dan permainan video disimpan pada kaset audio, ini bermakna datanya boleh dihantar dengan mudah melalui radio.

Mereka mula mengambil program dan permainan video dan menyediakan siaran di radio di mana orang ramai boleh "memuat turun" permainan video ke komputer peribadi mereka sendiri. Audio yang dihantar akan menghasilkan bunyi yang mengingatkan anda pada zaman internet dial-up.

Melalui video Youtube di atas, anda boleh mendengar bunyi data satu permainan video yang sedang disiarkan di saluran radio. Sekiranya anda tahu menukar audio di bawah ke format yang sepatutnya, anda boleh memua turun permainan video tersebut melalui bunyi yang dihasilkan dalam video di atas.

Pengenalan rancangan radio untuk memuat turun permainan video

kaset permain video

Beberapa siri permainan video yang disimpan dalam kaset

NOS memulakan program radio khusus untuk menghantar data permainan yang dipanggil "Hobbyscoop" dan ia menjadi sangat popular. Syarikat itu juga membuat format kaset standard yang dipanggil BASICODE untuk memastikan keserasian antara pelbagai jenis komputer.

Lama-kelamaan, perkongsian permainan video menerusi komputer menjadi begitu popular sehingga rancangan radio seumpama "Hobbyscoop" muncul di seluruh dunia. Stesen Yugoslovik yang dikenali sebagai "Ventilator 202" dikatakan telah berkongsi 150 program dan permainan video antara 1983 dan 1986.

Selain permainan video, perkongsian data melalui siaran radio ini juga turut melibatkan perkongsian program-program berkaitan pembelajaran, pengiraan, ensiklopedia dan sebagainya. 

Sebelum perkongsian sesuatu data dilakukan pada siaran radio, pengacara akan memaklumkan terlebih dahulu kepada pendengar bahawa mereka akan hanya mendengar bunyi "pelik" untuk beberapa minit. Pengumuman ini ditujukan kepada semua pendengar yang mungkin tidak mengetahui apa yang sebenarnya terjadi.

Untuk menghantar data digital melalui gelombang radio, ia perlu dimodulasi menggunakan teknik yang berbeza seperti Amplitud Shift Keying (ASK), Phase shift keying (PSK) atau Quadrature amplitude modulation (QAM).

Pengakhiran era pemindahan data tanpa wayar

gambar radio

Proses pemindahan data futuristik dan menarik ini akhirnya berakhir pada akhir tahun 80an apabila sistem pengkomputeran 16-bit semakin berkembahng. 

Prosesor untuk komputer ini jauh lebih cepat dan dengan itu memerlukan lebih banyak keupayaan penyimpanan, iaitu 250 kali lebih banyak daripada komputer sebelumnya. Ini bermakna storan kaset tidak lagi boleh digunakan dan pengeluar  mula menggunakan cakera liut dan cakera keras untuk storan komputer.

Pengakhiran zaman perkongsian permainan video melalui gelombang radio ini juga menyaksikan perkongsian data tanpa wayar melalui radio turut sama mati. Orang ramai tidak mempunyai cara lain untuk menghantar data permainan tanpa wayar sehinggalah penciptaan Wi-Fi pada tahun 1991.

Kredit:

  1. Interesting Engineering
  2. Kotaku



Hakcipta iluminasi.com (2017)