Menurut kajian-kajian terkini, dipercayai berpuluh-puluh kapal perang yang karam ketika zaman Perang Dunia Kedua yang berada di dasar laut dipercayai telah dihancurkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Di kapal-kapal ini dipercayai masih terdapat lagi mayat-mayat askar Britsh, Amerika Syarikat, Australia, Belanda dan Jepun.

Analisis yang dilakukan oleh para penyelam dan para sejarawan marin mendapati sehingga kini kira-kira 40 buah kapal perang yang karam ketika zaman Perang Dunia Kedua dipercayai sudah dirosakkan atau dihancurkan sepenuhnya. Dipercayai terdapat kira-kira 4500 mayat krew kapal yang terdapat dalam kapal-kapal yang dimusnahkan ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kebanyakan kapal yang karam ini dipercayai berada dalam kawasan perairan Malaysia, Indonesia dan Singapura. Ramai pihak beranggapan bahawa kapal-kapal yang karam ini mestilah dibiarkan sahaja didasar laut, menjadi tempat bersemadinya mayat-mayat tersebut. Selain itu, undang-undang antarabangsa turut menganggap kapal-kapal karam ini sebagai kawasan perkuburan yang mesti dihormati dan tidak diganggu.

Keuntungan jutaan ringgit

Kerajaan daripada beberapa buah negara turut menyatakan kebimbangan lebih banyak kapal yang karam ini akan dimusnahkan pada masa hadapan. 

Bahagian daripada kapal yang dihancurkan ini biasanya akan dijual kepada pembeli barangan besi terpakai. Selain itu, terdapat juga barang-barang bernilai tinggi lain yang dapat diambil daripadanya seperti wayar tembaga dan bahagian-bahagian kapal yang diperbuat daripada gangsa.

kapal karam telah dihancurkan

Selain itu, ahli arkeologi berkata para perompak ini juga mampu memperolehi plat-plat besi yang ada pada bahagian kapal ini. Plat-plat besi ini dikatakan bernilai tinggi memandangkan ianya dihasilkan sebelum era penggunaan senjata nuklear, menjadikannya bebas sepenuhnya daripada radiasai. Plat-plat besi ini dikatakan sangat sangat sukar ditemui dan digunakan dalam penghasilan alatan perubatan dan kajian saintifik.

Secara puratanya setiap kapal yang karam ini mempunyai berat beberapa ribu tan. Aktiviti rompakan dasar laut ini semestinya memberikan keuntungan jutaan ringgit kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini sehingga mereka sanggup membuat kerja berisiko tinggi menyelam ke dasar laut bagi menghancurkan kapal-kapal ini.

Antara kapal besar yang dipercayai sudah dirosakkan atau dihancurkan sepenuhnya adalah:

  • Belanda: NLMS De Ruyter, HNLMS Java, HNLMS Kortenaer
  • British: HMS Exeter dan HMS Encounter, HMS Electra
  • Amerika Syarikat: USS Perch

kapal perang dunia kedua

Bagi mengesan kewujudan kapal-kapal ini, para pengkaji marin menggunakan menggunakan gelombang sonar untuk membuat lakaran 3D permukaan lantai laut dimana kapal-kapal ini terdampar. Bagi kapal-kapal yang sudah dihancurkan sama sekali, kesan-kesan yang terdapat pada lantai laut dijadikan sebagai panduan untuk menentukan kedudukan asalnya.

lukisan 3d kapal karam

Buat masa, tiada pihak yang mengaku bertanggunjawab tetapi pihak berkuasa laut sedang menjalankan penyiasatan diperingkat antarabangsa untuk mencari pihak yang bertanggungjawab. Antara suspek utama rompakan terbesar ini dikatakan terdiri daripada kalangan pencari barang-barang besi terpakai.   

Modus operandi rompakan

Bagaimanakah kegiatan rompakan ini dilakukan? Modus operandi kegiatan ini dapat diterangkan melalui 3 peringkat.

rompakan khazanah dasar laut

1. Setelah mengesan kedudukan sesebuah kapal karam, kapal tongkang yang besar akan berada betul-betul di atas kapal yang karam tersebut. Beberapa penyelam akan menyelam ke dasar laut untuk mengesan kedudukan kapal tersebut.

2. Setelah dikesan, para penyelam ini kemudiannya akan meletakkan bom pada beberapa bahagian kapal ini untuk diletupkan. Proses ini bagi menghancurkan kapal ini kepada beberapa bahagian, seterusnya memudahkan bahagian-bahagian kapal karam ini diangkut oleh kapal tongkang yang sudah menunggu di atas.

3. Setelah diletupkan, kren akan digunakan untuk mengangkut bahagian-bahagian kapal karam ini yang telah dihancurkan kepada beberapa bahagian. Penyelam yang berada di bawah akan mengikat bahagian-bahagian kapal ini kepada tali besi yang dilabuhkan ke dasar laut oleh tren yang berada di atas kapal tongkang.

Proses ini kelihatan mudah tetapi sangat berisiko terutamanya kepada para penyelam dasar laut. Bagi sesuatu kapal, proses ini biasanya mengambil masa beberapa minggu untuk mengangkut keseluruhan bahagian kapal ke atas kapal tongkang.

Kredit:

  1. Science Alert
  2. The Guardian
  3. Gizmodo
  4. BBC



Hakcipta iluminasi.com (2017)